Saya terdiam memikirkan siapakah orang yang dimaksudkan. Saya mengagak mereka adalah sebuah keluarga yang tinggal di hujung jalan sana kerana tiada orang lain yang saya kenali dengan nama-nama sedemikian di kejiranan ini melainkan mereka suami isteri. Saya terus terbayang wajah anak sulongnya itu seorang pemuda berusia tiga puluhan, belum beristeri.
Ketika itu hujan turun dengan lebat sekali. Saya bangun berdiri lalu menuju ke tingkap bilik tidur kami, memerhatikan hujan yang turun menimpa permukaan jalan di depan rumah kami.
Sebenarnya banyak berita kematian yang saya terima akhir-akhir ini. Memanglah mati itu lumrah kehidupan dan setiap saat ada saja yang 'pergi' dari seluruh dunia ini. Tetapi saya bercakap mengenai orang-orang yang kita kenali atau orang-orang yang dikenali oleh kenalan kita.
Bapa saudara saya, bapa Kak Asiah, bapa mertua Anini..dan ramai lagi di antara itu dan sebelum itu. Teringat komen saya apabila mendengar berita kematian seseorang tempoh hari, saya berkata, rasa macam baru saja menerima berita kematian sebelum ini..
Jelaslah, hidup ini begitu rapuh sekali.
Saya lalu terbayang wajah anak muda itu walaupun tidak rapat dengannya dan agak baru mengenalinya. Ibubapanya sudah saya kenali sejak mula saya datang menghuni kota ini tetapi tidaklah selalu kami bertemu. Hanya kami tinggal di kawasan kejiranan yang sama. Sekali sekali bersua dan bertegur sapa. Ibubapanya memang dari kalangan orang baik-baik.
Saya mula mengenali anak sulongnya awal tahun 2006. Semasa itu dia dan ibubapanya baru mengendalikan sebuah restoran di kawasan kedai di kawasan taman perumahan kami. Ada juga saya singgah di kedai makannya itu apabila pulang dari mengambil anak di tadika. Sebenarnya saya dan anak suka juga melilau di kawasan kedai-kedai di situ. Tengok-tengok apa yang boleh kami beli.
Saya selalu juga mengambil peluang untuk singgah membeli nasi belauk/kerabu/lemak dari kedainya sebagai tanda sokongan saya terhadap dirinya dan keluarga. Ibunya pernah memberitahu restoran itu dibuka demi masa depan putera sulongnya itu. Harapannya agar jika berjaya perniagaan itu ia dapat menyusun kehidupan puteranya ke arah yang lebih sempurna dengan berumahtangga.
Apabila singgah di sana saya sering melihat ibu dan ayah itu membantu sedaya mungkin di situ. Demikianlah harapan dan kasih seorang ibu dan ayah terhadap anak yang dilahirkan.
Tetapi kasih Allah mengatasi segala. Dan nampaknya kita hanya merancang dan Allah yang menentukan amat benar sekali. Dia dijemput pulang ke dalam rahmatnya. Al Fatihah.
2 comments:
Al-Fatihah..
Ya lah Da, dr pangkuan ibubapa dia telah kembali ke pangkuan Illahi..
Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raajiuuun.
Post a Comment