Friday, May 15, 2009

Suatu Jumaat Yang Santai

Hari ini saya rasa lebih relax daripada biasa. Suami saya telah terbang ke Pulau Langkawi dengan penerbangan jam 11 pagi tadi dan anak saya pula telah menaiki van ke sekolah jam 12 tengahari. Tiada baju untuk dijemurbalikangkat kerana tiada sesiapa di antara kami yang mencuci baju petang semalam-malam tadi-pagi ini. Saya pula sedang 'bercuti' daripada bersolat..

Tom and Jerry di saluran 616 Cartoon Network dari jam 12.++ hingga 1.05.
Saya on TV dan rancangan kartun Tom and Jerry sedang ditayangkan. Saya tengok.

Jenguk Komputer
Lepas tu saya pergi 'jenguk' komputer. Setelah 'jump' ke sana sini untuk melihat 'update' kaum kerabat dan 'mengganggu' mereka di sana-sini, saya berbalik ke ruang tamu semula.

Menunggu-nunggu untuk menelefon ibu sambil check channel tv
Saya on TV sekali lagi dan mengalih-alih channel untuk melihat apa yang menarik untuk saya tontoni sementara menunggu masa yang sesuai untuk menelefon bonda saya, sambil berfikir-fikir samada beliau sudah habis makan tengahari yang biasanya dilakukannya pada jam 1 dan bersolat Zohor sesudah itu. Saya sampai ke saluran Astro Oasis dengan Anjakan Paradigma DDFKamsah sedang bermula.

Anjakan Paradigma DDFKamsah di saluran 106 Astro Oasis jam 1.30-2.30 petang
Merasakan rancangan DDFK ini baik dan menarik yang mengundang pelakun Fahrin Ahmad sebagai tetamu minggu ini dengan tajuk 'Adakah saya Menawan?' lantas saya menontonnya.

Saya tahu rancangan ini akan diikuti pula oleh rancangan Bersama DDFK selepasnya.

Bersama DDFKamsah di saluran 106 Astro Oasis jam 2.30-3.00 petang..
Dengan tajuk hari ini 'Mengapa Lelaki Mudah Berbohong?'

Mengira-ngira untuk menelefon ibu sambil check channel TV lagi
Lepas itu saya check semua channel TV.. 101, 102, 103, 104 105 dan 106 sahaja sebenarnya, mungkin juga 107, 108 dan 119. Sebenarnya saya hendak memastikan apakah rancangan yang sedang disiarkan untuk mengagak adakah bunda saya sedang menonton rancangan kegemaran atau sedang berehat. Sebenarnya saya hendak menelefonnya yang tertangguh sejak Rabu. Minggu lepas dia yang terlebih dahulu menelefon saya. Dalam dok check mengecheck itu saya terjebak dengan beberapa siaran lagi yang menarik hati lantas tertontonnya..!

Drama Garapan Kenangan di saluran 102 TV2 jam 3.00-5.00 petang
Kisah guru dan murid sempena Hari Guru esok kot..

Lakunan Zila Bakarin sebagai Cikgu Rosmah, saya tidak sempat mengekod nama budak yang melakonkan watak Afendi Nasir..tetapi dia pandai berlakun.. Nasir Bilal Khan sebagai Nasir, bapa Afendi, Norseha sebagai Cikgu Fauziah, Kazarudin sebagai Cikgu Razak dan apa Khureizmi sebagai Fauzi, sepupu Cikgu Fauziah..

