Saturday, February 21, 2009

Februari

Februari telah datang...dan akan pergi..dan akan datang lagi..dan akan pergi lagi..
Hari ini Sabtu 21 Februari..Esok Ahad 22 Februari..
Minggu lepas Sabtu 14 Februari..
Suami dan anakku baru pulang dari bersolat Asar di Surau As Syakirin, surau taman bersebelahan taman perumahan kami. Seperti biasa suamiku tidak terus masuk ke rumah tetapi menjenguk anak-anak ikan di dalam kolam di penjuru pagar kami. Anakku masuk dan menyampaikan mesej ayahnya kepadaku yang sedang duduk-duduk di sofa di ruang tamu, "Ibu, ayah suruh tanya ibu nak ikut tak pergi ...... .....". Aku menyuruh anakku keluar semula menyampaikan balasan mesej itu, "Cakap dekat ayah..ibu kata..kalau ayah nak pergi..ibu pergila..".

Selepas itu suamiku masuk ke dalam rumah, terus naik ke atas dan turun semula dengan pakaian yang sudah bertukar. Aku berkata kepadanya, "Tunggula..orang nak pergi sembahyang dulu dan bersiap".

Selepas selesai menunaikan solat, aku, suami dan anakku menaiki kereta menyusuri jalan taman perumahan, keluar ke lebuhraya berdekatan, menaiki bukit dan menuruninya di sebelah sana dan terus menyimpang ke kanan. Aku berkata kepada suamiku, "Bukan ke sepatutnya kena belok ke kiri..?". "Tak", jawabnya. Aku mengambil peta di sebelah kananku lalu membeleknya. Akhirnya, kami membelok ke sebuah lorong di kiri jalan berhampiran sebuah jambatan.

Tanah yang menurun dari bahu jalan dan bertemu dengan belokan Sungai Langat di hujungnya itu sedang ditakluki oleh beberapa orang pemancing dan kanak-kanak, dengan sesuatu di tangan sebagai pencedok mengharungi aliran air yang cetek merentasi dataran di hadapan kami, cuba menangkap ikan kepala putih dan ikan bberah yang sedang bermain-main di air yang mengalir. Kami menyeberangi rentasan air selebar lima enam kaki itu dengan meniti sekeping papan yang diletakkan merentangi kedalaman searas buku lali, menuju ke tepi sungai dan berdiri betul-betul di pinggirnya lalu menjenguk ke bawah ke dalam sungai. Suamiku bertanya, "Dalam ke air sungai ni?". Aku sendiri tidak tahu jawapannya.

Aku memandang ke kiri, ke arah dari mana sungai itu datang menuju ke tempat aku berdiri dan membelok di depanku mengalir terus ke depan sana. Sungai itu sempit sahaja dan airnya berwarna coklat keperangan.

Kami meninjau pemandangan sekitar dan pandangan kami tertumpu kepada sebuah jentera yang sedang berehat di situ kerana berhujung minggu barangkali sambil bertanya-tanya di dalam hati apakah urusannya gerangannya berada di sini. Akhirnya barulah kami menyedari rupa-rupanya dataran yang sedang kami pijak ini sedang menjalani kerja-kerja penambakan. "Mengapa ditambak?", terpacul pertanyaan dari mulut suamiku yang tidak dapat aku menjawabnya.

Aku berfikir-fikir sambil memijak-mijak tanah tambakan yang mengandungi banyak pepasir dan bebatu itu. Dataran tambakan ini milik siapa? Pihak berwajib atau tuan tanah atau sesiapa? Kerja penambakan ini dilakukan oleh siapa? Adakah dulu belokan sungai ini sebegitu luas dan ditambak oleh sesiapa untuk melebarkan datarannya? Ataukah dulu tanah ini yang luas tetapi menjadi sempit dek hakisan sungai yang membelok sehingga terpaksa menambaknya semula? Ataukah dataran ini lebih rendah sebelum ini dan ditambak untuk meninggikannya daripada paras air? Adakah tambakan ini dapat bertahan lama atau bakal dihakis air sungai sedikit demi sedikit bertahun kemudiannya? Aku juga melihat ke dalam sungai dan mendapati kesan batuan dan tanah tambakan yang telah dihanyutkan berada di tepi-tepi dan di tengah sungai.

