Tuesday, June 30, 2009

Jun

Saya sering teringatkan cerita ini yang telah saya tonton di slot cerekarama TV3 sempena sambutan Maulidur Rasul tahun lalu. Tetapi maaf, kerana saya tidak ingat tajuknya begitu juga nama watak-wataknya.

Sebuah cerita di dalam cerita yang mempunyai dua watak utama lakunan Zamarul Hisyam dan seorang lagi pelakun lelaki yang tidak saya ketahui namanya tetapi dia berlakun dalam banyak juga drama termasuk sebagai kekasih Azizah Mahzan yang mencintai adik kekasihnya, lakunan Norish Karman dalam drama bersiri SpaQ2.

Kisah bermula dengan Watak Utama I (WUI) sering melihat seorang lelaki (Watak Lakunan Zamarul Hisyam, WLZH) selalu berada di sekitar tempat WUI bekerja. Ada yang tidak kena pada lelaki itu yang membuatkan WUI tertanya-tanya siapakah dia yang sebenarnya. Lelaki itu kelihatan seperti ingin mendekati WUI tetapi mengelak apabila ingin dihampirinya. Hinggalah pada suatu hari lelaki itu menyapa WUI yang sedang minum di sebuah kedai makan. WUI mempelawa lelaki itu makan minum bersamanya yang diterima oleh lelaki itu dengan teragak-agak. Lelaki itu memberitahu dia sememangnya mengekori WUI selama ini kerana kagum dengan kejayaan WUI dalam kerjaya dan kehidupan sedangkan lelaki itu sendiri adalah seorang yang gagal dan tidak terurus.

Di pejabat WUI bertanya kepada beberapa orang pekerja kalau-kalau mereka tahu kisah hidup lelaki itu. Nasib baik kerana ada dua tiga orang lelaki yang tahu mengenai lelaki itu dan sudi menceritakannya kepada WUI. Mereka memulakan cerita sambil minum-minum di kedai makan itu kemudiannya..

Dia adalah seorang anak tunggal kepada sepasang suami isteri (lakunan Abu Bakar Juah dan Kartina Aziz) yang dibelai dengan sepenuh kasih sayang oleh ibunya. Selepas menamatkan pengajian menengah dia yang bercita-cita tinggi ingin melanjutkan pelajaran keluar negara dan memujuk ibubapanya melepaskannya pergi. Setelah tamat pengajian dia pulang ke tanah air dan ingin bekerja sendiri. Dia meminta ibubapanya menyediakannya modal. Ibubapanya bukanlah orang kaya di mana ayahnya ialah seorang pesara polis berpangkat sarjan menjual rumah mereka di bandar demi hasrat anaknya itu menubuhkan sebuah perniagaan. Setelah itu, ibubapanya berpindah ke kampung.

Kemudian pada malamnya pekerja-pekerja itu datang ke rumah WUI untuk meneruskan kisah lelaki itu..

Dia yang semakin berjaya ingin mengahwini seorang gadis (Watak Lakunan Dinaz, WLD) menyembunyikan latar belakang keluarganya daripada pengetahuan gadis itu dan keluarga gadis itu yang kaya raya. Sehinggakan dia tidak memberitahu ibubapanya tentang rancangan perkahwinannya. Bapanya yang mengetahui tentang perkahwinan yang bakal berlangsung itu daripada orang lain berkecil hati dengan tindakannya manakala ibunya pula ingin menghadiri majlis tersebut walaupun tidak diminta.

Dia yang ternampak kelibat ibunya tampil di perkarangan masjid di mana majlis pernikahan itu sedang berlangsung keluar dari dewan masjid. Dia tidak membenarkan ibunya masuk. Walaupun ibunya merayu untuk berada di majlis itu namun dia tetap berkeras dan menyuruh ibunya pulang.

