Saturday, August 16, 2008

Gula Kunyit Kkuah dan Gula Maseng Pedah

Bahan-bahan
2-3 ekor ikan kembong saiz sederhana
1 biji timun atau terung (opsyenal)
2-3 biji cili hidup, merah atau hijau (opsyenal)
3/4 inci kunyit hidup (atau sedikit kunyit serbuk)
1/2 inci lengkuas
3-4 biji cili kering
4-5 ulas bawang merah
2-3 ulas bawang putih (opsyenal)
1 keping asam gelugor
1/2 biji kelapa parut atau secukupnya
Garam secukup rasa

Cara-cara
1. Bersihkan ikan dan potong 2 atau 3, mengikut kesukaan.
2. Timun atau terung dibelah dua dan dipotong merencong.
3. Cili hidup dibelah dua atau dibiarkan saja sebiji-sebiji, bersihkan.
4. Bersihkan kunyit dan lengkuas, hiriskan.
5. Cili kering dipotong dan dibuang biji, bersihkan.
6. Bawang merah dan putih dikupas dan dibersihkan.
7. Blend kunyit, lengkuas, cili kering, bawang merah dan putih sehingga halus.
8. Perah kelapa dan ambil santan sederhana pekat, secukupnya, untuk kuah.
9. Masukkan kesemua bahan yang diblend ke dalam periuk bersama asam keping dan garam.
10. Jerang hingga menggelegak.
11. Masukkan ikan dan sayur-sayuran serta cili hidup.
11. Bila semuanya sudah masak, padamkan api.
12. Sedia untuk dihidang.

Gulai kunyit lengkuas ini adalah resepi yang biasa dimasak di rumah ibubapa saya dulu-dulu sebagai lauk untuk dimakan dengan nasi putih sebagai hidangan tengahari atau malam. Gulai ini juga digunakan dalam nasi belauk yang dimakan sebagai sarapan pagi bersama sedikit sambal dan ulam timun.

Kami biasa menggunakan ikan kembung, ikan tenggiri samada kepingan badan atau kepala, dan ikan aya untuk gulai ini, tetapi jika menggunakan ikan tongkol rasanya lebih baik direbus ikan itu terlebih dahulu sebelum digulai. Ikan kembung pun boleh direbus dahulu, jika suka.

Selain menggunakan ikan basah dan ikan rebus, ikan kering, udang dan telur juga boleh dimasak menggunakan resepi ini, manakala yang terbaru saya ketahui, boleh juga menggulai telur masin.

Sayur-sayuran yang biasanya dimasak bersama gulai ini selain timun dan terung ialah kacang panjang yang dipotong sepanjang 1 - 1 1/2 inci. Cili hidup, selalunya hijau tetapi boleh juga yang merah juga dimasukkan sebagai hiasan dan juga untuk menambah rasa.

Keluarga saya selalu memasak gulai ini dengan kepekatan kuah yang sederhana saja manakala sesetengah orang yang lain memasak dengan menggunakan santan yang lebih pekat. Bagi yang dinasihatkan oleh doktor untuk mengurangkan pengambilan makanan berlemak pula memilih kepekatan kuah yang lebih cair.

Jika anda tidak suka masakan bersantan ataupun anda dinasihatkan oleh doktor untuk mengurangkan pengambilan makanan berlemak, selain menggunakan santan yang lebih cair, anda juga boleh mencuba resepi di bawah.

Gulai Masin Pedas
Bahan-bahan
Sama seperti di atas, tetapi menggunakan 1-2 cawan air menggantikan santan dan ditambah 1/2 sudu teh beras, untuk memekatkan kuahnya.
Sayur-sayuran dan cili hidup tidak digunakan.

Cara-cara
1. Rendam beras di dalam sedikit air untuk melembutkannya.
2. Setelah lembut ditumbuk halus.
3. Bahan-bahan lain diperlakukan sama seperti cara-cara gulai kunyit lengkuas di atas.
4. Masukan kesemua bahan ke dalam periuk bersama air secukupnya.
5. Jerang di atas api sederhana sehingga mendidih.
6. Masukkan ikan dan dibiarkan sehingga masak, tutup api.
7. Sedia untuk dihidang.

Untuk gulai masin pedas ini pula, masih boleh menggunakan ikan kembung tetapi saya suka juga menggunakan ikan gelama dan ikan kerisi cuma ikan-ikan ini lebih lembut dan mudah hancur yang menyebabkan tulang-tulangnya berselirat di dalam kuah.

Manakala di zaman moden yang serba mudah ini, anda tidak perlu lagi menggunakan cara-cara traditional seperti merendam dan menumbuk beras, tetapi terus mengambil tepung beras siap untuk memekatkan kuah gulai masin pedas ini.

