Sunday, August 16, 2009

Ogos II - Sama-sama Kasih

Lebih kurang jam 11 pagi Jumaat lepas kami bertolak ke JB. Ada majlis di sebelah malam untuk meraikan penjawat-penjawat yang bakal/sudah bersara di sepanjang tahun 2009 ini. Tiba di sana sekitar jam 4 lebih. Kami ditunggui di tol terakhir walaupun suamiku sudah pernah ke penginapan itu sebelum ini.

Sesampai di lobi hotel sudah menunggu pegawai yang bertugas bersama kuncu-kuncu. Masa untuk kami dijemput untuk majlis malamnya dirunding. "Kerana kapal akan bertolak jam 8 malam", kata petugas yang melead kami dari tol tadi. "Nak ke mana", tanyaku yang tidak mengetahui kami bakal menaiki kapal. Bagasi kami dihantar ke bilik dan kami dibawa minum petang di sebuah restoran.

Rupanya makan malam itu diadakan di sebuah cruise yang belayar selama lebih kurang dua jam di Selat Teberau. Dapatlah para tetamu menjamu selera sambil menikmati pemandangan malam bandaraya dari Selat itu. Seumur hidup pun belum pernah aku menaiki sebuah cruise. Feri Pulau Pinang tu tak payah cakaplah. Berulang alik menaikinya selama hampir sepuluh tahun. Agak malang juga kerana anakku batuk-batuk dan kedemaman.

Terima kasih untuk penganjur Malam Jasamu Dikenang yang begitu membuatkan hati terasa dihargai. Suamiku yang diaddresskan sebagai wara' smart membalas dengan serangkap pantun dalam ucapannya :


Sekeping upih hanyut di muara selaut kasih berdenyut di dada..


Majlis itu juga turut menghargai seorang staff yang berpindah pulang ke kampung halaman di utara tanah air. Sebuah pertunjukan video merakamkan majlis perpisahan di peringkat jabatan yang dipenuhi dengan air mata apabila staff lelaki berkenaan menyebut dengan perpindahan itu dapatlah beliau pulang menjenguk ibubapa sebulan sekali. Staff wanita yang menjadi pengacara majlis itu, dalam tangisannya yang turun naik, menyebut, "bila kakak telefon beritahu ayah tak boleh bangun rasa diri nak terbang balik.."

Esoknya kami bertolak pulang lebih kurang jam 12.15 tengah hari dan berhenti untuk menunaikan kewajipan di R&R Air Keroh. Sehabis solat aku menuju tangga surau untuk bersama semula dengan suami dan anakku. Menghampiri kepala tangga aku terhenti kerana di muka tangga itu sebuah kerusi roda sedang merapati. Ditolak oleh seorang wanita muda sedang yang mendudukinya seorang wanita yang sedikit lebih berusia dari diriku barangkali. Cantik orangnya dan lampai badannya dan kuning langsat kulitnya.

Walaupun aku hendak bergegas cepat tetapi melihat dua tiga orang lain sedang memberi laluan aku menunggu di kepala tangga sambil memerhati. Dalam kepala aku berfikir bagaimana ia akan naik ke atas sini.

Dia bangun berdiri lalu memegang pemegang tangga dan mendorong dirinya menapak dan mendaki. Aku yang pernah tahu betapa beratnya tanggungan badan untuk dibawa naik itu dan bergantung kepada kudrat tangan cuba membantu dengan menghulurkan kedua belah tanganku sebaik mendengar keluhannya, "tiada pemegang lagi di bahagian atas kepala tangga". Dan cuba membantunya lagi yang berpegang pada permukaan dinding yang rata untuk beralih dari dinding sebelah sana ke dinding di sebelah tempat berwudhuk. Dia mengucapkan terima kasih dengan pandangannya yang tertunduk. Aku hanya terdiam dengan anggukan yang hampir tak kelihatan. Kerana padaku pertolonganku itu tidaklah seberapa. Namun sambil berpusing semula menghadap muka tangga aku berdoa di dalam hati sekiranya Allah swt menerima kebaikanku yang sekelumit ini.

Beberapa tapak ke depan aku masih memikirkan ucapan terima kasih wanita tadi yang telah kujawab dengan sebuah pandangan diam. Aku berfikir hendak memberitahunya semula, "sama-sama kasih". Aku berpusing tetapi aku tahu dia sedang berwudhuk dan aku terasa agak janggal juga untuk melakukan yang sedemikian itu. Walau bagaimanapun aku fikir mungkin sekurang-kurangnya aku dapat menyampaikan melalui wanita muda pembantunya itu. Tetapi setelah kulihat dia agak jauh dan membelakang muka tangga, tidak jadi aku meneruskan niatku. Aku berpusing semula meninggalkan tangga surau tetapi hati terus berkira-kira.


Aku ingin dia tahu bantuan kecilku itu adalah atas dasar kasih sesama manusia yang terasa seperti seorang saudara.

4 comments:

noah said...

tahniah kerana merasa bertanggungjwbsesama insan utk membantu walaupun sedang tergesa=gesa....

Ibu WA Alim said...

Sbbnya hy saya sorang je yg berada di atas kepala tangga masa tu..sorang dua yg lain tu masih berada di bwh..di belakangnya..krn beri dia laluan..yg lain2 berada d dlm musolla..
Dan saya tak rugi walau satu saat pun sbnrnya..krn saya taklah mengejar apa2 masa tu.. dan selalu beri diri sendiri kemudahan 'take your times'..
Besides, terlalu kecil pertolongan tu..kalu org lain pun akan buat juga..
Cuma disbbkan dia tunduk tidak memandang masa mengucapkan tk tu yg buat saya terkenang2..
Adakah dia merasa terharu dgn pertolongan itu..tp saya rasa pertolongan itu teramat biasa..biasa diberi di mana2 dan oleh sesiapa..
@pun dia malu/duka krn terpaksa ditolong lantaran keadaan dirinya..
Itu yg saya terharu tu..
Krn..konsep masa dia-masa kita tu..

Nida said...

Selamat Hari Raya. Maaf Zahir n Batin dr kami sekeluarga..

Ida perasan kalu kita tlg sikiiiiit jah, tapi rasa satu kepuasan yg besar dlm diri..

Ibu WA Alim said...

Ya, biasanya begitulah..
Cuma hari tu Cy tak dpt lupa..krn dia yg tertunduk itu menyimpan seribu tandatanya d hati dan fikiran ini..yg membuatkan hati rasa.. tak tau mcm mana nak ckp..tp rasa nak royak ko dio..dio berhak menerima pertolongan itu..krn bila dfikir2 sbb kita menolong..tidak lain.. krn mcm kita menolong adik beradik kita juga..jika mrk tidak berdaya..krn kita sayangkan dia..
Hari itu hari dia..hari lain belum tentu..mungkin hari kita pula..
Dan bagi Cy yg tak byk berbuat kebajikan ni..pulak2 masa tu baru lagi dgr kuliah ttg bertawassul dgn amal soleh..so ambil kesempatanlah pulak..