Friday, April 11, 2008

Mee Goreng Mamak dan Nasi Goreng Mamak

(Sebagaimana yang saya perhatikan mamak menggorengnya dan bertanya sepatah dua di sebuah restoran mamak di sempadan Taman Maluri/Taman Nirwana/Kg. Pandan)

Bahan-bahan
(Saiz hidangan : 1/seorang)
Minyak masak, anggaran 1/4-1/2 senduk sederhana
Hirisan bawang putih, anggaran daripada 2-3 ulas
Hirisan bawang besar, anggaran 1/8-1/4 labu
Hirisan cili api, anggaran 2-3 biji
Hirisan tauhu, anggaran daripada 1-2 keping
Hirisan kobis, anggaran segenggam kecil/sederhana
Hirisan sawi, anggaran segenggam kecil/sederhana
Taugeh, anggaran segenggam kecil/sederhana
Telur, sebiji
Campuran bawang, cili dan kacang yang dah diblend dan dimasak/tumis bersama, anggaran 1/2-1 senduk kecil
Kicap pekat, anggaran 1/4-1/2 senduk kecil
Kicap cair, anggaran 1/4-1/2 senduk kecil
Perahan limau kasturi, 1 biji
Mee kuning, anggaran segenggam besar/satu hidangan/seorang makan.

Cara-cara
1. Panaskan kuali, masukkan minyak masak dan biarkan panas.
2. Masukkan hirisan bawang putih, biar seketika, kacau.
3. Masukkan hirisan bawang besar, biar seketika, kacau.
4. Masukkan hirisan cili, biarkan seketika, kacau.
5. Masukkan hirisan tauhu, biarkan seketika, kacau rata.
6. Masukkan kobis, biarkan seketika, kacau rata.
7. Masukkan sawi, biarkan seketika, kacau rata.
8. Masukkan tauge, biarkan seketika, kacau rata.
9. Pecahkan telur, besarkan api, biarkan seketika dan kacau rata.
10. Masukkan campuran bawang, cili dan kacang dan kacau rata.
11. Masukkan kicap pekat dan kacau lagi.
12. Masukkan kicap cair dan kacau lagi.
13. Masukkan perahan limau kasturi dan kacau lagi.
14. Masukkan mee kuning dan kacau sehingga semuanya bergaul rata.
15. Matikan api, angkat dan hidangkan panas-panas.

Perhatian/Tips
Jika anda mencuba resepi ini, anda kenalah bayangkan cara-cara/tingkahlaku mamak semasa menggoreng di restoran mamak, yakni cepat, sebab :-
i. hirisan bawang putih, bawang besar dan cili api tidaklah digoreng sehingga kuning atau garing, sekadar seketika saja.
ii. tauhu pun sama.
iii. sayuran juga sekadar digaul dengan hirisan-hirisan di atas agar bercampur rata, tidak layu/lembik, malahan rangup dan tidak mengeluarkan airnya.
iv. telur digoreng hingga masak dan garing dengan cepat sebab tu dibesarkan api.
v. campuran bawang, cili dan kacang digaul rata saja sebab ia telah dimasak terlebih dahulu.
vi. kicap cair, kicap pekat dan perahan limau dimasak sehingga agak kering, dengan cepat, oleh itu menggunakan api yang sesuai/lebih besar agar tidak berlebihan cairan yang akan menyebabkan mee goreng terlalu basah atau sayuran lembik/tidak rangup.

Nasi Goreng Mamak
Bahan-bahan dan cara-cara yang sama cuma gantikan mee kuning dengan nasi putih dan diterbalikkan aturan iaitu sayuran dimasukkan lebih kemudian yakni selepas semua bahan lain telah dimasukkan kecuali nasi sebab nasi goreng lebih kering berbanding mee goreng dan sayurannya lebih rangup. Untuk nasi goreng ni, saya nampak mamak tu taruk perencah serbuk daripada mee segera yang tak digunakan/lebihan untuk memasak mee segera yang diorder. Kalau anda tiada stok bahan ini ataupun tidak suka, abaikan, seperti saya.

Menarik/Teknik Mamak Membuat perahan Limau Kasturi
Sebab nak cepat agaknya, limau dibelah dua, diperah terus ke dalam senduk menggoreng tanpa membuang/mencungkil keluar bijinya terlebih dahulu. Lepas tu barulah biji-biji itu disaring samada dengan menuangkan terus perahan limau ke dalam kuali dengan perlahan/berhati-hati agar biji-biji tu tak 'go' sekali atau mengais biji-biji tu keluar daripada senduk dengan menggunakan apa-apa saja peralatan yang ada kat tepi/yang boleh dicapai dengan mudah eg. sudu, garfu atau pisau.

Modifikasi
Oleh kerana saya tak buat campuran bawang, cili dan kacang sebagaimana mamak sediakan, jadi saya telah menggantikannya dengan cili kering yang diblend bersendirian dan lebihan kuah satay/nasi himpit yang saya andaikan mempunyai campuran kacang dan bawang secukupnya dan dah dimasak dengan sempurna. Oleh itu juga saya ubah aturannya iaitu menumiskan cili blend selepas hirisan-hirisan bawang putih, bawang besar dan cili api telah dimasukkan agar cili blend tu masak dengan sempurna juga. Campuran bawang dan kacang (lebihan kuah satay/nasi himpit tu), saya letakkan di aturan asal iaitu sewaktu campuran bawang, cili dan kacang sepatutnya dimasukkan. Hasil peniruan daripada pemerhatian saya di restoran mamak tu dengan sedikit modifikasi agak memberangsangkan sebab suami saya kata sama macam kat restoran mamak!

2 comments:

Yasmin's Mummy said...

bakpo tok wak maghi kemarin?

Ibu WA Alim said...

Kalu wokgi ke tak laku nasi kerabu mama tu.. Bakpo tak tau seda' make rumah awak kemaren, berasa mace tokse sudah, padaha 3-4 minggu dah saya tak lalu/tak leh make, tapi herenyo tak turun2 berat bade..kalu nok kira2 saya ni tak layak gi rumah awak, dahla gi lewat, pahtu bawak tubuh saja, pahtu saya pun tok buat pulak make ajak awak. Lagumana pun tkla de maahla ko saya ni.