Aku bertanya-tanya lagi di dalam hati, di musim hujan lebat, berapa banyakkah jumlah air di sungai ini, berapa tinggikah parasnya dan berapa lajukah ia mengalir? Adakah dataran ini akan dilimpahi air bah di musim banjir?

Teringat aliran cetek yang merentangi dataran itu tadi, aku cuba mengesan dari manakah punca ia datang. Rupa-rupanya memang ada sebuah alur di sebelah kiri kami tetapi tidak kelihatan dengan jelas dilindungi semak samun yang agak tebal dan meninggi, sehingga aku terpaksa menginjak-injakkan kakiku beberapa kali namun aku tetap tidak dapat melihat keseluruhan alur itu. Yang kelihatan hanyalah sebahagian kecilnya sahaja. Sebenarnya aku sendiri tidak pasti adakah ianya sebuah alur atau pun parit yang dibina untuk tujuan penyaliran. Mengetahui dataran tambakan melebar di hadapannya, aku tertanya-tanya adakah alur ini telah tersekat daripada laluan asalnya menuju ke sungai lalu ia membentuk takungan yang kemudiannya melimpah memintas di permukaan dataran menjadi satu aliran cetek dan bercantum dengan aliran air dari bawah jambatan di sebelah kanan sebelum memasuki belokan sungai.

Menyedari seakan ada aroma busuk semasa kami menjengah keluar dari kereta tadi aku memerhati keadaan sekeliling dan menyediakan seluas hidungku untuk mengesan dari manakah datangnya bau yang tidak menyenangkan itu samada ia berpunca dari alur yang berkemungkinan telah tersekat itu atau aliran air dari bawah jambatan di sebelah kananku tetapi aku terpandang beberapa longgokan sampah di tepi-tepi lorong, walaupun ianya baru terbina kesan laluan jentera penambak, aku agak pasti, tetapi ia dengan cepat diekori oleh pembuang-pembuang sampah pula.

Seorang pemuda yang sedang duduk bertinggung memegang batang kail di belokan sungai itu memandang ke arahku dan anakku dengan suatu pandangan seperti berminat, seolah-olah beliau telah mendengar apa yang baru aku bisikkan ke telinga anakku..

Aku hanya tertawa mendengar respon anakku itu..yang sibuk meminta untuk ikut memancing sedangkan kami ke situ tanpa membawa suatu peralatan menangkap ikan pun. Justeru, aku mengesyorkannya menangkap ikan kepala putih dan ikan bberah seperti yang dilakukan oleh budak-budak yang lain itu.

Melihatkan kesungguhannya untuk mendapatkan hasil sedangkan aku tahu anakku manalah tahu untuk berbuat seperti apa yang pernah aku dan adik beradikku telah perbuat semasa zaman kanak-kanak kami dulu, aku pun membantunya, mencedok ikan kepala putih dengan bekas pembungkus makanan daripada polisterin yang ada di tepi-tepi situ. Aku dapat menangkap beberapa ekor dengan sekali cedokan sahaja sedangkan semasa kecil dulu tidaklah semudah itu untuk menangkapnya. Anakku pun ingin mencuba mencedok tetapi tidak berjaya.

Aku tidak dapat menangkapkannya ikan bberas yang sedikit lebih besar kerana ikan-ikan itu berenang-renang di tengah-tengah aliran air yang tidak sampai untuk tanganku mencapai, tidak seperti ikan kepala putih yang bermain-bermain di gigi air sahaja, sedangkan aku tidak sudi untuk mencemarkan kakiku memasuki aliran air itu. Aku berjaya mendapat satu cedokan lagi ikan kepala putih, terus mengisinya ke dalam sebuah tin bekas minuman yang aku jumpa di tepi semak, membasuhnya sedikit dengan air alur walaupun hatiku ragu apakah sebenarnya ia air alur atau air longkang, begitupun ia agak jernih. Sesudah itu, aku terus menuju ke kereta dan bergegas masuk ke dalamnya di mana suamiku sudah bersedia menunggu untuk bergerak semula ke arah dari mana kami datang sedari mula. Hidungku tidak selesa menahan bau bekas minuman yang kupegang dengan beralaskan dua keping kertas tisu dan kesan air alur yang masih melekat di tanganku walaupun sudah aku mengelapinya.

