Assalamualaikum warahmatullah,
Kita sudah berada di 15 hari terakhir di bulan Ramadhan ini..maknanya bulan Ramadhan sudah mula menurun dan menuju ke penghujungnya untuk meninggalkan kita..mungkin ada yang sudah sibuk dengan persediaan menyambut hariraya dari segi biskut mikut dan langsir perabut..baju raya rasanya semuanya sudah disedia..
Badan kita juga mungkin sudah terkesan daripada 15 hari pertama berpuasa..sudah mula terasa letihnya..menjalani ibadah puasa apatah lagi untuk menunaikan solat terawih dan lain-lain ibadah di bulan yang mulia ini. Sudah tidak berkesanggupan mungkin untuk bertadarrus dan hilang selera tatkala berbuka dan bersahur..apatah lagi semakin mengantuk untuk bangun bersolat tahajjud dan berqiamullail ..
15 hari terakhir Ramadhan..sebaliknya Ramadhan sedang menuju ke kemuncaknya..ramai yang semakin memperhebatkan amal ibadah..untuk mendapat Laitul Qadar..suatu malam yang lebih baik daripada seribu bulan..yang sudah lama ditunggu oleh orang yang menunggunya.. layakkah kita mendapatnya..?
Mari bersama-sama saya mentelaah enam rahsia dan syarat kebatinan puasa agar kita dapat menghayati 15 hari atau 10 hari-hari terakhir Ramadhan ini dengan lebih bermakna..
Rahasia-rahasia Puasa dan Syarat-syarat Kebatinannya1/ Memejamkan mata dan menahannya daripada meluaskan pandangan kepada semua perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh mengganggu hati, seperti melalaikannya dari berzikir dan mengingati Allah.
2/ Memelihara lidah daripada omong kosong, bohong, mencaci maki, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan riya'.
3/ Memelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengarkan. Dan kerana itu jugalah Allah swt telah menyamakan pendengaran kepada sesuatu semacam itu dengan memakan barang-barang yang diharamkan, sebagaimana dalam firmanNya yang bermaksud ;
Mereka itu suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram.
(Al-Maidah : 42)
4/ Memelihara seluruh anggota yang lain daripada berbuat dosa seperti tangan dan kaki, dan memeliharanya juga daripada segala yang dibenci. Demikian juga menahan perut daripada memakan barang-barang yang syubahat di waktu berbuka puasa. Apalah gunanya berpuasa daripada makanan yang halal, kemudian apabila berbuka pula dia memakan daripada makanan yang haram. Orang yang berpuasa seperti ini samalah seperti orang yang membangunkan sebuah istana yang indah, kemudian dia menghancurkan sebuah kota.
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud ;
Ada banyak orang yang berpuasa, tetapi ia tiada memperolehi daripada puasanya itu, selain daripada lapar dan dahaga (yakni tiada mendapat pahala).
Ada yang mengatakan, bahawa orang itu adalah orang yang berbuka puasanya dengan makanan yang haram. Yang lain pula mengatakan, orang itu adalah orang yang menahan dirinya (berpuasa) daripada makanan yang halal, lalu ia berbuka dengan memakan daging manusia; iaitu mencaci maki orang kerana yang demikian itu adalah haram hukumnya. Ada yang mengartikan dengan orang yang tiada memelihara anggota-anggotanya daripada dosa.