Sementara asyik mendengar cerita, telefon berdering dan diangkat oleh isteri WUI (Watak Lakunan Kuza, WLK). Isteri WUI memanggil WUI untuk menjawab telefon daripada ibu WUI yang menelefon dari kampung. Tetapi kerana asyiknya mendengar kisah lelaki itu, WUI menyuruh isterinya memberitahu ibunya bahawa WUI sedang ada tetamu. Kisah disambung lagi..

Selepas berkahwin dia dan isterinya tinggal di sebuah rumah yang besar dan mewah. Ibunya yang mengetahui dia sudah mempunyai sebuah rumah yang sebegitu sangat teringin untuk pergi ke rumahnya dan juga bertemu dengan isterinya. Walaupun ditegah oleh bapanya berkali-kali ibunya masih belum berputus asa terhadapnya. Dia yang kebetulan balik bersendirian dari mana-mana terserempak dengan ibunya di luar pagar rumahnya sekali lagi tidak membenarkan ibunya masuk. Dia menyuruh ibunya pulang dan mendorong ibunya masuk ke dalam teksi. Walaupun dengan teriak tangis ibunya merayu untuk masuk melihat rumahnya dan berjumpa dengan isterinya namun dia tetap berkeras menghalang.

Selepas kejadian itu ibunya jatuh sakit dan terlantar di pembaringan. Tidak lama kemudiannya isterinya yang amat dicintai yang mengetahui dia tidak jujur tentang ibubapanya meninggalkannya. Setelah itu, perniagaannya pula jatuh. Selepas kekecewaan-kekecewaan itu, dia mula kesasauan..

Semasa lelaki itu sudah sasaulah dia asyik mengekori WUI sehingga mereka bertemu di kedai makan itu dan WUI mula mengetahui kisah yang terjadi kepadanya. Selepas itu watak ini berada di dalam satu cerita..

WUI yang merasa terpanggil ingin membantu WLZH pulang menemui ibubapanya di kampung. Sesampai di sana, ibunya baru menghembuskan nafas yang terakhir tanpa sempat bertemu dengan anaknya yang sentiasa dinantikannya. WLZH yang kesal kerana tidak sempat bertemu dengan ibunya bertambah sasau lalu berlari ke sungai. Orang-orang kampung yang sedang sibuk hendak menguruskan jenazah ibunya tidak mempedulikannya kerana bencikan perbuatannya. Bapanya sendiri pun tidak mahu memandang wajahnya.

WUI mengekori WLZH ke sungai di kampung yang tidak dikenalinya itu di mana akhirnya WUI menyaksikan WLZH menghadapi sakratul maut dengan penuh azab. WUI amat terkedu dengan peristiwa itu apatah lagi apabila isteri WLZH sampai di tanah perkuburan dengan tangisannya dan meminta untuk melihat wajah suaminya buat kali terakhir di mana ketika kain kafan dibuka mukanya dipenuhi dengan ulat dan berbau busuk. Seterusnya apabila hendak disemadikan jenazah itu tidak dapat memuati liang lahad. Orang-orang yang bertanggungjawab menyempurnakan pengkebumian meminta bapa WLZH memaafkan segala perbuatan anaknya. Walaupun agak sukar dan enggan pada mulanya tetapi akhirnya bapanya itu meredhainya..

WUI yang sangat terkesan dengan rentetan kejadian itu terus pulang ke kampung untuk menemui ibunya. Sesampainya di sana, dia terus menyalami ibunya yang sedang mengayam tikar di laman sambil memohon ampun di atas semua kesalahan yang pernah dilakukannya. Ibunya yang tidak tahu apa yang berlaku mengatakan bahawa tiada ada kesalahan WUI yang hendak dimaafkannya. Apabila WUI memohon maaf lagi, ibunya tetap mengatakan WUI tidak pernah berbuat salah apa-apa terhadapnya. Setelah WUI memohon lagi barulah ibunya menangis dan mengakui bahawa dia ada berkecil hati kerana anaknya itu lebih mengutamakan isteri..