Nostalgia
Teringat dulu kali pertama, dan terakhir juga barangkali, ke rumah Rahmat, juruteknik di tempat saya bekerja di Kuala Terengganu. Pada waktu itu, mungkin di sekitar tahun 1993, Rahmat tinggal di rumah nelayan lama pemberian ayahnya di tepi pantai di Seberang Takir. Kami dihidangkan nasi putih dan gulai ikan, sebenarnya campuran dua tiga jenis ikan yang ditangkap oleh bapa Rahmat di laut dan dimasak oleh isterinya Zainab yang berasal dari Kuala Lumpur. Antara ikan yang dimasak oleh Zainab pada hari itu adalah ikan gelama yang membuatkan saya sampai sekarang kalau terjumpa ikan gelama masih teringatkan masakan gulai kunyit lengkuas isteri Rahmat itu. Sedapnya gulai ikan Zainab dan manisnya ikan segar dari laut yang ditangkap oleh bapa Rahmat. Terima kasih Mat di atas layanan yang sangat baik dari Mat sekeluarga...

Thursday, August 7, 2008

Dari Mana Kita Datang?

Jika ditanya, anda datang dari mana? Anda mungkin menjawab, saya datang dari Putera Jaya, ataupun saya datang dari Petaling Jaya. Ataupun dari Kuala Perlis ataupun dari Cambridge. Ataupun dari Gombak ataupun dari Ampang ataupun dari Teluk Kemang. Dari mana-mana sahaja tempat tinggal anda.

Jika ditanya pula dari mana anda berasal? Anda mungkin menjawab, saya berasal dari Kelantan ataupun saya berasal dari negeri Selangor, ataupun dari Bagan Serai, Perak. Dari mana-mana daerah atau negeri anda berasal.

Jika ditanya kepada anak kecil dari mana dia datang, dia mungkin terpinga-pinga, tidak mengerti apa yang ditanya kepadanya.

Jika saya tanya kepada cucu kami yang baru lahir 25 hari lalu, dari mana awak datang? Tentulah bayi kecil itu tidak tahu apa-apa.
Jika saya tanya pula kepada kakak-kakaknya yang berumur 2 1/2 dan 3 1/2 tahun dari mana adik baru datang? Dia mungkin juga tidak dapat menjawabnya ataupun mungkin menjawab umi atau menunjuk ke perut ibunya yang sebelum ini diketahuinya buncit mengandungi baby tetapi orang-orang dewasa yang berada bersama-samanya sudah tentu tersenyum-senyum mendengar soalan atau jawapan ini.Jika saya tanya kepada pelajar-pelajar yang mempelajari subjek biologi tingkatan empat atau lima, rasanya mereka boleh menjawab, percantuman benih ibu dan bapa membentuk fetus atau janin di dalam rahim seorang wanita. Sperma berenang menuju ke ovum, sel bercantum dan membahagi, proses miosis dan mitosis, semuanya saya pun sudah lupa, tetapi tahulah agak-agak penerangan secara saintifiknya.

Namun saya rasa, bagi wanita-wanita mahupun lelaki yang telah berkahwin bertahun-tahun lamanya tetapi sukar mengandung pastinya sudah banyak kali berfikir akan keterangan saintifik ini. Sperma sudah berenang ke ovumkah? Sperma sudah berjaya sampai ke ovumkah? Sperma sudah bercantum dengan ovumkah? Mungkinkah benih yang sudah bercantum itu sudah gugur sebelum tiba ke pusingan haid yang seterusnyakah?

Ataupun jika dia sudah mula mengandung, dia mungkin tertanya-tanya, bagaimana semua itu boleh terjadi? Sedangkan sudah sekian lama dia menunggu dan menunggu. Mungkin juga berusaha dan berusaha. Dia mungkin berfikir penerangan saintifik bukanlah jawapan kepada segala-galanya?

Dia pun mula merasa-rasa dari saat benih mula bertitik dalam dirinya. Adakah benih itu di dalam diriku? Berjayakah ia melalui setiap tahap, beralih dari satu fasa ke satu fasa, sebelum roh ditiupkan, sebelum ia cukup sifat, sebelum ia dilahirkan ke mukabumi?

Dia merasa-rasa, apabila ia mula bergerak perlahan dan kemudiannya menendang-nendang sambil berfikir-fikir sekarang ia berada di fasa ke berapa dan setakat manakah sifatnya telah terbentuk dan berkembang.

Hari ke hari dia meniti dan membilang, sehingga apabila pertama kali dia menatap wajah bayi yang dilahirkannya, dia seakan tidak percaya, bahawa bayi itu benar-benar telah berada di depan matanya, di dalam dakapannya, di dalam belaiannya.

Tentu dia amat bersyukur, ke hadrat Yang Maha Kaya. Dan dia memohon agar dipanjangkan usia mereka semua agar nikmat yang diberi itu tidak ditarik balik dalam sekelip mata.

