Bahan-bahan
1 ekor ikan bersisik bersaiz sederhana
sedikit serbuk kunyit
sedikit garam halus
minyak masak untuk menggoreng
1 1/2 inci halia
4-5 ulas bawang putih
1-2 sudu besar minyak bijan
1-2 sudu besar bawang goreng
2-3 biji limau kasturi
2-3 sudu besar kicap manis atau sederhana
hirisan cili merah
hirisan daun bawang
hirisan daun sup
Cara-cara
1. Ikan disisik dan dibuang perut, bersihkan dan kelar.
2. Perapkan dengan sedikit serbuk kunyit dan garam .
3. Panaskan minyak masak dengan api sederhana.
4. Goreng ikan sehingga garing atau separuh garing, ikut suka.
5. Ketepikan.
6. Halia dibuang kulit dan dipotong halus, macam bilah mancis.
7. Bawang putih pun sama.
8. Panaskan minyak bijan dengan api sederhana.
9. Gorengkan halia dan bawang putih sehingga kekuningan.
10. Angkat dan tuang ke atas ikan goreng, dengan minyaknya sekali.
11. Taburkan bawang goreng ke atasnya.
12. Perah air limau kasturi dan renjiskan kicap sehingga bergenang.
13. Kalau suka, tabur hirisan cili merah, daun bawang dan daun sup.
14. Siap untuk dihidangkan.
Nota
1. Saya biasa menggunakan ikan siakap, gut-gut, kerapu, kerisi atau gelama. Gandakan jumlahnya jika menggunakan ikan bersaiz kecil.
2. Jika ketiadaan stok bawang goreng, kupaslah beberapa ulas bawang merah, hiriskan dan goreng bersama halia dan bawang putih atau secara berasingan.
3. Boleh juga menggantikan limau kasturi dengan limau nipis dan kicap manis atau sederhana dengan kicap masin, kalau suka, atau ketiadaan stok bahan-bahan itu di rumah, tetapi kurangkan jumlah garam semasa memerap ikan jika kicap masin digunakan.
Sebenarnya, suami saya yang mengajar saya memasak ikan goreng halia ini semasa saya mula-mula berkahwin dengannya dulu dalam rangka untuk memudahkan dan memesrakan saya dengan resepi dan selera keluarga.
Gelagat Penjaja
10 years ago