Yang istimewanya cerekarama cerita di dalam cerita di atas kerana ia menampilkan dua watak anak yang berbeza, seorang baik dan seorang lagi terang-terang tidak mengenang budi yang begitu senang untuk dinilai oleh kita tanpa perlu berfikir panjang lagi. Tetapi anak yang baik itupun bila dihalusi masih ada lagi bahagian-bahagian di mana ia mungkin telah membuatkan ibu atau bapanya berkecil hati dengan atau tanpa disedarinya.

Selepas melihat cerita ini saya agak kerisauan terhadap diri sendiri dan lain-lain terutama terhadap lelaki-lelaki yang penting di dalam hidup saya. Walaupun saya tahu mereka semua dan pasangan masing-masing adalah individu-individu yang baik terhadap semua orang dan semua perkara sebagaimana WUI dan isterinya digambarkan di dalam cerita ini tetapi kita juga tidak benar-benar tahu apa yang tersirat jauh di lubuk hati ibubapa kita yang paling dalam. Betapa halusnya perasaan hati seorang ibu atau bapa yang melahirkan dan membesarkan kita sehingga dewasa. Seperti dengan ibu WUI dalam cerita di atas yang tidak menzahirkan kesemua perkara yang ada di dalam hatinya, ibubapa kita juga tidak menyebut apatah lagi mengungkit dan membesarkan perkara atau kesemua perkara demi menjaga hati dan hubungan dengan kita anak-anaknya. Malahan kerana mereka sering memaafkan kita dan meminta tuhan mengampuni kita di setiap doa mereka dan di setiap langkahan kaki kita. Juga kerana mereka tidak mahu kita menjadi anak-anak yang berdosa..

Walaupun memang terpaksa diakui bahawa kita tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan terhadap mereka namun
kita sepatutnya tidak memandang ringan terhadap sesuatu perkara yang berkaitan dengan ibu bapa kita di atas sikap mereka yang sentiasa merestui dan mengharapkan kebaikan kita itu. Kepada Allahlah kita memohon ampun terhadap kesemua dosa dan kesalahan kita, pasangan-pasangan kita, anak-anak kita, adik beradik kita dan seterusnya.. terutama sekali ibubapa kita.

Walaupun cerita ini menampilkan dengan jelas perbuatan anak lelaki tetapi iktibarnya bolehlah diambil oleh anak-anak perempuan juga..

Oh ya, di kesempatan ini izinkanlah saya mengucapkan selamat hari bapa kepada semua bapa-bapa di mana-mana sahaja mereka berada.

2 comments:

Nida said...

lebih kurang cam citer iqramah pada zaman Rasulullah, melebihkan isteri dari ibu sendiri..

Ibu WA Alim said...

Sbnrnya dlm cerekarama ini tiada satu babak pun yg menggambarkan WUI melbhkan isteri..sebaliknya WUI dan isteri dgambarkan sbg pasangan biasa yg baik..mungkin kata2 ibu WUI merujuk kpd scene yg tidak digambarkan..dan mungkin juga ingin menunjukkan kpd kita bhw suatu perlakuan yg halus yg tidak kita dan WUI sedari..yg tlh menyinggung perasaan ibunya..
Cuma part d mana WUI tidak menjwb panggilan telefon ibunya dan meminta isterinya memberitahu ibunya bhw ia sdg ada tetamu..Cy menilaikan bhw WUI tanpa disedari tlh tidak mengutamakan ibunya..
Kita sendiri tentu berulangkali melakukan yg sebegini kan..?
Manakala WLZH pula terang2 menunjukkan ia membuang ibubapanya..sementara isteri dan keluarga isterinya tidak tahu menahu..dan mrk pun tidaklah digambarkan dlm cerita ini sbg manusia yg rendah budi..
Berlaku sedemikian mungkin krn WLZH adalah seorg yg mementingkan diri sendiri dgn melupakan asal usulnya..