Tentulah dia bertambah yakin dan percaya dengan firman Allah yang bermaksud :

Wahai sekelian manusia, jika kamu masih ragu-ragu terhadap hari Qiamat, sesungguhnya Kami (Allah Subhanahu Wata'a'la) telah jadikan kamu dari tanah, kemudian daripada air mani, dari air mani menjadi darah sampai ia menjadi sepotong daging yang telah sempurna kejadiannya dan yang belum sempurna, supaya Kami beri keterangan kepada kamu dan Kami tetapkan di dalam kandungan (rahim) ibu mengikut kehendak Kami, sampailah waktu tertentu maka Kami keluarkan kamu dari kandungan ibumu menjadi kanak-kanak sampai kamu menjadi orang dewasa. Di antara kamu ada yang dimatikan dan ada yang dipanjangkan hidupnya sampai terlalu tua hingga tidak mengetahui apa-apa sedangkan sebelumnya kamu mengetahui.
(AlHaj: 5)


Innaa lillaah(i)...

Sesungguhnya kita daripada Allah...

...wa innaa ilaihi raaji'uuuun.

...dan sesungguhnya kita kepadaNya dikembalikan.

Thursday, July 31, 2008

Panduan Persatuan Pengguna Pulau Pinang : Halal Haram - Buku Penting Untuk Umat Islam


Tajuk :
Panduan Persatuan Pengguna Pulau Pinang : Halal Haram - Buku Penting Untuk Umat Islam
Penulis : Tidak dicetak
Penerbit : Persatuan Pengguna Pulau Pinang
Tahun Keluaran : 2006
Bilangan Mukasurat : 226
Harga : Tidak dicetak


Dari sudut syariah, kesihatan berdasarkan "Halalan Thoyyiban"
- An Nahl 114



"Isu kesucian sesuatu produk atau perkhidmatan adalah sensitif kepada masyarakat Islam. Bagi orang Islam, sebarang isu berkaitan dengan persoalan halal dan haram perlu diberi perhatian serius.

Justeru, buku hasil penyelidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) ini, pada hemat saya, akan mengisi keperluan masyarakat Islam, bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia.

Saya menganjurkan supaya buku ini dibaca dan dikaji oleh setiap lapisan masyarakat. Buku ini akan menghilangkan sebarang keraguan yang timbul dalam minda masyarakat Islam kerana ia dijelaskan secara saintifik."

-Dato' Seri Haji Harussani Haji Zakaria
Mufti Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan, Malaysia


Di Dalam
  • Kolagen daripada banduan yang ditembak mati, uri dan janin yang digugurkan digunakan dalam kosmetik
  • Hampir 3,000 bahan penambah digunakan dalam makanan, banyak yang diperolehi daripada binatang atau sumber yang meragukan. Ini termasuklah :
Derivatif rambut manusia ditambah ke dalam roti dan piza.
Pewarna daripada serangga yang dihancurkan dalam makanan kegemaran anda.
  • Serbuk plasma darah diperolehi daripada darah dari rumah sembelihan digunakan untuk membuat bebola ikan, burger dan daging yang diproses.
  • Gelatin dalam banyak makanan dan bukan produk makanan.
  • DNA babi dalam gelatin ditemui dalam daging ayam bahagian dada, dan gelatin terkandung dalam lain-lain produk berdaging.
  • Status makanan yang dipersoalkan di hotel dan restoran.
  • Logo halal palsu pada banyak produk makanan.
  • Banyak logo halal yang berbeza ditemui di pasaran. Yang mana satu boleh dipercayai.
  • Simulasi pati najis dalam rokok.
  • Pinggan mangkuk daripada abu tulang.
  • Berus daripada bulu babi sementara beg tangan, sarung tangan daripada kulit babi.

Isi Kandungan

Mukadimah

Prakata

BAHAGIAN I Pengenalan
1 Kepentingan menjauhi makanan yang memudaratkan dan meragukan
2 Dilema pengguna Islam di Malaysia
3 Sejarah pembabitan CAP dalam isu halal dan haram

BAHAGIAN II Masalah berhubung isu halal dan haram
4 Keraguan dan ketidakpastian yang menyelubungi logo halal
5 Kehalalan makanan di restoran dan hotel diragui
6 Hukum syariah dan bahan kimia dalam makanan
7 Ramuan dan penambah makanan daripada sumber binatang
8 Adakah penambah makanan halal?

BAHAGIAN III Adab makan umat Islam
9 Pembaziran dan kegelojohan pada bulan Ramadhan
10 Kenapa Islam mengharamkan babi?

