Wednesday, March 25, 2009

Ampang Super Family Bowling Tournament

Lokasi : Ampang Super Bowl
Hari : Ahad 8 Mac 2009
(Sehari sebelum cuti umum MauliduRasul, Isnin 9 Mac)
Durasi : 12.00 tengahari - 2 petang
(lepas tu pegi lunch kat Restoran Rashid..)
Sempena : Entah ada orang rai apa-apa kot..?
(Ataupun ada orang berhasrat/berimaginasi membowling/membaling orang-orang tertentu dengan balingan bola bowling itu!)

Peserta :
Pusingan Pertama : Az, Yo, Mu, Mi, Ay, Ib&Al
Pusingan Kedua : Az, Yo&Mi, Ay, Ib&Al

Kedudukan/keputusan :
Pusingan pertama :Az, Mu, Mi=Ay, Yo=Ib&Al
Pusingan kedua : Yo&Mi, Ay, Az, Ib&Al


Peserta pertama memilih bola..


Peserta kedua memilih bola..

Peserta ketiga bersedia untuk membaling..


Peserta keempat membaling..
Peserta kelima melayang..

Peserta keenam meleret..


Barisan penyokong kuat kami..

Penyokong buat hal sendiri..


Penyokong keliru..

Penyokong semua orang..

Apa-apa pun tahniahlah..!

Tuesday, March 10, 2009

March III

Rupa-rupanya banyak juga tarikh-tarikh penting bagiku di sukuan pertama tahun ini..12 Jan, 14 Feb, 20 Feb, 22 Feb, 6 Mac, 7 Mac..

Di sukuan terakhir tahun lepas pun banyak juga.. 9 Okt, 22 Okt, 2 Nov, 10 Nov, 5 Dec, 11/12 Dec, 16 Dec, 18 Dec, 23 Dec, 31 Dec..

Tetapi nampaknya tarikh-tarikh itu seperti hanyalah sekadar tarikh-tarikh sahaja..

Dengan mencecah 44 tahun usiaku pada 16 Dec lalu, aku tidak pasti adakah kematanganku bertambah atau kebudak-budakanku yang bertambah..dengan kata lain kebodohanku..
Dengan menempuh 13 tahun usia perkahwinanku pada 22 Feb lalu, aku ragu adakah aku sudah betul-betul memahami fungsi diriku sebagai seorang isteri..
Dengan memasuki 7 tahun usia anakku pada 2 Nov lalu, aku tidak tahu adakah aku sudah benar-benar berperanan sebagai seorang ibu..

Adakah aku sudah menjadi seorang anak yang benar-benar baik buat ayah dan ibuku..?
Adakah aku sudah menjadi seorang adik/kakak yang baik buat adik beradikku..?
Adakah aku sudah menjadi seorang ipar yang baik buat ipar duaiku..?
Adakah aku sudah menjadi seorang ibu saudara yang baik buat anak-anak saudaraku..?
Adakah aku sudah menjadi seorang saudara yang baik buat kesemua saudara maraku..?
dan seterusnya..?

Adakah aku sudah menjadi seorang saudara yang baik terhadap saudara-saudara seagamaku..? Sebangsaku..?
Adakah aku sudah menjadi seorang kawan yang baik terhadap kawan-kawanku..?
DAN SETERUSNYA..?

Adakah aku sudah menjadi seorang penganut yang baik kepada agamaku..?
Adakah aku sudah menjadi seorang hamba yang baik kepada Penciptaku..?

Wahai semua, maafkanlah segala kelemahanku. Maafkanlah segala kekuranganku. Maafkanlah segala kelalaianku. Maafkanlah segala kebodohanku. Maafkanlah segala kejahilanku. Maafkanlah segala keterlanjuranku. Maafkanlah segala keterlampauanku.

Wahai Allah, ampunilah aku.

