Friday, September 19, 2008

Koleksi Ucapan Sepanjang Ramadhan 2008

Daripada W Marina 21-Sept-2008 13:55:29;
Salam...., manafaatkanlah hujung Ramadhan ini dengan sebaiknya dengan membanyakkan ibadah, doa dan pohon keampunan Allah. Belum pasti tahun depan kita akan bertemu Ramadhan lagi. Doakan Wan dan sahabat sahibah yang lain..

Daripada Fauziah Abdullah 8-Sept-2008 22:07:02;
Assalamualaikum ya sahabatku, apa khabar spiritual di bulan Ramadhan al Mubarrak ini? Lama tak dengar berita sejak PRU12 ini ye? Eh awak dah bermenantu?

Daripada W Marina 1-Sept-2008 15:20:07;
Sekadar berkongsi.. Rasulullah saw ada bersabda: "Sesungguhnya iman yang berada di dalam hati kamumenjadi lusuh seperti mana lusuhnya pakaian. Oleh itu, mohonkanlah dari Allah Ta'ala supaya Dia membaharui iman di dalam hati kamu". (HR al-Tabrani & al-Hakim). Selamat menyambut Ramadhan al Mubarrak.

Daripada Lt Kol B Hj Zul 31-Aug-2008 23:59:51;
Tiada ibadah seindah SOLAT. Tiada BULAN seindah RAMADHAN. Salam Ramadhan AL-MUBARRAK dan SeLaMaT BERPUASA.

Daripada Siti Nor Aishah 31-Aug-2008 19:47:14;
Salam Ramadhan dan Selamat Menjalani Ibadah Puasa.

Thursday, September 18, 2008

Tarbiah Ramadhan - 15 Hari Terakhir

Assalamualaikum warahmatullah,
Kita sudah berada di 15 hari terakhir di bulan Ramadhan ini..maknanya bulan Ramadhan sudah mula menurun dan menuju ke penghujungnya untuk meninggalkan kita..mungkin ada yang sudah sibuk dengan persediaan menyambut hariraya dari segi biskut mikut dan langsir perabut..baju raya rasanya semuanya sudah disedia..

Badan kita juga mungkin sudah terkesan daripada 15 hari pertama berpuasa..sudah mula terasa letihnya..menjalani ibadah puasa apatah lagi untuk menunaikan solat terawih dan lain-lain ibadah di bulan yang mulia ini. Sudah tidak berkesanggupan mungkin untuk bertadarrus dan hilang selera tatkala berbuka dan bersahur..apatah lagi semakin mengantuk untuk bangun bersolat tahajjud dan berqiamullail ..

15 hari terakhir Ramadhan..sebaliknya Ramadhan sedang menuju ke kemuncaknya..ramai yang semakin memperhebatkan amal ibadah..untuk mendapat Laitul Qadar..suatu malam yang lebih baik daripada seribu bulan..yang sudah lama ditunggu oleh orang yang menunggunya.. layakkah kita mendapatnya..?

Mari bersama-sama saya mentelaah enam rahsia dan syarat kebatinan puasa agar kita dapat menghayati 15 hari atau 10 hari-hari terakhir Ramadhan ini dengan lebih bermakna..

Rahasia-rahasia Puasa dan Syarat-syarat Kebatinannya
1/ Memejamkan mata dan menahannya daripada meluaskan pandangan kepada semua perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh mengganggu hati, seperti melalaikannya dari berzikir dan mengingati Allah.

2/ Memelihara lidah daripada omong kosong, bohong, mencaci maki, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan riya'.

3/ Memelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengarkan. Dan kerana itu jugalah Allah swt telah menyamakan pendengaran kepada sesuatu semacam itu dengan memakan barang-barang yang diharamkan, sebagaimana dalam firmanNya yang bermaksud ;

Mereka itu suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram.
(Al-Maidah : 42)

4/ Memelihara seluruh anggota yang lain daripada berbuat dosa seperti tangan dan kaki, dan memeliharanya juga daripada segala yang dibenci. Demikian juga menahan perut daripada memakan barang-barang yang syubahat di waktu berbuka puasa. Apalah gunanya berpuasa daripada makanan yang halal, kemudian apabila berbuka pula dia memakan daripada makanan yang haram. Orang yang berpuasa seperti ini samalah seperti orang yang membangunkan sebuah istana yang indah, kemudian dia menghancurkan sebuah kota.

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud ;
Ada banyak orang yang berpuasa, tetapi ia tiada memperolehi daripada puasanya itu, selain daripada lapar dan dahaga (yakni tiada mendapat pahala).