BAHAGIAN IV Gelatin
11 Apakah gelatin?
12 Sejarah kajian CAP mengenai isu gelatin
13 Kegunaan gelatin dalam farmasi dan perubatan
14 Kegunaan gelatin dalam barangan fotografi dan percetakan
15 Gelatin yang meragukan dilabel halal

BAHAGIAN V Keju dan wei
16 Adakah keju haram atau meragukan?
17 Wei, lemak babi didapati dalam susu rumusan bayi
18 Kegunaan wei dalam makanan

BAHAGIAN VI Lemak binatang
19 Lelemak dalam makanan
20 Lemak binatang dalam produk kegunaan seharian
21 Gliserin/Monogliserida dalam makanan dan kosmetik

BAHAGIAN VII Lain-lain bahan haram dan meragukan
22 Plasma darah dalam makanan
23 Monosodium glutamate (MSG) - Serbuk perisa yang meragukan
24 Makanan ubah suai genetik
25 Rambut manusia dalam makanan
26 Alkohol dalam makanan dan minuman

BAHAGIAN VIII Lain-lain produk dan isu pengguna
27 Ramuan yang meragukan dalam kosmetik
28 Barangan daripada sumber binatang
29 Merokok adalah Haram : Majlis Fatwa Kebangsaan
30 Adakah binatang ternakan komersial halal dimakan?

Kesimpulan

Sumber rujukan


Google Search

Saya buat google search untuk 'buku halal haram persatuan pengguna pulau pinang (CAP)' dan menjumpai yang berikut di senarai pertama ;

1. Tempah online : Buku Halal Haram di myhalal.wordpress.com
2. Halal Search Network - Dunia Buku : Sekitar Isu Halal Haram
di www.alshahir.com.my
3. Muslim Halal Shop.com
di www.muslimhalalshop.com
4. View topic - HALAL DAN HARAM OLEH CAP
di www.protonclub.com
5. Pinggan mangkuk tak halal
di halaqah.net
6. Set31 blog. Halal dan Haram
di set31.blogspot.com
7. Forum Universiti Utara Malaysia - Info pengguna
di forum.novarsity.com
8. Intibah
di duniaherbahpa.com

'buku halal haram cap'
1. KUDIN : Must Read Book - halal/haram di kudinku.blogspot.com
2. Halalmall online di www.yakinhalal.com
3. Laire @ Jani : Halal @ Haram di azlanlinda.blogspot.com

'buku halal haram'
1. Senarai buku-buku dalam Bahasa Inggeris berunsur Islam yang diharamkan di www.islam.gov.my
2. Halal Haram Pemakanan dalam Islam mesra.net forum
di www.mesra.net

yang turut menyebut tentang buku ini.

Monday, July 28, 2008

Panduan Mandi Wajib

Bagaimana anda semua mandi wajib? Semua sudah tahukan cara-caranya. Yalah, kita sudah diajar berkenaan ini sejak di awal sekolah menengah lagi kan? Saya pun, yakin bahawa mandi wajib saya sempurna. Kaedah umum yang saya guna pakai ialah asalkan dimulai dengan berniat dan memastikan air mutlak sampai dan merata ke seluruh bahagian badan.

Semasa di tingkatan dua lagi kami telah diajar oleh Ustaz Mohammad, guru agama di sekolah kami tentang mandi wajib ini. Antara yang saya ingat ialah ada dua jenis hadas iaitu hadas kecil dan hadas besar. Mengangkat wudhuk adalah untuk mensucikan diri daripada hadas kecil manakala mandi wajib untuk mensucikan diri daripada hadas besar, yang mana juga menghilangkan hadas kecil sekaligus. Oleh itu, dengan mandi wajib telah mensucikan diri daripada kedua-dua hadas kecil dan besar dan boleh terus menunaikan sembahyang tanpa perlu berwudhuk lagi.

Hadas besar yang mewajibkan mandi wajib ini berlaku apabila berlaku perkara-perkara seperti berikut;
1. keluar air mani samada secara sengaja atau tidak sengaja
2. berjima'
3. haidh
4. nifas

Hadas kecil berlaku dengan sebab-sebab membuang air kecil atau besar ataupun membuang angin daripada saluran depan maupun belakang, dan lain-lain lagi.

Nak tau cerita? Masa mula-mula berkahwin dulu, suami mengajak saya mandi wajib bersama-sama. Mandi sama-sama kan elok bagi pasangan suami isteri, jadi saya pun mengikut dia masuk ke bilik air. Maka mandilah kami berdua bersama-sama, dia mandi, saya pun mandi, manalah saya tahu rupa-rupanya dia memerhati cara-cara saya mandi wajib.

Dah tu kenalah tegur, sebabnya sudah menjadi kebiasaan saya sambil mandi kalau nak buang air saya buanglah dan menggosok tempat sulit untuk memastikan air sampai kepadanya dan merata. Itulah puncanya teguran itu datang!

Tegur suami saya, mana boleh tengah-tengah mandi wajib tu pi buang air la, sentuh tempat sulit tanpa berlapik la dan sebagainya. Saya pun ternganga sampai terjelir lidah. Katanya lagi, apa-apa yang membatalkan wudhuk itu membatalkan mandi wajib juga. Beritahunya lagi, sebelum niat mandi wajib hendaklah membersihkan badan daripada segala kekotoran terlebih dahulu barulah berniat untuk mandi wajib dan mandi. Ops!, selama ini saya mandi wajib dengan cara yang salah ke?