Tuesday, March 3, 2009

March II

Hari ini.. aku boleh meraikan.. genap setahun aku berblogging.. jika aku ingin meraikannya.. pada tarikh inilah.. aku telah berjaya.. mempublishkan tajuk percubaanku..

Lantas.. aku teringat semula lagu itu.. yang melatari diriku di saat itu.. dan perasaanku di ketika itu..

Aku tahu.. di bumi Allah.. yang luas ini.. aku hanya bersendirian.. melangkahkan kakiku.. ke mana hendak kutuju..

Dan di ketika.. segenap kepingan penjuru alam.. seperti menghimpit.. dan menghempapku.. aku terduduk.. tersimpuh.. tertunduk.. memandang lantai..

Akhirnya nama DIA jua yang kuseru.. tiada lain yang mengerti.. dan dapat membantu..

Sunday, March 1, 2009

March

Pagi tadi kami ke Taman Tasik P, menyertai riadhah keluarga yang dianjurkan oleh sahabat-sahabat kami dari selatan Kuala L. Ini merupakan riadhah siri kedua untuk tahun ini selepas siri pertama yang diadakan pada 1 Februari lalu di lokasi yang sama. Aktiviti bulanan ini bertujuan untuk berkumpul sesama ahli keluarga sahabat handai dan mengeratkan lagi ukhuwwah Islamiah sesama kami. Kami sampai di sana lebih kurang pukul 9 pagi agak lewat daripada waktu yang dijadualkan iaitu pukul 8 pagi.

Kawasan tempat kami selalu berkumpul kelihatan lengang. Tidak kelihatan muka-muka yang kami kenali. Tiba-tiba anakku berkata, "Alim nak main dengan Muazlah". "Mana dia..?", tanyaku, menyedari tentu anakku telah melihat kelibat anak sahabatku A itu. Kemudiannya aku nampak Muaz sedang bermain jongkang jongkit moden yang berspring itu dengan seorang lagi kanak-kanak lain. Aku bertanya kepadanya, "Ummi mana..?". Jawabnya, "Ummi jogging". "Ummi letak barang kat mana?", tanyaku lagi. "Kat sana", tunjuknya ke arah sebuah pondok yang pernah kami duduki semasa riadhah sebelum-sebelum ini.

Kami menuju ke pondok itu untuk meletakkan bekalan yang kami bawa dan mendapati ia ditunggui oleh seorang anak sahabat kami, S manakala sahabat-sahabat yang lain telah beredar mengelilingi taman. Anakku menyertai Muaz selepas kami berpesan kepadanya agar tidak bermain jauh dari situ dan menunggu kami di pondok jika telah penat bermain. Kami juga memberitahunya ada seorang abang menunggu di pondok jika ada apa-apa dan turut berpesan kepada anak teruna sahabat kami yang sedang membaca itu agar menengok-nengokkan anak kami dan anak-anak yang lain juga.

Segera suamiku memulakan langkah ke kanan menaiki lereng berbukit dengan diikuti oleh aku, menuruninya di sebelah sana dan membelok ke kiri menghala ke tasik, menyusuri tepian kiri sebelah tasik dan membelok ke kiri mendaki anak bukit yang satu lagi, menghala ke 'parking', merentasi kawasan permainan kanak-kanak dan sampai semula ke tempat kami bermula dalam masa lebih kurang 1/2 jam. Di perjalanan kami bertembung dengan beberapa yang lain menghala dari arah yang bertentangan. Di pondok, sahabat-sahabat yang lain sudah sedia menunggu. Kami menghidangkan bekalan yang dibawa dan memakannya bersama-sama. Ketua riadhah menamatkan sessi dengan suatu peringatan pendek. Lebih kurang pukul 11 pagi kami bersurai dan sampai di rumah lebih kurang pukul 11.30 pagi.

Sesampai di rumah kulihat anak perempuan sulong kami sedang mengeluarkan ayam halalan toyyiban yang kami beli semalam dari peti sejuk. Oh..selamat aku hari ini..