Showing posts with label PanduanAsasIB/JikaAnakJatuh. Show all posts
Showing posts with label PanduanAsasIB/JikaAnakJatuh. Show all posts

Tuesday, June 17, 2008

Jika Anak Jatuh...

Semasa saya kecil, lebih kurang berumur 8 atau 9 tahun, saya pernah terjatuh daripada pokok rambutan yang 'sekah'. Saya, kakak saya Bi dan adik saya Ze, bersama-sama memanjat ke dahan pokok yang tidaklah setinggi mana, antara 5-6 kaki sahaja daripada paras tanah. Agaknya disebabkan pokok itu sudah tua dan dahannya yang tidaklah kecil sangat itu tidak dapat menampung berat badan saya dan kakak, yang berumur hanya setahun lebih tua daripada saya, lalu ianya 'sekah' lalu kami berdua jatuh ke tanah bersama-sama dahan tersebut. Ze berada di dahan lain, jadi beliau tidak ikut terjatuh. Bi jatuh sambil berdiri dan betisnya bergesel dengan dahan pokok manakala saya jatuh terduduk dan terhentak atau terhenyak punggung ke tanah. Hasilnya, saya tidak dapat mengeluarkan kata-kata, hanya mengeluarkan bunyi erk.. erk.. saja walaupun sebenarnya hendak bercakap dan nafas saya terasa macam tersekat .. di dada atau di kerongkong..

Kakak saya Nun, yang sedang datang ke arah kami, membantu saya. Dia memasukkan kedua-dua belah tangannya ke bawah kedua-dua ketiak saya dari arah belakang, mengangkat sedikit badan saya dalam kedudukan punggung saya terangkat sedikit daripada paras tanah tetapi kaki saya masih terjulur di atas tanah. Dia menggoyang badan saya beberapa kali, seperti mengocak. Selepas itu barulah saya boleh bersuara. Kakak saya itu hanyalah 3 tahun lebih tua daripada saya..

Semasa anak kami, Ali, masih kecil, dalam 2 atau tiga tahun umurnya ketika itu, beliau pernah terjatuh, di dalam rumah. Biasalah budak kecilkan. Saya tidak berapa ingat sangat keadaaannya pada masa itu, tetapi saya rasa macam jatuh biasa dan okey tetapi mertua saya yang berada di rumah kami pada masa itu, meminta saya menolongnya menggoyangkan badan Ali. Saya memegang di kedua-dua kaki dan ibu mertua saya memegang di kedua-dua tangan, kerana Ali masih kecil pada masa tu, badannya berada di udara dan kami bersama-sama menggoncang atau mengayak badan kecil itu. Kata ibu mertua saya, agar urat-urat yang mungkin tersalah semasa jatuh tadi kembali pulih.

Saya tidak pernah pula merujuk kaedah ini kepada sesiapa tetapi apabila anak atau cucu terjatuh saya rasa kadang-kadang perlu untuk melakukan perkara yang sama, ditambah dengan berselawat syifa' dan berdoa, apatah lagi jika nampak macam nafasnya tersekat..

(Walau bagaimana pun jika usaha ini tidak memadai, bawalah berjumpa doktor!)

Oleh sebab itulah juga sekali sekala apabila saya berada bersama-sama dengan anak saya yang berumur 7 tahun, sambil melayan ia berbual atau bercerita, sambil bergurau dan memeluknya, kadang-kadang saya goyang perlahan badannya sambil di dalam hati saya berselawat syifa' dan berdoa. Begitulah juga ketika menolong anak saya mandi, dengan menyabun dan menggosok seluruh badannya, sambil meyiram dan mengusapi tubuh kecil itu, saya berselawat syifa' dan berdoa di dalam hati juga. Dan di waktu saya membacakan doa tidur untuknya, di samping bacaan-bacaan lain, dan selawat syifa' juga, saya hembus dan saya usapi seluruh badannya, agar anak saya sihat dan soleh dan lain lain lagi. Moga-moga Allah swt perbetulkan kalau ada mana-mana bahagian dalam badannya yang tidak betul, kerana anak saya ini di masa kecil banyak jatuhnya, yang amat saya kesali hingga ke hari ini..

Selawat Thib atau Selawat Syifa' :
Allahumma szolli a'laa saidina muhammadin
thibbil quluubi wa dawaa iha
wa aa'fiatil abdaani wa syifaa iha
wa nuuril abszoori wadhiaa iha
wa a'laa alihi waszohbihii wabarik wasallim

Maksudnya :
Ya Allah! Kurniakanlah rahmat ke atas penghulu kami Nabi Muhammad saw
yang mudah-mudahan dapat mengubati hati dan menjadi penawarnya
dan mudah-mudahan menyihatkan badan dan menyembuhkannya (dari segala penyakit)
dan mudah-mudahan memberi cahaya penglihatan dan menyinarkannya.
Dan juga limpahkanlah keberkatan dan kesejahteraan ke atas keluarganya dan sahabat-sahabatnya sekelian.

(Selawat dipetik dari buku Himpunan Doa-doa Pilihan dari Al-Quran & Al-Hadis serta Terjemahannya oleh Prof. Dr. Haron Din & Ust. Ishak Din, Terbitan Darul Nu'man, Cetakan Keempat 1997, ms 58)