Wednesday, August 26, 2009

Ogos III - All in one

Lebih kurang jam 4.15 pagi Jumaat lepas kami bertolak ke Pasir M dalam hujan renyai untuk menziarahi kematian abang kandung suamiku, abang Z selepas kuterima panggilan telefon mengenainya daripada anak perempuannya, Maz lebih kurang jam 9 malam. Dia meninggal di hospital Kubang K. Sms yang kuterima daripada anak saudara suamiku, Mar pada pukul 11.16:51pm kemudiannya menyebut : "Ayah sy tlh m'nggl dunia pd pkl 8.30mlm td." Kami membuat keputusan untuk pulang tergesa.

Sebenarnya sebelum ini beberapa kali suamiku asyik menyebut untuk membuat lawatan kerja akhir sebelum bersara di negeri-negeri di Pantai T yang tidak sempat dihabisinya sebelum Ramadhan menjelang tiba. Rupanya perancangan dipermudahkan Allah dengan cara sedemikian dan kami diberi peluang untuk menyelesaikan sekaligus beberapa urusan.

Kami memarkir kereta di tepi jalan besar di muka lorong ke rumahnya yang sememangnya terletak di kawasan perkuburan L itu lebih kurang 12.20 tengahari. Jenazah sudah selamat disemadikan. Bertemu kakak ipar suami, Kak Mas dan anak-anaknya dalam suasana keharuan. Berpeluang juga bertemu sanak saudara yang lain yang turut berziarah ke situ.

Lebihkurang sejam kami beredar menyusuri jalan keretapi menuju ke Slow M dan sampai di sana +-1.30. Sedang diadakan sebuah majlis khenduri arwah, rupanya oleh besan kakak ipar suamiku untuk seorang anak lelakinya yang telah meninggal dunia. Dengan itu kami berkesempatan menziarahi kakak ipar suamiku, Kak Mi itu dan anak-anaknya yang boleh dikatakan tidak 'miss' dilawati setiap kali kami pulang ke sana. Kerana 'tempat jatuh lagi dikenang inikan pula tempat bermanja', tetapi sebenarnya di sinilah tempat suamiku pernah menumpang tinggal selama 2 tahun semasa belajar di tingkatan 6 di Maktab Kadir A sebelum memasuki universiti dahulu.

Lebih kurang dua jam kami beredar ke destinasi seterusnya. Kami memilih untuk ke rumah kakak sulongku, Kak J yang terletak di Kampung B di Jalan Pengkalan C kerana suamiku yang belum mandi sedari bertolak pagi tadi ingin menyegarkan badannya terlebih dahulu. Berpeluang pula menziarahi kakak dan abang iparku yang semakin uzur. Juga berpeluang bertemu anak saudaraku Arfah yang sudah lama tidak kujumpa dan baby ketiganya yang baru berusia 2 minggu. Arfah sedang dalam pantang selepas melahirkan sebenarnya. Sampai di sana +-4.30 dan mula hendak beredar +-5.30. Tetapi kerana semasa itu kakakku sibuk melayani beberapa pelanggan yang berkeperluan di kedai runcit yang terletak di bahagian hadapan ruang tamu rumahnya hampir jam +-5.50 baru kami dapat beredar.

Jalan menuju ke Hospital Universiti SM sesak lebih-lebih lagi di pintu masuknya. Kerana tidak pasti lokasi wad kami telah memarkir kereta di tempat yang biasa diparkir oleh adik beradikku semasa ibu menjalani pembedahan pintasan jantung pada April 2004 dahulu iaitu di hujung bangunan yang begitu panjang yang berjauhan dengan pintu masuk. Jam sudah menunjukkan 6.35 petang. Dengan keputusan kami untuk tidak membawa anak masuk ke wad kerana wabak influenza A sedang memuncak menyebabkan kami terpaksa bergilir dalam masa yang sebegitu singkat sekali. Waktu lawatan hanya sampai jam 7 petang.

Suami menyuruhku mendahului. Sambil mencari arah, dan bertanya-tanya kepada beberapa yang bertembung denganku, aku merentas arah yang terbalik dari tempat kami memarkir tadi menuju ke hujung bangunan yang lagi satu yang berhampiran dengan pintu masuk. Aku tahu dia tidak akan sempat untuk sampai melawat sepupunya itu.