Di atas bukit, suamiku memberhentikan kereta di tepi sebuah gerai makanan. Kelihatan beberapa orang pemuda berketayap mengendalikan gerai itu. Berdasarkan penampilan mereka aku mengagak mereka adalah pelajar dan/atau bekas pelajar sekolah pondok atau tahfiz. Daripada dua sahaja menunya kami memesan nasi lemak ayam goreng berempah dan memakannya di situ sebagai makan malam kami untuk hari itu serta membungkus nasi lemak yang sama ditambah char kue teow untuk dibawa pulang untuk dua orang lagi yang berada di rumah dan di perjalanan balik ke rumah. Aku mengambil kesempatan mencuci tangan dan menukar rumah sementara ikan kepala putih ke dalam botol kaca bekas minuman jus mangga yang baru dikosongkan oleh suamiku, yang didatangkan dari sebuah negara Timur Tengah, sebelum menjamah hidanganku. Selepas itu kami bergegas pulang kerana petang sedang merembang dan waktu Maghrib hampir tiba.

Esoknya aku mendapati suamiku telah menuangkan ikan-ikan kecil itu ke dalam kolam ikan di rumah kami. Aku berkata kepadanya, "Habislah nanti dimakan oleh ikan yang lain". Suamiku menjawab, "Tak". Aku tidak menaruh harapan kerana sudah menjadi fenomena ikan besar memakan ikan kecil, tidakpun, perbezaan air kolam buatan dengan air semulajadi boleh membuatkan ia mati.

Selang beberapa hari, ketika aku berdiri di tepi kolam, aku terlihat seekor daripada makhluk kecil itu sedang meneroka permukaan samudera kolamku..ohh..dia dapat bertahan rupa-rupanya..sekurang-kurangnya sampai saat ini. Aku tercari-cari beberapa ekor yang lain tetapi tidak kelihatan. Mungkinkah mereka masih bernyawa tetapi tersembunyi daripada pandangan zahirku ataupun sudah berkubur di dasar kolam itu..?

4 comments:

nida said...

bestnyer igak ike...mace zaman kanak2 dulu...budak2 loni tok adventerous dok ngadap komputer hari2..

cekna said...

seronoknya Alim dpt igak ike.ike bberah tu ike gapo?
sy pun selalu gi bukit kat Mh bkebun.kat situ ada alur kecil yg mengalir dlm tanah kami,sambil mandi-manda,sy pun ajar anak igat ike guna cetong atau baldi.anak2 dptla igat ike jjulok.sy dpt ike hok sy tok kenal jg.biasanya ike tu sari jah hidup pah tu mati.ni jak beranak kecil ni tak gi lg mandi,tp ada la sekali sy gi round ngan MH,tgk2 air yg mengalir di celah2 batu,pah tu kelik.

Ibu WA Alim said...

Suka jugakla Da..mace masa budak2 dulu2..budak2 loni igat ike dale comp..
Saya pong ttuka dah ike ppala puteh dgn ike bberah tu, Na..main tulih je..ingat dak ike hak kecik2..rama2 berene d permukae aer..?..selaen dr ike jjulok..hak ore tokleh make tu..de takdak sapa nak igat dia..melaenke ore hak tak reti igat ike hak lbh bermakna..
Bestnya kebun dia..kalu saya ada kebun lagu tu..rasa mace dale syurga..

Ibu WA Alim said...

Abe We panggil ikan kepala putih yang saya tangkap tu dgn nama ikan kemeras..