5/ Janganlah dia memperbanyakkan makan di waktu berbuka puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang,
kerana tidak ada bekas yang paling dibenci oleh Allah swt daripada perut yang penuh dengan makanan yang halal. Cubalah renungkan bagaimanakah dapat menentang musuh Allah (syaitan) dan melawan syahwat, kiranya apa yang dilakukan oleh orang yang berpuasa di waktu berbuka itu, ialah mengisikan perut yang kosong itu dengan berbagai makanan semata-mata kerana dia tidak mengisikannya di waktu siang tadi. Kadangkala makanan-makanan yang disediakan itu berbagai-bagai rencamnya, sehingga menjadi semacam adat pula kemudiannya. Akhirnya dikumpulkanlah bermacam-ragam makanan untuk persediaan menyambut Ramadhan, dan dihidangkanlah pula dalam satu bulan itu bermacam-macam makanan yang tidak pernah dihidangkan pada bulan-bulan sebelumnya. Sebagaimana yang termaklum, bahawa maksud puasa itu adalah menahan selera dan mengekang nafsu, agar diri menjadi kuat untuk taat dan bertaqwa kepada Allah. Tetapi kalaulah hanya sekadar mengekang perut di siang hari hingga ke masa berbuka, lalu membiarkan syahwat berlonjak-lonjak dengan kemahuannya kepada makanan, dan dihidangkan pula dengan berbagai makanan yang lazat-lazat, sehingga perut kekenyangan, tentulah perut akan bertambah keinginannya kepada makanan-makanan itu. Malah akan timbul daripada syahwat pula keinginan yang baru, yang kalau tidak dibiasakan sebelumnya, mungkin ia tetap pada kebiasaannya. Semua ini adalah bertentangan dengan maksud dan tujuan puasa yang sebenarnya. Sebab hakikat puasa dan rahasianya adalah untuk melemahkan kemahuan dan keinginan, yang digunakan oleh syaitan, sebagai cara-cara untuk menarik manusia kepada berbagai kejahatan. Padahal kemahuan dan keinginan ini tiada dapat ditentang, melainkan dengan mengurangkan syahwat.
Barangsiapa yang menjadikan di antara hatinya dan dadanya tempat untuk dipenuhi dengan makanan, maka ia terlindung daripada kerajaan langit.6/ Hendaklah hatinya merasa bimbang antara takut dan harapan, kerana ia tiada mengetahui apakah amalan puasanya itu diterima oleh Allah, sehingga tergolonglah ia ke dalam puak muqarrabin (hampir kepada Allah), ataupun puasanya tertolak, maka terkiralah ia ke dalam golongan orang yang terjauh daripada rahmat Allah Taala. Perasaan seumpama ini seharusnya sentiasa ada pada diri seseorang, setiap kali selesai melakukan sesuatu ibadat kepada Allah Taala.
Rahasia-rahasia puasa dan syarat-syarat kebatinanya ini saya petik daripada kitab Bimbingan Mu'minin Untuk Mencapai Tingkat Mau'idzatul Mukminin - Pada Mencari Redha Rabil-'Alamin Jilid 1-2, ms 115-117 daripada judul asal Mau'idzatul Mukminin ringkasan daripada Ihya' 'Ulumuddin karangan Imam Alghazali sususan APAllamah Almarhum Asysyaikh Muhammad Jamaluddin Alqasimi Addimasyqi terbitan Al-Maktabah At-Tijjariyyah Al-Kubro (tidak bertahun) terjemahan Moh. Abdai Rathomy, 1979.
Wahai saudara-saudaraku sekelian, ketahuilah kita mengapa sebelum ini terasa betapa jauhnya kita daripada Allah swt dan amalan puasa kita terasa biasa-biasa sahaja. Betapa sukarnya kita untuk bangun bersolat malam dan susahnya untuk beristiqamah bertadarrus di sepanjang bulan Ramadhan apatah lagi dapat mengkhatami 30 juzuk daripada al Quran. Sungguh payahnya kita untuk membersihkan hati daripada segala sifat kekejian dan mengikhlaskan hati dalam beramal kebaikan. Moga-moga Allah swt mengampunkan dosa-dosa kita yang telah lalu dan yang akan datang dan membuka seluas-luas jalan di hadapan kita untuk menuju ke keredhaanNya. Amin.
Eid mubarrak buat semua muslimin dan muslimat di seluruh pelusuk alam serta maaf dzahir dan batin.
(Siri Peringatan Buat Diriku Yang Lalai dan Lupa)