Aku sampai di wad 4 Selatan yang terletak di permulaan bangunan yang panjang itu jam 6.45. Memberi salam selepas ditegur oleh isteri sepupu suamiku dan bertanya khabar kepada bekas guru sekolah menengahku itu aku keluar semula ke lobi lif dan menelefon suamiku sambil memandu arah. Alhamdulillah dia dapat mengikut panduanku tanpa tersalah dan sampai tidak lama selepas itu. Selepas menyuruh aku menemani anak di ruang legar dia masuk menemui sepupunya guru baru bersara Cikgu Wan Z. Kami beredar dari lobi tingkat 4 jam 7 lebih.

Masuk ke jalan Pasir H kulihat jam 7.35 petang terus suamiku memandu ke rumah ibuku di Gual S. Sampai di sana 8 lebih. Terus makan malam dengan berselera dan bertambah. Di sanalah kami menyambut permulaan Ramadhan untuk tahun ini. Adiku Na dan famili sudah sampai hampir jam 7 petang tadi. Manakala kakak-kakakku Nun dan B telah beredar pulang sebelum kami tiba. Ibu memberitahu adik bongsuku akan bertolak pulang dari Kuala L pagi esoknya tetapi ke rumah ibu mertuanya terlebih dahulu.

Esoknya, arrangement disusun oleh adikku Na agar Adik terus ke sini dan menjemput lagi kakakku Nun, B dan adikku Ze sekeluarga. Berbukalah kami di Ramadhan pertama di kediaman bunda bersama-sama (2/3) daripada jumlah adik beradikku yang masih ada. Yang tiada cuma kakak sulongku, abangku, Abe Mad dan adik perempuan bongsuku, T (1/3). Dapatlah kiranya menutup kedukaan ibu buat seketika yang tinggal berseorangan di sana.

Suamiku terus membuat temujanji untuk kerja-kerja resminya, di Kota B pada Ahad 23hb, Kuala T Isnin 24hb dan bandar K Selasa 25hb.

Dalam perjalanan ke Kuala T kami menerima berita cucu bongsu masuk hospital. Tergelincir dan dahinya mengenai meja. Terbelah dan menerima beberapa jahitan. Terus terkenangkan dia dan anak-anak yang ditinggalkan buat seketika. Namun minda mengatakan ia adalah satu peluang untuk mereka menguruskan keluarga/adik beradik dan berdikari tanpa kami di sisi.

Singgah pula di rumah Ze di J. Sekadar melawat rumah barunya. Suami Ze memberikan beberapa biji buah cempedak yang dikutip dari kebun adiknya dan seplastik keropok keping. Hmm..memang budak-budak hantu makan benda-benda ni semua..aku mengomel.

Sempat lagi mencari rumah Kak Pah di Kg Pak Tuyu. Bertemu selepas lebih kurang 13 1/2 tahun aku meninggalkan negeri itu.

Sampai di bandar Kuala T jam 1.15 tengahari dan suamiku terus ke destinasi rasminya. Aku dan anakku melilau di kawasan taman di hadapan Istana M. Duduk-duduk sambil melepaskan pandangan ke puncak Bukit P, pejabat pos di sebelahnya dan laut luas di hadapannya.

Aku mengajak pula anakku menyeberangi jalan dan memasuki kawasan Taman Syah B sambil menuju ke sebuah gerai tudung yang menghadap laut. Anakku kelihatan tidak berminat dan akhirnya sudah tidak tahu hendak ke mana kami mengambil keputusan untuk berehat di surau Tanjung yang terletak di kawasan perhentian bas bukan domestik sambil menunggu suamiku menghabisi tugasannya. Sebenarnya anakku tidak mahu pusing-pusing lagi.

Jam 5 lebih suamiku datang dan kami meneruskan perjalanan. Lebih kurang jam 10 malam kami check in di Hotel V yang terletak di tengah-tengah bandar K. Kami bertolak pulang dari bandar di negeri P itu jam 1.15 tengahari esoknya selepas suamiku menghabiskan lawatannya dan sampai di rumah di A lebih kurang jam 6 petang selepas singgah di pasar juadah Taman M dan Az Zain Bukit I juga kedai ikan dan kedai runcit.

Sunday, August 16, 2009

Ogos II - Sama-sama Kasih

Lebih kurang jam 11 pagi Jumaat lepas kami bertolak ke JB. Ada majlis di sebelah malam untuk meraikan penjawat-penjawat yang bakal/sudah bersara di sepanjang tahun 2009 ini. Tiba di sana sekitar jam 4 lebih. Kami ditunggui di tol terakhir walaupun suamiku sudah pernah ke penginapan itu sebelum ini.