Kisah mengenai seorang guru Bahasa Inggeris, Cikgu Rosmah, yang baru bertukar dari Mentakab, Pahang ke sebuah sekolah rendah di negeri Perak dan seorang anak muridnya, Afendi Nasir pelajar tahun 6 di dalam kelasnya di sekolah baru itu yang telah kematian ibu. Menarik cerita ini kerana bagi saya ia hampir dengan realiti sebenar peranan dan hubungan guru-murid di sekolah. Tidak diganggu dengan cerita cinta seperti yang biasa kita lihat, cerita ini memfokus tentang ketulusan hubungan antara guru dan murid. Di pertengahan cerita, Cikgu Rosmah menyesali tanggapan awalnya terhadap Afendi setelah mengetahui bahawa selepas kematian ibu, Afendi mengambil alih tugas mengurus rumahtangga seperti memasak, membersih rumah termasuk membeli barangan keperluan dapur. Ayah Afendi sendiri seperti orang kesasauan dan tidak terurus, walaupun beliau adalah seorang yang kaya dan mempunyai perniagaan sendiri. Cikgu Rosmah memberitahu Cikgu Fauziah : "Saya mengganggapnya murid yang tidak berguna kak..yang pemalas dan pengotor.." Cikgu Rosmah berjaya akhirnya menyedarkan bapa Afendi akan tanggungjawabnya terhadap anaknya itu semasa Nasir dimasukkan ke hospital kerana lemah harapan dan hampir berputus asa dengan hidupnya. Sebenarnya kedua-dua beranak ini hidup dalam kenangan terhadap isteri/ibu yang telah tiada. Di akhir cerita, Afendi yang telah dewasa menjemput Cikgu Rosmah untuk melihat calun isteri pilihannya. Cikgu Rosmah mengatakan : "Kamu tidak terhutang apa-apa dengan cikgu Afendi..Cikgu hanya mengajar kamu Bahasa Inggeris sedangkan kamu mengajar cikgu erti kehidupan.. "

Menelefon ibu
Sebaik cerita ini habis saya telefon ibu. Saya kontrol mood sebab semasa tengok cerita Garapan Kenangan tadi airmata saya mengalir.

Drama Liang Lahad di saluran 106 Astro Oasis jam 4.50-6.30 petang
Semasa saya mula tengok drama ini ia sudah berlangsung selama 10-20 minit.. Tak tahulah ia bersempena dengan hari ibu atau hari bapa atau hari isteri atau hari anak..

Lakunan MRajoli sebagai Pak Dolah, Norlia Ghani sebagai Hasmah, isteri Pak Dolah, Jalil Hamid sebagai Talib, Rosnah Mat Aris sebagai Ros, isteri Talib dan Shahezi Sham, betul kot macam ni namanya, sebagai anak Pak Dolah.

Mengenai kisah seorang imam kampung, Pak Dolah, yang telah lanjut usia dan uzur yang tinggal bersama isterinya, Mak Mah, juga tua dan uzur di sebuah rumah bersebelahan kubur di kampungnya. Pak Dolah sering didatangi roh-roh orang-orang yang telah meninggal dunia yang memberitahunya azab yang mereka tanggung di kubur dan meminta pertolongannya untuk meringankan siksaan itu. Lantaran hanya dia yang dapat melihat roh-roh itu dan kejadian itu berlaku di larut malam semasa isterinya sedang tidur, hal ini kelihatan ganjil oleh isterinya yang tidak mengetahui keadaan sebenar. Mak Mah merasakan sesuatu yang pelik sedang berlaku kepada suaminya. Dalam kebimbangannya tentang keadaan suaminya, hal ini dieksploit oleh pasangan suami isteri, Talib dan Ros yang ingin membalas dendam, sebenarnya Taliblah yang lebih beria-ria lantaran marah kerana ditegur perbuatan mereka makan cendol di tepi pantai di siang hari bulan Ramadhan dengan mengatakan Pak Dolah gila. Talib mengarahkan budak-budak kampung mengurung Pak Dolah dalam sebuah kurungan yang dibina di perkarangan rumah Pak Dolah. Isteri Pak Dolah walaupun tidak sampai hati tetapi termakan tuduhan yang dikenakan oleh pasangan tersebut menurut kemahuan dan arahan Talib untuk mengurung Pak Dolah. Apabila anak lelaki Pak Dolah balik dari tempat lain dan mendapati ayahnya dikurung sedemikian dia berusaha untuk melepaskan ayahnya walaupun pada permulaannya ditegah-halang oleh ibunya dan budak-budak kampung yang ditugaskan Talib menjaga kurungan itu yang merupakan kawan-kawannya .

Talib pula yang sedang berjudi ketika itu kemudiannya mengalami kemalangan apabila motorsikal yang dinaikinya dalam perjalanan pulang di larut malam itu bertembung dengan beberapa ekor kambing yang berkeliaran di jalan yang dilaluinya langsung terbabas dan melanggar tiang/pokok..

Talib yang balik ke rumah selepas kemalangan itu mengetahui daripada isterinya yang kunci kurungan Pak Dolah telah diserahkan kepada anak lelaki Pak Dolah langsung menyusul ke rumah Pak Dolah. Di sana Talib mengungkit dan menuduh Pak Dolah telah menganiaya keluarganya dengan merampas tanah milik mereka tetapi kemunculan roh ibubapa Talib yang menjelaskan bahawa Taliblah yang sebenarnya telah menyusahkan hidup mereka sehingga tanah mereka tergadai menyebabkan Talib tersedar bahawa beliau sedang dalam perjalanan menuju ke alam yang lain..

