Wednesday, October 15, 2008

Pelbagai Roti Telur

Pastikan kulit telur dibasuh bersih dan suci sebelum menggunakannya!

Dulu-dulu saya tak biasa makan roti dengan telur, apatah lagi seperti yang anak-anak kami suka makan sekarang ini..

Roti Telur Nadwah Kepimpinan
(Roti dengan telur separuh masak)
Saya namakannya sedemikian kerana saya menjumpainya kali pertama rasanya semasa saya menghadiri Nadwah Kepimpinan Islam di Kem Kijang, 1981. Ketika itu saya berada di tingkatan lima, dipilih oleh Ustaz Ismail, guru mata pelajaran Pengetahuan Agama Islam kami untuk mewakili sekolah ke nadwah tersebut bersama Noor Halifah Hassan tetapi oleh sebab Noor tidak dapat pergi, Ustaz meminta kawan baik saya Rosnani menemani saya.

Kami berada di sana selama lebih kurang 2 hari 2 malam ..so adala sarapan pagi..itulah dihidangkan 2 keping roti dengan telur separuh masak dan kicap. Oleh kerana di rumah tidak pernah bersarapan sebegini, saya tidak tahu sebenarnya sebagaimana sepatutnya ia dimakan. Jadi saya ikut sajalah cara sesetengah (atau kesemua?) peserta lain memakannya iaitu dengan meletakkan telur separuh masak bersama kicap di atas kepingan roti.

Semasa saya mengikuti kursus matrikulasi sains di sebuah sekolah berasrama penuh di utara tanahair pun ada hari yang kami dihidangkan dengan sarapan sebegini. Jadi saya memakannya seperti yang pernah saya memakannya di nadwah tersebut. Sebenarnya saya tidak pasti cara sebenar memakan roti yang dihidang bersama telur separuh masak ini.

Ibu mertua saya pula memakannya dengan cara memecahkan telur separuh masak ke dalam sebuah mangkuk, memasukkan kicap ke dalam mangkuk itu bersama-sama dengan kepingan roti yang dicebis-cebis dan kemudian memakannya dengan menggunakan sudu.

Roti Telur Mak Lang
(Roti Telur dengan Sambal Kerang)
Di sekolah menengah sains itu jugalah, 1982-1983, di waktu petang-game time ataupun di waktu malam sehabis kelas prep, kami ke kantin dan berebut-rebut sambil menjerit-jerit sampai akhirnya suara kami menjadi perlahan dan tenggelam hingga kami sendiri sahaja yang dapat mendengarnya.."Mak Lang, Mak Lang nak roti telur satu, nak roti telur satu Mak Lang".. Mak Lang pantas melayani kami yang memerhatinya menyediakan roti telur tersebut..menyendukkan sambal kerang ke dalam belahan roti bulat yang besar, macam roti burger tetapi lebih besar dan lebih lembut dan memasukkan sebiji telur goreng mata kerbau ke dalamnya..60 sen sebiji.. sedap roti telur dengan sambal kerang Mak Lang ini..teringat-ingat sampai sekarang..

Roti Telur Brother
(Bombay Toast)
Semasa di tahun satu pula, 1984-1985, saya dan kawan-kawan suka singgah di Kantin Desasiswa B, sementelahlah saya memang tinggal di desasiswa ini semasa di tahun pertama ini. Booth burger, sepulang dari library atau lecture malam..saya suka order dari brother yang menjual, yang tidak banyak cakap cuma tersenyum itu..roti bulat sebesar roti burger tetapi lebih lembut yang disalut telur dan gula kemudian dimasak di atas kuali..sedap juga..kalau tidak silap saya namanya Bombay Toast..tetapi kalau saya silap.. maknanya Bombay toast ini adalah roti bulat leper dan nipis yang ditaruk sardin di dalam belahannya dan dikepit dengan satu alat macam acuan..ala-ala acuan kueh kapit tetapi berlekuk sedikit.. untuk menampung ketebalan roti itu..