Suami saya juga mengingatkan, kalau sudah selesai mandi wajib dan hendak terus menunaikan solat adalah sunat mengambil wudhuk terlebih dahulu walaupun mandi wajib tadi sudah membolehkan kita terus bersolat.

Sebenarnya suami saya membuat teguran ini berdasarkan pengajiannya secara berguru dengan Allahyarham Ustaz Mohamad Ismail, di sekitar tahun 80an. Allahyarham Ustaz Mohamad adalah seorang bekas pensyarah di Jabatan Al Quran dan As Sunnah di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Saya mencari-cari juga berkenaan ini selepas itu di dalam beberapa buah buku panduan mandi wajib tapi saya tidak menjumpai ayat, 'apa-apa yang membatalkan wudhuk itu membatalkan mandi wajib juga', melainkan saya terjumpa dalam sebuah buku menuliskan 'jaga-jaga jangan tersentuh zakar tanpa berlapik'.

Di sini saya perturunkan cara-cara mandi wajib sebagaimana yang saya semak dalam kitab Bimbingan Mukmin untuk ulangan kita bersama;
1. Mula-mula, basuh kedua belah tangan 3 kali.
2. Kemudian beristinja'.
3. Kemudian menghilangkan segala macam kenajisan yang ada pada badan, kalau ada.
4. Selepas itu, berwudhu', kecuali membasuh kedua belah kaki.
5. Kemudian, mula menyirami badan dengan air, bermula dengan kepala.
6. Kemudian menyirami bahagian kanan badan dan kemudian bahagian kiri badan pula.
7. Kemudian gosoklah bahagian hadapan badan dan kemudian bahagian belakangnya.
8. Hendaklah menyela-nyela rambut di kepala dan janggut agar air sampai ke pangkal tempat tumbuhnya rambut itu samada rambut itu lebat maupun nipis.
9. Seorang perempuan yang mandi wajib tidak perlu menghuraikan siputnya melainkan ia bimbang air tidak akan sampai ke celah-celah rambutnya.
10. Dan hendaklah ia memelihara pula lipatan-lipatan pada badannya.

Panduan mandi wajib di atas saya semak daripada buku Bimbingan Mu'minin Untuk Mencapai Tingkat Mau'izhatul Mukminin Pada Mencari Redha Rabil-'Alamin Jilid 1-2, ms 34, susunan APAllamah Almarhum Asysyaikh Muhammad Jamaluddin Addimasyqi terbitan Al-Maktabah At-Tijariyyah Al-Kubro (tidak bertahun) terjemahan Moh. Abdai Rathomy, 1979, daripada judul asal Mau'izhatul Mukminin ringkasan daripada Ihya' Ulumuddin karangan Imam Alghazali.

Sebenarnya kitab Bimbingan Mukminin ini digunakan dalam kelas fardhu ain saya sebagai buku teks. Pelbagai soalan, ulasan dan komen ditimbulkan oleh pelajar-pelajar daripada kelas kami yang terdiri daripada wanita-wanita berusia 40 tahun ke atas. Antaranya;
1. Eh mandi kena duduk ke ustaz? Kalau tak duduk tak boleh ke?
2. Gaya bebas kan ustaz asalkan air sampai ke seluruh bahagian badan?
3. Perkara-perkara yang membatalkan wudhu' tu membatalkan mandi wajib kan ustaz kalau berlaku sewaktu mandi tu belum selesai?
(Soalan ketiga ini sudah tentu datangnya daripada saya.)

Jawapan ustaz kepada kesemua soalan di atas ialah ya. Kepada soalan ketiga, ya, kalau berlaku sebelum selesai mandi hendaklah diulang semula.

Mandi wajib dikira bermula dengan bermulanya niat serentak dengan menjirus air ke bahagian badan dan dikira berakhir dengan ratanya air keseluruhan bahagian badan.

Di bawah ini pula ialah hasil rujukan saya daripada buku Sairus-Salikin;
1. Sunat meletakkan bejana di sebelah kanan.
2. Kemudian baca Bismillaahirrahmaanirrahiiiim.
3. Basuh kedua belah tangan 3 kali.
4. Beristinjak.
5. Hilangkan segala yang cemar-cemar yang ada di badan.
6. Ambil air sembahyang serta segala doanya.
7. Kemudian tuangkan air ke atas kepala 3 kali serta berniat mandi wajib samada mandi jenabah dll.
8. Kemudian tuangkan air di atas badan sebelah kanan 3 kali kemudian sebelah kiri pula 3 kali.
9. Sunat menggosok di bahagian hadapan dan belakang.
10. Sunat menyelang-nyelangkan segala rambut.
11. Wajib menyampaikan air ke sekelian tempat perlipatan badan dan sekelian tempat tumbuh rambut samada jarang atau tebal.
12. Peliharakanlah daripada menyentuh zakar pada ketika mandi itu kemudian daripada mengambil air sembahyang, maka jika tersentuh hendaklah kembali mengambil air sembahyang kerana yang demikian itu membatalkan air sembahyang.

