Bahan-bahan
Beberapa helai daun pandan
Air
Tepung beras pulut
Manisan
Kelapa parut
Sedikit garam
Cara-cara
1. Bersihkan beberapa helai daun pandan dan diblend dengan sedikit air. Perahkan.
2. Masukkan tepung beras pulut ke dalam sebuah bekas dan tambahkan air daun pandan sedikit demi sedikit, agar tak berlebih air nanti, sambil digaul dengan menggunakan tangan sehingga adunan sebati dan tidak melekat di tangan.
3. Jerangkan satu periuk air sehingga mendidih.
4. Racik-racikkan manisan ke bentuk kiub dan saiz yang sesuai, untuk dimasukkan ke dalam onde-onde sebagai inti.
5. Gaul rata kelapa parut dengan sedikit garam, di dalam sebuah besen kecil.
6. Tekan kelapa parut yang sudah digaul garam itu ke dasar besen agar mampat sedikit.
7. Ambil adunan sebesar ibu jari lebih kurang, dan digentel membentuk sebiji bola kecil.
8. Leperkan bola kecil itu dan letakkan kiub manisan di tengah-tengahnya.
9. Tutup manisan dengan menggenggam adunan di tangan dan digentel bulat semula.
10. Masukkan bola onde-onde ke dalam air yang sedang mendidih.
11. Buat sehingga habis.
12. Apabila bebola onde-onde mula timbul ke permukaan air mendidih, sauk dengan penapis, goyang-goyangkan untuk mengetos airnya, dan terus diletakkan di atas mampatan kelapa parut.
13. Gerakkan besen kelapa parut ke depan dan ke belakang agar bebola onde-onde bergolek di dalamnya sehingga onde-onde disalut rata dengan kelapa parut tadi.
14. Siap untuk dihidang.
Kepek Idung
Bahan-bahan
Sama seperti bahan-bahan untuk onde-onde di atas
Cara-cara
1. Kelapa parut, manisan, garam dan daun pandan dimasak bersama-sama, sebentar, sambil mengacaunya. Matikan api dan biarkan di tepi.
2. Ikut cara-cara 1-3 di atas.
3. Ikut cara-cara 7-8, cuma tidak dimasukkan inti manisan setelah dileperkan, sebaliknya ditekan di tengah-tengah leperan itu dengan perut jari telunjuk agar membentuk lekuk.
4. Ikut cara-cara 10-12, cuma setelah disauk diletakkan ke dalam kuali kelapa dan manisan yang telah dimasak tadi.
5. Masak sebentar, sambil dikacau-kacau sehingga bergaul rata. Jangan dibiar hingga kering, kerana kueh ini dihidang dengan salutan yg basah dan sedikit berair.
6. Angkat dan hidang.
Bute Nako
Bahan-bahan
Sama seperti bahan-bahan untuk onde-onde dan kepek idung di atas cuma ditambah sedikit halba.
Cara-cara
1. Ikut cara-cara membuat onde-onde 1-2 di atas.
2. Perahkan santan secukupnya untuk membuat kuah. Tambahkan manisan, garam, halba dan daun pandan. Jerangkan sehingga mendidih.
3. Ikut cara-cara 7-8 onde-onde di atas, cuma adunan dibentuk seperti bentuk biji nangka dan tidak dimasukkan inti manisan ke dalamnya.
4. Seperti cara-cara 10-11, biji nangka dimasukkan ke dalam kuah santan yang sedang dijerang.
5. Seperti cara 12, apabila kesemua biji nangka telah timbul ke permukaan, itu menandakan ia telah siap dimasak dan bolehlah dihidangkan.
Agar dapat membantu anda dalam membuat kueh mueh tradisional, elementary level.
Ini adalah berdasarkan pembelajaran saya di madrasah keluarga.. Masa tu kueh mueh yang biasa dibuat di rumah kita berasaskan beras jemah/jawi, beras pulut dan ubi kayu.
Kakak saya Nun selalu menyediakan kuehmueh di atas dan lain-lain semasa saya kecil dan remaja, terutama sebagai juadah berbuka puasa. Kakak saya ini telah mula memasak untuk hidangan keluarga semenjak darjah tiga lagi..yala mak beranak kecil tek tek..Kesempatan ini saya ambil untuk beri best compliment untuk kakak saya yang saya kasihi dan sayangi itu kerana banyak jasanya dalam membantu ibu menguruskan rumahtangga.
Gelagat Penjaja
12 years ago