Egg benjo
Yang ini semua tahu kan..inipun saya kenal di Kantin Desasiswa B semasa di tahun pertama itu jugalah..telur mata kerbau yang dimasak dalam acuan bulat lebih kurang acuan donat untuk memastikan telur betul-betul bulat sesuai dengan kebulatan roti burger..taruk telur yang sudah masak itu ke dalam belahan roti bulat burger bersama sos cili/tomato, hirisan bawang besar, timun, tomato dan salad, pun di sekitar 60 atau 70 sen sebiji sahaja pada masa itu..

Roti Burger/Frankfurter Telur
(Burger/Frankfurter Telur)
Burger/frankfurter yang telah dimasak dibungkus di dalam telur dadar yang nipis..diletakkan dalam belahan roti burger/frankfurter dengan segala kelengkapannya..sos dan salad..dll menjadikannya burger/frankfurter special apabila ditambah cheese. Semasa di kampus dulu kami mengenali frankfurter dengan nama hotdog..di booth brother itu jugalah..

Roti John
Yang ini saya kenal semasa sudah berkahwin dengan suami saya di Kuala Lumpur ini..samada di beli dari pasar malam berhampiran dengan taman perumahan kami ataupun dari gerai-gerai di tepi-tepi jalan, pilih gerai yang bersih tau dan ada 'screen saver' alias pelindung habuk?. Saya tidak berapa pasti bagaimana atau dengan apa bancuhan yang digunakan untuk roti John ini dibuat tetapi agaknya telur samada dibancuh dengan cincangan daging ayam ataupun daging lembu ataupun tidak. Saya lihat pembuat roti John menyendukkan bancuhan itu dan dilirai di atas kuali leper macam kuali burger itu..mengikut bentuk roti John yang panjang dan telah dibelah dua tanpa putus..separuh masak atau hampir masak..roti yang dibelah dua tadi ditekap ke atas liraian bancuhan..biarkan sebentar..diterbalikkan sebentar kemudian diangkat..disapu dengan mayonis..sos cili/tomato dan taruk hirisan salad, timun, tomato dan bawang besar..tangkupkan semula roti itu..

Sardin Roll
Cincangan sardin yang digulung di dalam kepingan roti..dan diroll dengan bancuhan telur..seterusnya dimasak dengan sedikit Planta..

Roti Canai Telur
Yang ini pun semua sudah tahu kan..? Order je kat mamak roti canai tu..dia akan mencanai roti canai yang sudah diperam semalaman itu..menebarnya..dan memecahmasuk sebiji telur ke dalam tebaran roti canainya..pastikan telur dibasuh ya..melipatnya dan memasaknya di atas kuali leper roti canai..dibiarkan masak/garing..angkat dan sedia untuk dibungkus..dimakan bersama kuah dhal atau kari dengan sedikit sambal..

Di Rumah Kami,
Roti Telur

Semasa mula-mula berkahwin dulu, saya diminta oleh anak-anak untuk menyediakan roti telur..saya tidak tahu bagaimana untuk menyediakannya..kemudian saya lihat anak lelaki pertama kami yang berumur 11 tahun pada masa itu..memasaknya..panaskan kuali leper..kuali yang biasa orang kirai roti jala tu.. macam kuali penjual burger jugalah..cuma saiznya lebih kecil...pecahkan sebiji telur ayam di atas kuali itu setelah diletak sedikit Planta..biarkan ia masak samada dengan mengacau telur kuningnya ataupun tidak..terbalikkan sekejap dan angkat. Sapu pula dua keping roti dengan Planta di kedua-dua belah roti, dan letakkan di atas kuali leper tadi. Biarkan masak/garing, terbalikkan dan angkat. Letakkan telur yang sudah dimasak tadi di atas sekeping roti yang sudah dimasak itu, letakkan sos cili, tambahkan serbuk lada putih dan tutup dengan roti yang sekeping lagi. Sedia untuk dimakan.