Pada fahaman saya, (untuk tatacara ke 12 ini), ialah tidak boleh menyentuh zakar selepas mengambil air sembahyang (iaitu pada tatacara ke 6), maka jika tersentuh, hendaklah kembali mengambil air sembahyang iaitu mengulang semula bermula dengan tatacara ke 6 itu.

Panduan ini saya rujuk daripada buku Sairus-Salikin (Perjalanan Orang Yang Salik Kepada Allah) karangan Syaikh Abdus-Shamad Al Falimbani (Meninggal dunia sekitar tahun 1203H/1789M) Rahimallahu Taala Juzuk Pertama halaman 124-125, terbitan Khazanah Banjariah, Maahad Tarbiah Islamiah Derang, 06400, Pokok Sena, Kedah Darul Aman terjemahan daripada Lubab Ihya Ulumiddin karangan Imam Hujjatul Islam Abu Hamid Al-Ghazali (450-505H/1058-1111M) Rahimallahu Taala.

Anak perempuan kami yang bergraduat dalam bidang pengajian Islam pun ada bertanya kepada saya tentang masalah mandi wajib ini. Saya hanya menggunapakai kaedah yang paling asas dan wajib sahaja sedangkan beliau mengamalkan kaedah yang lebih terperinci daripada pra mandi wajib sehinggalah ke akhirnya termasuk segala adab-adab dan sunat-sunatnya seperti membersihkan kuku, hidung dan telinga. Banyak lagilah yang perlu diperincikan selain daripada yang tersebut di atas itu.

Wednesday, July 23, 2008

Soal Selidik?

Semalam saya didatangi seorang pemuda di pintu pagar rumah yang saya diami ini selepas bangun dari tidur qailullah yang panjang. Saya terdengar suara seseorang memberi salam lalu terus menuju ke grill. Dalam keadaan yang agak mamai itu dan ingin bersegera kerana banyak tugasan yang belum diselesaikan, saya bertanya;
Saya : Ada apa?
Pemuda itu : Saya datang ni nak buat penyelidikan kak, (melihat muka saya yang berkerut), saya mewakili (saya tak ingat dengan pasti, tetapi pemuda itu menyebut satu dua nama syarikat pembuat barang cucian yg dikenali macam Lever Brother dll). . kak guna sabun mesin basuh apa?
Saya : Max Clean (tak jawab penuh)
Pemuda itu : Kak pakai satu jenama tetap ke tukar-tukar?
Saya : Tetap
Pemuda itu : Kak pakai tu, ada ke apa-apa masalah seperti tompok-tompok putih ke (kat cucian).
Saya : Tak ada
Pemuda itu : Kak pakai sabun basuh pinggan apa?
Saya : Pelbagai (Muka pemuda itu berkerut)
Pemuda itu : Kak pakai apa?
Saya : Berbagai-bagai
Pemuda itu : Contohnya?
Saya : Max Clean
Pemuda itu : Sabun basuh pinggan?
Saya : Ya
Pemuda itu : Kak ada pakai Axion (saya tidak jelas sangat sebutan ini pada mulanya), Sunlight, Glo?
Saya : Ada
Pemuda itu : Kak pakai tu ada ke masalah macam gatal-gatal tangan ke, kuku rosak?
Saya : (Berfikir) Tak ada
Pemuda itu : Kak pakai syampoo apa?
Saya : Pelbagai
Pemuda itu : Ada pakai Pantene, Sunsilk, Rejoice?
Saya : Pantene..Sunsilk..(Rejoice pun ada pakai tetapi tidak tercakap)
Pemuda itu : Kak pakai ni ada tak masalah gatal-gatal kepala ke..?
Saya : Tak tau..(pemuda itu bengang)..sebab anak-anak yang pakai.
Pemuda itu : Kak pakai apa?
Saya : Macam-macam
Pemuda itu : Sekarang ni..?
Saya : Sekarang ni..?
Pemuda itu : Ya, sekarang ni..
Saya : Entah.. pakai apo ntah ..kat ataih tu (sambil tangan tunjuk atas, sambil lalu, dia tau kot saya malas nak pergi check)
Pemuda itu : Kak cakap entah apo ntah tu..kak orang Kedah ke?
Saya : (Geleng kepala)(Saya dah mengeluarkan slang utara agaknya..spontan, tanpa disedari)
Pemuda itu : Kak pakai sabun mandi apa?
Saya : Pelbagai
Pemuda itu : Sekarang ni?
Saya : Sireh
Pemuda itu : Ada pakai Protext, Dettol?
Saya : Ada
Pemuda itu : Ada apa-apa masalah?
Saya : Tak ada
Pemuda itu : Dah berapa lama kak pakai barang-barang kilang ni?
Saya : (Berfikir) 30 tahun
Pemuda itu : 30 tahun?
Saya : (Diam)
Pemuda itu : Apa pendapat kak pakai barang-barang kilang ni..memuaskan..tidak memuaskan?
Saya : Sederhana (Diam sejenak) kecuali syampoo.
Pemuda itu : Suami kak mana?
Saya : Kerja
Pemuda itu : Kak tinggal tetap dalam rumah ni berapa orang?
Saya : 6
Pemuda itu : Ni rumah anak kak ke rumah kak?
Saya : Saya
Pemuda itu : Nama kak apa?
Saya : Eh! Nak kena bagi nama ke?
Pemuda itu : Kena, sebab ini penyelidikan..
Saya : Sxxx Nxxxxx
Pemuda itu : Nombor rumah ni..(sambil matanya melilau melihat dinding rumah) 20?
Saya : (Angguk)
Pemuda itu : (Ucap terima kasih kot sambil mengangguk kepala dan berlalu pergi)