Apa yang menarik daripada drama ini ialah kata-kata PD kepada isterinya Mak Mah apabila dia berjaya dilepaskan oleh anaknya.."abang kesal kerana rupa-rupanya isteri abang masih belum mengenali siapa abang..dan dia lebih mempercayai orang lain daripada suaminya sendiri.."

Drama ini diakhiri dengan tangisan Ros di perkuburan yang tidak menyangka suaminya pergi meninggalkannya dengan sekelip mata. Talib meninggal dunia dalam kemalangan itu di tempat kejadian.

Cerita ini digarap dengan begitu menarik bagi saya. Demikian juga lakunan pelakun-pelakunnya.

Telah kembalinya ke rahmatullah..solat jenazah 10 pagi
Sebenarnya juga dalam saya duduk-duduk seorang diri di rumah ini saya ingat, yang bermakna saya tidak lupa, bahawa petang semalam telah kembalinya ke rahmatullah seorang sahabat di utara tanah air. Saya secara peribadi tidak berapa mengenalinya tetapi beliau adalah isteri kepada mudir atau pengetua sekolah beberapa orang anak-anak kami. Tidaklah dapat hendak saya ceritakan mengenainya dengan lebih lanjut kerana wajahnya pun mungkin saya tidak berapa mengecami. Apa yang boleh saya katakan ialah beliau adalah ibu kepada anak-anak di maahad tarbiah itu. Sekalung takziah daripada saya untuk ahli keluarganya, sahabat-sahabatnya serta 'anak-anak' yang ditinggalkannya..AlFatihah.
Selamat hari guru..
Di kesempatan ini juga saya ingin mengucapkan selamat hari guru kepada semua guru yang masih bertugas dan yang telah bersara dan yang masih di dalam latihan. Istimewa buat guru-guruku di masa lalu dan guru-guru anak-anakku yang banyak berjasa kepadaku dan bangsaku. Juga buat kakak-kakak dan adik-adikku serta iparduaiku yang telah terlibat dalam bidang ini ditambah lagi anak-anak saudara kami dan seorang lagi adik kami barangkali..Juga kepada semua guru-guru di seluruh tanah air..

Monday, May 11, 2009

May II

Bersempena dengan hari ibu walaupun aku tidak biasa dengan sambutan hari itu dan aku tidak peduli pun dengan tarikh dan ketibaan hari ibu seperti aku tidak peduli dengan kedatangan tarikh-tarikh lain..sebagaimana yang ditulis oleh Prof Kamil di dalam blognya..tetapi aku ingin mengungkapkan perasaaanku bersempena dengan kesibukan orang lain menyambutnya..

Aku tahu aku tidak dapat memberikan ibu hadiah..apatah lagi yang berharga..sempena hari ibu.. atau bila-bila..
aku juga tahu aku tidak dapat memberikan ibu kesenangan dan kemewahan sebagaimana anak-anak lain dapat memberikannya..

Bagiku kesenangan, kemewahan dan hadiah fizikal bukanlah apa-apa berbanding dengan nilaian jiwa..

tetapi aku juga tidak dapat memeluk dan membelai ibu sentiasa..
tidak dapat menjenguk dan bertanya khabar ibu sekerap mana..

aku tahu aku juga tidak dapat menjaga dan merawat ibu sedangkan orang lain dapat melakukannya..

Mungkin.. aku berharap.. aku boleh..

tetapi nampaknya..

aku tidak banyak pun membaca ayat-ayat suci sebagai hadiah untuknya..
dan tidak banyak juga berdoa untuk ibu sebagai anak yang soleh..
atau banyak beramal yang membolehkan ibu mendapat pahala terus menerus daripadanya untuk kesejahteraan ibu di negeri sana..

Lalu apa yang dapat aku berikan kepada ibu untuk membalas jasanya..?
Apakah sumbangan baktiku untuknya..?

Nampaknya..seperti..benarlah..

ibu mengandungkan aku 9 bulan 9 hari adalah percuma..
ibu mengasuh dan membesarkan aku selama ini adalah percuma..
ibu bersusah dan berjaga malam keranaku adalah percuma..
ibu bersabar dengan kerenahku dari kecil sehingga dewasa adalah percuma..
ibu risau tentang segala-galanya di dalam hidupku sehingga kini adalah percuma..