Kalau hendak lagi advance, taruklah hirisan bawang besar, cili atau salad, timun, tomato dan kobis, tetapi anak-anak lelaki kami tidak suka sayur mayur ini. Lagi advance taruhlah mayonis dan cheese, yang ini memang dia orang suka..tetapi saya ingatkan..belilah mayonis dan cheese yang anda benar-benar yakin akan kehalalannya..

Kadang-kadang kami juga menggunakan acuan telur egg benjo, lenserkan sedikit Planta ke acuan, inipun saya tengok anak lelaki pertama kami membuatnya..letakkan di atas kuali leper yang dilenser dan pecahkan telur ke dalam acuan..biarkan masak..keluarkan dari acuan dan makan dengan roti bulat..dan sos..dll

Roti Celup Telur
Yang ini pula saya tengok anak perempuan sulong kami membuatnya..sebenarnya saya sudah pernah melihat kakak sulong saya menyediakannya untuk bekal anak-anaknya ke sekolah dulu-dulu..di sekitar tahun 1980..pecahkan telur..kacau ringan, anak sulong kami mengacaunya dengan jari telunjuknya sahaja..panaskan kuali leper..celup kepingan roti ke dalam telur..kakak saya memotong serong dulu kepingan roti menjadikannya berbentuk segitiga sebelum dicelup telur..anak perempuan sulong kami tidak memotong pun roti itu...dan letakkan di atas kuali leper panas yang telah dilenser dengan Planta atau minyak masak..masak hingga masak/garing..terbalikkan dan angkat. Setelah siap dimakan dengan menyicahnya dengan sos cili..anak-anak kakak saya menyicahnya dengan gula pasir putih. Untuk hasil salutan telur agak tebal/berat kakak saya menggunakan sebiji telur bersaiz besar untuk dua keping roti Gardenia/HiFi..

Saya juga pernah tengok kawan saya mencelup kepingan roti ke dalam bancuhan telur dengan menggunakan garfu..dengan cara ini kita boleh lebih menjimatkan telur..kerana adunan telur itu tidak sempat menyerap ke dalam roti seperti jika kita merendamnya..

Anak perempuan kedua kami mengesyorkan saya mevariasikan rasa dengan meletakkan serbuk lada ke dalam pukulan telur ataupun serbuk kari..sebenarnya apapun yang kita nak letak terpulang kepada kesukaan kita..dan tekak kita larat menelannya..samada hirisan daun bawang, daun sup, bawang besar, bawang putih, cili dsb..

Minggu lepas semasa saya dan kawan-kawan bertandang ke rumah jiran di depan rumah saya, dia menyediakan roti celup telur yang sudah siap dimasukkan gula..lebih kurang macam Bombay Toast Brother itu..tetapi menggunakan kepingan roti..

Roti Telur Hancur
(Sandwich Telur/Scramble Egg)
Rasanya saya pernah dengar orang memanggilnya scramble egg..tidak ingat pula kali pertama saya menjumpainya di mana..mungkin di universiti..Anak-anak di rumah kami pun biasa menyediakannya. Panaskan kuali dan masukkan sedikit minyak/Planta..setelah panas, pecahkan telur ke dalam kuali..dan kacau hingga hancur. Angkat dan dimakan dengan roti dan sos. Boleh digaul dengan mayonis. Ini diajar oleh anak lelaki kedua kami ..dan dikepit dengan dua keping roti, menjadikannya, sandwich telur. Boleh juga ditambah cincangan bawang, daun bawang, cili, kacang panjang, kobis bunga, kobis, salad dll semasa mengacau telur tadi, bagi yang suka sayur-sayuran.

Roti Telur Burger/Frankfurter
Anak lelaki kedua kami juga biasa meminta saya memotong burger/frankfurter kepada kepingan kecil..memasaknya di atas kuali sehingga masak..membungkusnya dengan telur dadar nipis dan dimakan dengan roti burger/frankfurter ataupun roti biasa..

Roti Telur Mewah
Masakkan burger, frankfurter, telur mata kerbau..french fries..hidangkan dengan hirisan salad, tomato, bawang besar, timun..sedapkan dengan serbuk lada putih, sos cili/tomato, mayonis, cheese..makanlah dengan roti..