Saya beranjak dari grill pintu sambil berfikir-fikir, mudah juga saya memberi nama sebenar kepada orang yang hanya mengaku dia mewakili badan-badan yang membuat penyelidikan..khuatir juga saya kalau-kalau pemuda itu mewakili.. entah siapa-siapa!

Monday, July 21, 2008

Panduan Menyediakan Air Tersat

Air tersat ialah air mandian untuk wanita selepas bersalin. Air suam-suam kuku dengan campuran beberapa bahan dipercayai boleh membersih, menyegar dan menyihatkan wanita-wanita di dalam hari, sekurang-kurangnya di 3 hari pertama di hari-hari awal bersalin ataupun elok juga diamalkan selama sepenuh hari-hari berpantang. Lebihan air ini juga boleh digunakan untuk campuran mandian bayi baru lahir.

Bahan-bahan Yang Diperlukan
2-3 liter air biasa
1 sudu kecil mumbun/1 sudu besar rata garam buku/halus
1-2 inci kunyit hidup
1 sudu kecil halba
1-2 helai daun kunyit atau daun-daun lain seperti lengkuas, kemudu, kkua, pandan, nilam dan serai wangi

Kalau tidak memperolehi daun-daun seperti di atas itu, memadailah dengan 3 bahan utama sahaja iaitu garam, kunyit dan halba.

Cara-cara Menyediakan
1. Bersihkan kunyit dan potong dengan ketebalan 2-3 mm, tidak dikikis kulit pun tidak apa.
2. Bersihkan halba di dalam penapis teh atau penapis santan.
3. Bersihkan daun kunyit, boleh dikoyakkan kepada bahagian-bahagian yang lebih kecil.
4. Campurkan kesemua bahan-bahan di atas di dalam sebuah periuk besar.
5. Jerangkan di atas api sederhana sehingga nngiak atau beriak, sebelum mendidih.
6. Tutupkan api.
7. Campurkan dengan air biasa untuk mendapat kepanasan suam-suam kuku.
8. Sedia untuk mandian.

Kata ibu saya, menjerang air mandian tersat ini tidak boleh dibiarkan sehingga mendidih kerana takut nanti anak jadi banyak cakap, tak larat nak hho!

Cara-cara mandi air tersat
1. Bersihkan seluruh badan dengan air mandian biasa.
2. Mandi dengan air tersat.

Jika jumlah air yang disediakan mencukupi, tidak perlulah menggunakan air biasa untuk pembersihan awal.

Semasa kecil saya sukakan haruman dari air mandian ini apabila melihat ibu saya mandi tersat selepas bersalinkan adik-adik saya.

Panduan membuat air tersat ini saya perolehi daripadanya juga daripada kakak saya B, semasa mereka melawat saya sewaktu bersalinkan anak saya dulu.

Dengan panduan ini saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada anakanda sulong kami dan suami yang baru menyambut kelahiran puteri ketiga pada awal pagi Ahad 13/7/08 yang baru lalu. Juga ucapan tahniah kepada semua ibu-ibu yang berjaya mengharungi pahit getir selama mengandung, bersalin, dalam hari dan hari-hari seterusnya dalam kehidupan dengan rencam ragam anak-anak, terutama kepada ibunda saya yang telah melahir, mengasuh, mendidik dan membesarkan kami 11 beradik. Juga tidak lupa kepada almarhum ayahanda saya yang setia di sampingnya sehingga ke akhir hayat.