Walaupun demikian aku masih tidak malu-malu meminta-minta daripada ibu..permintaan yang besar-besar..

restuilah aku ibu..
redhailah aku ibu..
doakanlah aku ibu..

Layakkah aku..?

Monday, May 4, 2009

May

Sebenarnya setelah berkahwin aku hanya dapat pulang menziarahi ibu jarang-jarang dengan lawatan sependek 2 atau 3 hari setiap kali dan jarang juga dapat menelefon. Lantaran itu, aku banyak ketinggalan dalam banyak perkara tentang ibu dan keluarga berbanding dengan adik beradikku yang lain.

Semasa aku berkahwin dulu ibu masih sihat. Demikian juga semasa adik-adikku yang seramai 4 orang itu berumahtangga. Beliau mula uzur hanya sebaik sahaja selepas adik bongsuku bernikah. Aku jelas tentang ini selepas bercerita-ceriti dengannya semasa beliau datang ke rumahku baru-baru ini.

Sebenarnya ibu amat jarang datang bermalam di rumahku walaupun boleh dikatakan setiap tahun beliau datang ke kotaraya ini dengan lawatan sepanjang lebih kurang sebulan setiap kali bermula pada tahun 2001. Kali pertama dia bermalam lama di rumahku ialah pada hujung tahun lepas iaitu selama seminggu. Sebelum-sebelumnya, mungkin semalam atau dua atau lebih banyaknya hanya melawat sepagi atau sepetang sahaja tanpa bermalam.

Ini adalah kali kedua beliau mahu datang ke rumahku selama seperti hujung tahun lalu atau sebenarnya aku berharap juga kalau boleh lebih lama daripada itu.

Sebenarnya juga sedari awal aku teragak-agak untuk mengajak ibuku ke mari pada kali ini memandangkan kekangan-kekangan yang aku hadapi. Aku bimbang juga ia akan menjejaskan ibu yang sudah sememangnya uzur sedangkan ibu perlu dilayani mengikut jadualnya sendiri yang agak ketat bagiku yang selalu tidak berjadual ini.

Selasa, ibu mula menunjukkan tanda-tanda tidak sihat selepas dua hari berada di rumahku. Aku membawa ibu dari rumah adik pada Sabtu malam lalu.

Rabu pagi, anakku bangun tidur dengan mata merah. Kata suamiku, sebab tidur terlungkup barangkali. Selepas itu, aku menerima berita bapa kawanku meninggal di Subuh hari itu. Hari itu juga aku kena jaga baby sebab maknya ke JB. Baby mula tercirit-cirit sampai 'tembus' setiap kali kemudiannya. Setelah balik dari sekolah agama anakku memberitahu ustazah tidak benarkan dia datang ke sekolah keesokannya kerana takut menjangkiti pelajar lain pula. Sahlah anakku kena sakit mata berjangkit daripada kakak pembantu pemandu dalam bas sekolahnya. Suamiku balik untuk solat jenazah allahyarham bapa kawanku pada tengahari walaupun terlepas akhirnya. Langsung beliau membawa anakku ke klinik untuk mendapatkan ubat mata yang perlu dititik setiap 2 jam sekali. Aku masih boleh manage. Malamnya ibuku terkincit di tempat tidur. Aku okey kerana aku tidak pernah lagi membasuh najis ibuku walaupun beliau entah berapa kali membasuh berakku sewaktu aku kecil dulu dan aku juga teramat tahu adik beradikku di kampung terlebih-lebih bersusah payah untuk ibu yang tidaklah dapat untukku bandingkan dengan diriku ini.