Ada yang mengatakan, bahawa orang itu adalah orang yang berbuka puasanya dengan makanan yang haram. Yang lain pula mengatakan, orang itu adalah orang yang menahan dirinya (berpuasa) daripada makanan yang halal, lalu ia berbuka dengan memakan daging manusia; iaitu mencaci maki orang kerana yang demikian itu adalah haram hukumnya. Ada yang mengartikan dengan orang yang tiada memelihara anggota-anggotanya daripada dosa.

5/ Janganlah dia memperbanyakkan makan di waktu berbuka puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci oleh Allah swt daripada perut yang penuh dengan makanan yang halal. Cubalah renungkan bagaimanakah dapat menentang musuh Allah (syaitan) dan melawan syahwat, kiranya apa yang dilakukan oleh orang yang berpuasa di waktu berbuka itu, ialah mengisikan perut yang kosong itu dengan berbagai makanan semata-mata kerana dia tidak mengisikannya di waktu siang tadi. Kadangkala makanan-makanan yang disediakan itu berbagai-bagai rencamnya, sehingga menjadi semacam adat pula kemudiannya. Akhirnya dikumpulkanlah bermacam-ragam makanan untuk persediaan menyambut Ramadhan, dan dihidangkanlah pula dalam satu bulan itu bermacam-macam makanan yang tidak pernah dihidangkan pada bulan-bulan sebelumnya. Sebagaimana yang termaklum, bahawa maksud puasa itu adalah menahan selera dan mengekang nafsu, agar diri menjadi kuat untuk taat dan bertaqwa kepada Allah. Tetapi kalaulah hanya sekadar mengekang perut di siang hari hingga ke masa berbuka, lalu membiarkan syahwat berlonjak-lonjak dengan kemahuannya kepada makanan, dan dihidangkan pula dengan berbagai makanan yang lazat-lazat, sehingga perut kekenyangan, tentulah perut akan bertambah keinginannya kepada makanan-makanan itu. Malah akan timbul daripada syahwat pula keinginan yang baru, yang kalau tidak dibiasakan sebelumnya, mungkin ia tetap pada kebiasaannya. Semua ini adalah bertentangan dengan maksud dan tujuan puasa yang sebenarnya. Sebab hakikat puasa dan rahasianya adalah untuk melemahkan kemahuan dan keinginan, yang digunakan oleh syaitan, sebagai cara-cara untuk menarik manusia kepada berbagai kejahatan. Padahal kemahuan dan keinginan ini tiada dapat ditentang, melainkan dengan mengurangkan syahwat. Barangsiapa yang menjadikan di antara hatinya dan dadanya tempat untuk dipenuhi dengan makanan, maka ia terlindung daripada kerajaan langit.

6/ Hendaklah hatinya merasa bimbang antara takut dan harapan, kerana ia tiada mengetahui apakah amalan puasanya itu diterima oleh Allah, sehingga tergolonglah ia ke dalam puak muqarrabin (hampir kepada Allah), ataupun puasanya tertolak, maka terkiralah ia ke dalam golongan orang yang terjauh daripada rahmat Allah Taala. Perasaan seumpama ini seharusnya sentiasa ada pada diri seseorang, setiap kali selesai melakukan sesuatu ibadat kepada Allah Taala.

Rahasia-rahasia puasa dan syarat-syarat kebatinanya ini saya petik daripada kitab Bimbingan Mu'minin Untuk Mencapai Tingkat Mau'idzatul Mukminin - Pada Mencari Redha Rabil-'Alamin Jilid 1-2, ms 115-117 daripada judul asal Mau'idzatul Mukminin ringkasan daripada Ihya' 'Ulumuddin karangan Imam Alghazali sususan APAllamah Almarhum Asysyaikh Muhammad Jamaluddin Alqasimi Addimasyqi terbitan Al-Maktabah At-Tijjariyyah Al-Kubro (tidak bertahun) terjemahan Moh. Abdai Rathomy, 1979.

Wahai saudara-saudaraku sekelian, ketahuilah kita mengapa sebelum ini terasa betapa jauhnya kita daripada Allah swt dan amalan puasa kita terasa biasa-biasa sahaja. Betapa sukarnya kita untuk bangun bersolat malam dan susahnya untuk beristiqamah bertadarrus di sepanjang bulan Ramadhan apatah lagi dapat mengkhatami 30 juzuk daripada al Quran. Sungguh payahnya kita untuk membersihkan hati daripada segala sifat kekejian dan mengikhlaskan hati dalam beramal kebaikan. Moga-moga Allah swt mengampunkan dosa-dosa kita yang telah lalu dan yang akan datang dan membuka seluas-luas jalan di hadapan kita untuk menuju ke keredhaanNya. Amin.

Eid mubarrak buat semua muslimin dan muslimat di seluruh pelusuk alam serta maaf dzahir dan batin.