Monday, July 14, 2008

Mari kita Bereksperimen

Bahan-bahan yang diperlukan
Sebiji limau manis
Anda

Radas
Tiada radas diperlukan

Metode
1. Ambil limau dan bersihkan.
2. Duduk dan kupas limau.
3. Baca Bismillahirrahmanirrahim.
4. Ambil seulas limau dan masukkan ke mulut.
5. Rasa-rasakan mana bijinya sambil menguyah limau manis itu.
6. Luahkan satu biji limau ke tapak tangan, biji yang lain, buang.
7. Telan ulas limau yang dah dikunyah dalam mulut anda.
8. Tengadahkan tapak tangan anda dan perhatikan biji limau itu.
9. Pejamkan mata anda.
10. Bayangkan anda menyemai/menanam biji limau itu.
11. Bayangkan biji limau itu tumbuh mengeluarkan tunas dan akar.
12. Bayangkan benih limau itu membesar.
13. Bayangkan ia membesar dan terus membesar.
14. Bayangkan ia telah menjadi sebatang pokok yang besar.
15. Bayangkan ia mengeluarkan bunga dan buah.
16. Bayangkan buahnya besar dan boleh dipetik.
17. Bayangkan anda memetik buah itu.
18. Bayangkan buah itu berada di tangan anda.
19. Bayangkan anda memakan buah limau itu.
20. Bayangkan anda luahkan biji limau itu ke tapak tangan anda.
21. Buka mata anda.

Pemerhatian
Perhatikan kembali biji limau di telapak tangan anda yang masih tertengadah.

Perbandingan
Bandingkan pemerhatian anda dan imaginasi anda.

Rekod
Rekodkan pemerhatian anda dan imaginasi anda.

Keputusan
Catitkan keputusan eksperimen anda.

Analisa
Analisa keputusan anda.

Kesimpulan
Buat kesimpulan anda.

End of experiment
Habiskan baki limau manis anda, sambil memikir-mikirkan eksperimen anda.
Baca Alhamdulillahirabil a'lamin.
Bersyukurlah dengan rezeki limau manis yang anda perolehi daripada Pencipta limau manis itu.
Rasakanlah kehebatan penciptaan/penumbuhan pokok limau manis itu daripada satu biji kecil yang anda luahkan daripada mulut dan lain-lain hasil ciptaan Penciptanya.

Sunday, July 6, 2008

Tagging Game

Senaraikan 5 hadiah yang anda impikan.
1. Seukir senyuman
2. Sesentuh belaian
3. Secalit ciuman
4. Sedekap pelukan
5. Sekuntum bunga

Senaraikan alasan atas pilihan anda itu.
1. Senyuman itu kan sedekah.
2. Belaian itu kan kasih sayang.
3. Ciuman itu kan menggembirakan.
4. Pelukan itu kan perasaan.
5. Bunga itu kan menawan.


5 impressi terhadap orang yang diminati.
1. Sayyidina Muhammad bin Abdullah saw, nabi akhir zaman yang membawa risalah Islam kepada sejagat.
2. Sayyidatina Khadijah bt Khuwailid, seorang isteri yang berdiri teguh di belakang suaminya.
3. Sayyidatina Fatimah bt Muhammad saw, seorang puteri yang amat menyayangi ayahandanya.
4. Sayyidatina Aishah bt Abu Bakar as Siddiq, seorang isteri yang pintar dan petah.
5. Asiah isteri Firaun, seorang hamba Allah yang teguh dalam beriman kepada Tuhan.

Perkara yang paling hebat pernah dilakukannya untuk anda.
1. Membawa risalah kebenaran kepada umat sejagat, termasuk saya.

2. Menjadi contoh ketabahan seorang isteri di belakang risalah suaminya.
3. Menjadi contoh hubungan kasih sayang antara anak dan bapa.
4. Menjadi contoh dalam kepintaran dan kepetahan berhujjah.

5. Menjadi contoh dalam keteguhan iman walaupun berhadapan dengan suami yang juga raja.

5 ciptaan yang paling disukai (tidak semestinya melibatkan teknologi yang maju).
1. Janin, bagaimana ia boleh berada di dalam rahim seorang ibu, bermula dengan setitis mani, berkembang menjadi segumpal darah, kemudian seketul daging, kemudian ia mempunyai roh..

2. Pokok, bagaimana ia dari sebiji benih yang anda luahkan dari mulut, kemudian mengeluarkan tunas dan menjulurkan akar, menonjolkan diri di permukaan bumi, membesar dan membesar..menjadi sebatang pokok yang rendang menaungi anda..

3. Akal bayi, bagaimana ia berkembang, memerhati dan mempelajari sesuatu dan anda tidak menyangka begitu cepat ia pandai..

4. Laut, yang anda perhati tidak berhenti mendatangkan ombak membadai pantai..saujana mata anda memandang ke kejauhan tetapi anda tidak tahu di mana penghujung dan pangkalnya..

5. Galaksi, begitu anda terpesona melihat deretan planet mengitari matahari sedang anda berada di atas salah satu daripadanya turut menjelajahi maya pada..

Apakah perkara yang paling dibenci?

Terpesong dari landasan kebenaran.

5 orang yang mahu anda tag.
1. Adik, rasanya dia tak sempat nak layan..
2. Lumi, dia lawat ke tidak blog saya, saya pun tak tahu.
3. Abi, sama juga.
4. Muiz, rasanya lagi la tak baca.
5. Kak As, tak tau la dia nak buat ke tak.

Harap anak saudara yang tag saya ni berpuas hati..ke nak kena buat lain?