Sesampai di lobi hotel sudah menunggu pegawai yang bertugas bersama kuncu-kuncu. Masa untuk kami dijemput untuk majlis malamnya dirunding. "Kerana kapal akan bertolak jam 8 malam", kata petugas yang melead kami dari tol tadi. "Nak ke mana", tanyaku yang tidak mengetahui kami bakal menaiki kapal. Bagasi kami dihantar ke bilik dan kami dibawa minum petang di sebuah restoran.

Rupanya makan malam itu diadakan di sebuah cruise yang belayar selama lebih kurang dua jam di Selat Teberau. Dapatlah para tetamu menjamu selera sambil menikmati pemandangan malam bandaraya dari Selat itu. Seumur hidup pun belum pernah aku menaiki sebuah cruise. Feri Pulau Pinang tu tak payah cakaplah. Berulang alik menaikinya selama hampir sepuluh tahun. Agak malang juga kerana anakku batuk-batuk dan kedemaman.

Terima kasih untuk penganjur Malam Jasamu Dikenang yang begitu membuatkan hati terasa dihargai. Suamiku yang diaddresskan sebagai wara' smart membalas dengan serangkap pantun dalam ucapannya :


Sekeping upih hanyut di muara selaut kasih berdenyut di dada..


Majlis itu juga turut menghargai seorang staff yang berpindah pulang ke kampung halaman di utara tanah air. Sebuah pertunjukan video merakamkan majlis perpisahan di peringkat jabatan yang dipenuhi dengan air mata apabila staff lelaki berkenaan menyebut dengan perpindahan itu dapatlah beliau pulang menjenguk ibubapa sebulan sekali. Staff wanita yang menjadi pengacara majlis itu, dalam tangisannya yang turun naik, menyebut, "bila kakak telefon beritahu ayah tak boleh bangun rasa diri nak terbang balik.."

Esoknya kami bertolak pulang lebih kurang jam 12.15 tengah hari dan berhenti untuk menunaikan kewajipan di R&R Air Keroh. Sehabis solat aku menuju tangga surau untuk bersama semula dengan suami dan anakku. Menghampiri kepala tangga aku terhenti kerana di muka tangga itu sebuah kerusi roda sedang merapati. Ditolak oleh seorang wanita muda sedang yang mendudukinya seorang wanita yang sedikit lebih berusia dari diriku barangkali. Cantik orangnya dan lampai badannya dan kuning langsat kulitnya.

Walaupun aku hendak bergegas cepat tetapi melihat dua tiga orang lain sedang memberi laluan aku menunggu di kepala tangga sambil memerhati. Dalam kepala aku berfikir bagaimana ia akan naik ke atas sini.

Dia bangun berdiri lalu memegang pemegang tangga dan mendorong dirinya menapak dan mendaki. Aku yang pernah tahu betapa beratnya tanggungan badan untuk dibawa naik itu dan bergantung kepada kudrat tangan cuba membantu dengan menghulurkan kedua belah tanganku sebaik mendengar keluhannya, "tiada pemegang lagi di bahagian atas kepala tangga". Dan cuba membantunya lagi yang berpegang pada permukaan dinding yang rata untuk beralih dari dinding sebelah sana ke dinding di sebelah tempat berwudhuk. Dia mengucapkan terima kasih dengan pandangannya yang tertunduk. Aku hanya terdiam dengan anggukan yang hampir tak kelihatan. Kerana padaku pertolonganku itu tidaklah seberapa. Namun sambil berpusing semula menghadap muka tangga aku berdoa di dalam hati sekiranya Allah swt menerima kebaikanku yang sekelumit ini.

Beberapa tapak ke depan aku masih memikirkan ucapan terima kasih wanita tadi yang telah kujawab dengan sebuah pandangan diam. Aku berfikir hendak memberitahunya semula, "sama-sama kasih". Aku berpusing tetapi aku tahu dia sedang berwudhuk dan aku terasa agak janggal juga untuk melakukan yang sedemikian itu. Walau bagaimanapun aku fikir mungkin sekurang-kurangnya aku dapat menyampaikan melalui wanita muda pembantunya itu. Tetapi setelah kulihat dia agak jauh dan membelakang muka tangga, tidak jadi aku meneruskan niatku. Aku berpusing semula meninggalkan tangga surau tetapi hati terus berkira-kira.


Aku ingin dia tahu bantuan kecilku itu adalah atas dasar kasih sesama manusia yang terasa seperti seorang saudara.