(Siri Peringatan Buat Diriku Yang Lalai dan Lupa)

Tuesday, September 9, 2008

Tazkirah Ramadhan I : Memakmurkan Rumah Allah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Tazkirah ringkas 10 minit ini saya dengar di surau semasa menunaikan solat terawih tadi, ditazkirahkan selepas 4 rakaat pertama iaitu sebagai penengah kepada solat terawih 8 rakaat itu. Ia berkenaan kepentingan memakmurkan rumah Allah.

Dimulai dengan perintah solat berjemaah turun ke atas kumpulan atau kolektif ataupun dalam bahasa Arabnya fardhu kifayah bukan bermaksud seperti yang difahami masyarakat Melayu iaitu kalau seorang sudah buat yang lain sudah terlepas pula malahan ia bermaksud kefardhuan itu turun ke atas kumpulan secara kolektif.

Laungan azan pula bermula dengan Allahuakbar yang diulangi sebanyak 4 kali yang bermaksud Allah Maha Besar. Ertinya Allah lebih besar daripada segala yang lain samada kita sedang mencuci kereta mahupun mencuci pinggan hendaklah ditinggalkan demi menyahut seruan azan untuk menunaikan fardhu solat. Lainlah kalau doktor yang sedang bertugas di operation theatre, takkan boleh meninggalkan pesakit yang sedang dioperasinya untuk menunaikan solat jemaah, ini kes dharuri.

Kemudian azan diteruskan dengan penyaksian asyhadu anllailahaillallah yang bermaksud aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah menunjukkan bahawa kewajiban solat berkait dengan penyaksian kalimah thoyyibah ini.

Seterusnya penyaksian asyhadu anna muhammadurrasulullah yang bermaksud aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah yang menunjukkan bahawa Nabi Muhammad mengajarkan dan menganjurkan solat berjemaah ini.

Selepas itu barulah diteruskan dengan ajakan menunaikan solat, haiyya alassolah yang bermaksud marilah menunaikan solat dan seterusnya.

Untuk menunaikan solat jemaah ini ada imam yang memimpin yang hendaklah dipatuhi dan makmum pula boleh menegur jika imam melakukan kesalahan yakni kesalahan yang besar. Kalau kesalahan kecil tidak perlu ditegur. Menegur pula ada caranya yakni dengan melafazkan subhanallah.

Imam hendaklah menoleh ke belakang sebelum mengimami solat untuk memastikan keadaan makmum dan disesuaikan dengan pengimaman solat samada memilih untuk membaca surah yang panjang atau pendek. Untuk solat fardu, hendaklah tidak membebankan makmum dengan bacaan surah yang panjang-panjang kerana solat fardu didirikan dalam keadaan wajib berdiri, takut-takut ada orang yang lemah seperti orang tua-tua dan kanak-kanak. Untuk solat sunat boleh memilih surah yang panjang sebab ia adalah pilihan dan kalau penat boleh dilaksanakan sambil duduk.

Imam juga hendaklah memastikan saf-saf lurus, penuh dan rapat. Saf ditentukan sedemikian untuk mengeratkan ukhwah sesama jemaah dan saling bermaafan sekiranya tergesel mahupun tertindih. Hendaklah memakai bau-bauan untuk menyelesakan jemaah yang berada di sebelah kita.

Bagi kaum wanita, untuk datang mengerjakan solat di masjid atau surau, hendaklah menepati 3 syarat iaitu ;
1/ Mendapat izin suami/wali
2/ Tidak menimbulkan fitnah
3/ Tidak berhias diri berlebih-lebihan

Alhamdulillah, kata pentazkirah sebagai mengakhiri tazkirah pendek tetapi bermakna itu, dengan pembaharuan dan renovasi yang dilakukan ke atas surau ini yang makin menyelesakan kita untuk memakmurkan rumah Allah ini.

Sesungguhnya yang baik itu adalah daripada Allah swt dan yang lemah itu adalah daripada penulis blog ini sendiri.

Thursday, September 4, 2008

Ramadhan Datang Lagi

Hari ini Khamis, 4 September bersamaan dengan 4 Ramadhan..di luar sana hujan sedang turun dengan lebatnya..memang sudah sejak minggu lepas lagi hujan turun..demikian juga minggu-minggu sebelumnya..agaknya memang bermula dari pertengahan tahun sudah musim hujan pula..walau bagaimanapun syukur ke hadrat Illahi dengan sunnah alam ini..yang menjadikan bumi tidak gersang dan segala kelebihannya..

Izinkan saya memetik sedikit catatatan dari kitab Bimbingan Mukmin berkenaan ibadah puasa yang baru 3-4 hari kita jalani untuk renungan bersama..

Kitab Rahasia Puasa
Sebesar-besar nikmat yang pernah dikurniakan Allah ke atas hamba-hambaNya ialah dengan menjadikan ibadah puasa benteng bagi para wali, dan perlindungan bagi mereka dari segala tipu daya syaitan dan angan-angannya, sebagaimana Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud ;
Puasa itu separuh kesabaran.