Khamis, anakku masih tidak ke sekolah, masih sakit mata tetapi dia kelihatan ok saja. Cuma aku perlu menitiskan ubat matanya setiap 2 jam. Ibu sudah menunjukkan tanda yang lebih tidak sihat dari semalam tetapi tidak mengaturku. Tengah harinya, aku mula sakit mata yang merebak dengan pesatnya. Terus mukaku 'bekak ccobong', airmata menitik sekejap-sekejap. Bukan menangis tetapi symptom sakit mata. Kepalaku berat dan pening, belakang badanku sakit-sakit dan lenguh-lenguh, aku seperti mahu demam. Baby pula hari ini tidak mahu duduk, mahu didukungi sedangkan semalam dia tidak 'kkiut' lantaran letih keciritan barangkali. Hari ini dia mula muntah sewaktu suamiku hendak keluar ke pejabat di waktu pagi dan muntah lagi sewaktu suamiku pulang dari pejabat di sebelah petang dan muntah 2, 3 kali lagi selepas itu.
Ibu mula tidak lalu makan, sebenarnya sedari semalamnya lagi. Tambah hari ini mataku pula yang perlu dititik 2 jam sekali. Setiap kali sujud dalam solat biji mataku terasa sakit seperti hendak jatuh terkeluar. Kain baju sedari semalam banyak yang hendak dijemurangkat. Terpaksalah aku meminta anakku tolong jaga baby juga dengan memakai cermin mata hitamnya. Apabila masuk dari ampaian di luar atas ubun-ubunku terasa panas yang kutepuk-tepuk dengan sapuan air wuduk fardhu Zohor. Kerana aku rasa macam berkesan lalu aku mandi dan keluar tanpa mengelapi badanku. Aku rasa agak lega dalam 2-3 jam selepas itu sambil duduk di kerusi rehat ruang tamu. Aku selesa di situ.

Dalam pada itu, aku teringat kursus bersiri yang sepatutnya aku dan suami hadiri pada hari Sabtu nanti. Aku mula bertanya pendapat ibu macam mana dengan dirinya bilamana aku dan suamiku ke kursus itu. Dia bersetuju bila aku mencadangkan agar adikku mengambilnya untuk berhujung minggu tetapi rupanya adikku itu tidak dapat menjemput ibu setelah aku meny'sms'nya melainkan pada hari Ahad yang sudah dirancangnya untuk belanja ibu makan..

Aku beritahu ibu tentang itu dan cakap padanya aku nak tanya abangku pula. Ibu setuju, terus aku sms abang. Abang sms balik dengan jawaban ok tetapi pada masa itu abang sedang berada di Johor Baharu dan akan balik esoknya, Jumaat petang. Kira oklah semuanya setakat itu walaupun ibuku berkata, 'dia rasa seperti dilambung macam buah selambut'. 'La..kataku, saya bermaksud agar ibu dapat pergi ke semua rumah adik beradik walaupun sekejap memandangkan abang dan adik tidak dapat mengambil ibu di dalam minggu kerana mereka berdua dan isteri masing-masing bekerja.

Jumaat, anakku masih tidak ke sekolah, cucu sudah ke taska, aku masih sakit mata, ibu makin tidak lalu makan. Seharian hanya satu dua suap sahaja yang dapat ditelannya sewaktu sarapan pagi, tengah hari mahupun malam. Aku kebingungan. Rasa macam mahu cepat-cepat beliau diambil oleh abang atau adikku agar mereka dapat membantunya mengatasi masalah itu. Ibu memberitahu dia sebenarnya ingin mengikuti kami ke kursus bersiri itu tapi tak apalah since kami dah arrange agar abang mengambilnya. Aku pula memberitahunya aku pun tidak tahu dapat hadiri kursus itu atau tidak kerana mataku semakin 'bborat'.

Aku tidak dapat berkata apa-apa lagi. Hanya membiarkan keadaan berlalu begitu. Aku rasa macam failed kali ini dan tidak dapat memujuk hati ibu daripada tersinggung kepadaku terutamanya. Memang dia ulangi lagi, rasa macam buah selambut dan aku rasa kegagalanku turut menjejaskan abang dan dua adikku.

Malam itu aku tidak memasak. Hanya memakan lebihan makanan tengah hari. Bila ku ajak anakku makan, beliau tidak mahu lebihan nasi goreng itu. Aku membancuhkannya minuman Vico tetapi dia sudah mula terlena-lena semasa aku menyuruh dia meminumnya. Biskut pun tidak dijamahnya.

Malam itu aku tidur di sofabed yang masih berlapik dan berbantalkan bantal yang ditiduri ibu sebelumnya. Anakku telah tergolek lena di atas tikar Serawak dan berbantalkan bantal yang ditiduri anak saudaranya sebelum ini. Aku resah di tempat tidur memikirkan kepergian ibu begitu dan kegagalanku. Apatah lagi sofabed itu langsung tidak menyelesakan aku. Aku beralih dari sofabed ke tikar bersebelahan anakku yang kemudian beralih pula ke sofa bed itu. Tidak dapat memejamkan mata..dalam keresahan..dalam kepanasan..