Allah telah berfirman yang bermaksud ;
Hanyasanya orang-orang yang bersabar itu dipenuhi pahalanya tanpa perhitungan.
(Az Zumar : 10)

Kalau begitu pahalanya kesabaran itu telah melampaui batas-batas perkiraan dan perhitungan, dan memadailah kalau kita mengetahui keutamaannya dengan sabda Rasululullah saw yang bermaksud ;
Demi Allah yang jiwaku berada di dalam genggamanNya, bahawa bau mulut seorang yang berpuasa adalah lebih harum pada sisi Allah dari bau-bau minyak kasturi. Allah azzawajalla berkata ; Sesungguhnya ia telah meninggalkan syahwatnya, makannya dan minumannya kerana Aku. Puasa itu (dilakukan) kerana Aku, dan akulah yang akan memberikan balasannya sendiri.

Orang yang berpuasa itu dijanjikan Allah akan bertemu denganNya untuk menerima balasan puasanya itu.

Rasulullah saw bersabda pula yang bermaksud :
Orang yang berpuasa itu mempunyai dua kegembiraan: Kegembiraan yang pertama ketika masa berbuka puasanya, dan kegembiraan yang lain ialah ketika masa menemui Tuhannya.

Dalam penafsiran makna ayat yang berikut yang bermaksud ;
Tiada seorang pun yang mengetahui apa-apa yang telah disembunyikan daripada mereka itu dari cahaya mata iaitu sebagai pembalasan terhadap segala yang mereka kerjakan.
(As Sajdah : 17)

Yakni amalan yang mereka kerjakan itu ialah berpuasa, sebab Allah berfirman pula pada ayat yang lain yang bermaksud ;
Hanyasanya orang-orang yang bersabar itu dipenuhi pahalanya tanpa perhitungan.
(Az Zumar : 10)

Nyatalah orang yang berpuasa itu akan diberikan balasan secukup-cukupnya dan dilipatgandakan pahalanya tanpa dapat diragukan lagi atau diperhitungkan banyaknya. Sudah sewajarnyalah ia menerima balasan yang begitu besar, sebab puasa itu adalah dikerjakan kerana Allah semata-mata dan ditujukan kepadaNya, tiada lain. Walaupun ibadat-ibadat yang lain itupun ditujukan kepada Allah jua, tetapi ada dua perbedaannya :

(1) Bahawasanya puasa itu adalah menahan diri dan meninggalkan hawa nafsu, dan ia adalah rahsia di dalam diri seseorang dan bukan merupakan amalan yang boleh dilihat. Semua ketaatan dibuat di mata ramai dan dapat diketahui, melainkan puasa saja, tiada yang melihatnya selain Allah azzawajalla. Ia adalah suatu amalan dalam kebatinan yang disertai dengan kesabaran semata-mata.

(2) Bahawasanya pahala itu merupakan penentangan terhadap musuh Allah azzawajalla, sebab jalan syaitan itu, ialah melalui syahwat dan hawanafsu yang meminta banyak makan dan minum. Jadi dalam menekan dan menentang kemahuan musuh Allah itu adalah suatu pertolongan kepada Allah Taala, sedangkan pertolongan Allah kepada kita itu tergantung atas petolongan dari Allah Taala.

Allah telah berfirman yang bermaksud ;
Jika kamu sekelian menolong Allah (menurut perintah Allah), tentulah Allah akan menolong kamu, dan akan menetapkan kaki kamu (kedudukan kamu).
(Muhammad : 7)

Dengan jalan inilah puasa itu menjadi pintu bagi segala peribadatan dan perlindungan dari hawanafsu. Jika kita telah mengetahui keutamaannya begitu besar sekali, maka hendaklah kita menurut syarat-syaratnya lahir dan batin dengan mempelajari rukun-rukunnya, sunnat-sunnatnya dan syarat-syarat kebatinannya.

Petikan daripada kitab Bimbingan Mu'minin Untuk Mencapai Tingkat Mau'izhatul Mukminin Jilid 1-2 daripada judul asal Mau'izhatul Mukminin Ringkasan Dari Ihya' 'Ulumuddin karangan Imam Alghazali susunan APAllamah Almarhum Assyaikh Muhammad Jamaluddin Alqasimi Addimasyqi terbitan Al-Maktabah At-tijariyyah Al-Kubra (tidak bertahun) terjemahan Moh. Abdai Rathomy, 1979, ms 110-112.

Ramadhan mubarrak kepada semua muslimin dan muslimat di segenap pelusuk alam, moga Ramadhan kali ini lebih baik dari Ramadhan yang lalu..

Ahlan wasahlan ya Ramadhan..!