Roti John Ala Sofia Jane
Kemudian saya jumpa resepi roti John oleh Sofia Jane dalam sebuah majalah..itulah saya tahu bancuhan itu ditaruk telur, susu cair, serbuk kari, serbuk lada putih dan garam halus ditambah dengan cincangan daging burger ayam atau lembu. Cara membuatnya saya tiru seperti yang pernah saya tengok di pasar malam..

Roti Telur dengan Sardin
(Sardin Roll)
Kami suka memasak dulu sardin tersebut..(ala-ala sambal sardin..)..letak di atas kepingan roti dan gulung sambil dicelup di dalam pukulan telur.. ..masak di atas kuali leper yang dilenser dengan Planta..kena roll-roll juga lah agar serata masaknya..

Roti Canai Tempek Telur
Kami biasa order roti canai telur dan roti canai biasa..tetapi bila balik ke rumah..kadang-kadang anak-anak tidak mahu makan roti canai biasa..kadang-kadang roti canai biasa tidak habis hingga ke petang atau malam malah hingga ke keesokan harinya..kadang-kadang sengaja dibeli lebih sebab sudah tahu apa yang hendak dibuat dengan lebihan roti canai biasa ini..boleh pula dibuat makan petang atau malam..anak kami meminta saya meletakkan telur pada roti canai biasa itu..agak terpinga-pinga juga saya pada mulanya..macam mana hendak meletakkan telur pada roti canai yang sudah siap dimasak itu..manakan boleh hendak memasukkan telur ke dalamnya..akhirnya saya tahu..rupanya..panaskan kuali leper..letakkan roti canai biasa yang dibawa balik dari kedai mamak di atas kuali leper itu..samada dengan dilengser Planta atau tidak..kemudian pecahkan sebiji telur ke atas roti canai biasa itu..rata-ratakan sedikit..angkat sebentar roti canai dari kuali dengan sudip..biarkan lebihan telur di atas roti turun ke kuali..letak balik roti canai di atas lebihan telur itu..biarkan sebentar..terbalikkan dan angkat..sedia untuk dimakan..samada dengan kuah dan/atau sambal atau susu pekat manis ataupun gula pasir putih..

Sebenarnya saya sendiri lebih suka roti canai biasa yang ditempek telur ini berbanding dengan roti canai telur biasa..sebabnya telurnya lebih garing dan berbau wangi..anak-anak di rumah pun suka..kosnya tentu lebih jimat..kerana harga roti canai telur dua kali ganda harga roti canai biasa menjadikan mark-up itu juga double daripada harga sebiji telur yang dalam lingkungan 25 ke 30 sen sahaja..

Akhirnya,
Sedap memang sedap..mudah memang mudah..cepat memang cepat..tetapi ingatlah juga kesihatan anda..

Konsep halalan thoyyiban perlulah diamalkan sepanjang masa dalam menyediakan masakan dan menjamu selera..keluarga anda..

Tuesday, October 14, 2008

10/15 Tentang Saya..Saya Seorang.. (Tag By Aini)

Saya nak buat catatan tentang fungsi diri saja kali ni..harap saya dapat mencakup semuanya..tak tertinggal di mana-mana..

1. Saya seorang..
..anak..
kepada Allahyarham ayah saya AHbinI, yang telah meninggal dunia hampir 12 tahun yang lalu, dan ibu saya MYbtMY,

..cucu..
kepada datuk dan nenek saya, sebelah bapa, Allahyarham IbinS dan Allahyarhamah MSbinti Y dan
kepada datuk dan nenek saya sebelah ibu, Allahyarham MYbinA dan Allahyarhamah Abt..,

..anak saudara..
kepada kakak-kakak abah saya yang seramai 2 orang, Allahyarhamah HbtI dan Allahyarhamah ABbtI, dan
kepada adik beradik ibu saya yang seramai 4 orang, Allahyarhamah AbtMY, Allahyarham ZbinMY, Allahyarhamah AbtMY dan MbinMY,

..cucu saudara..
kepada adik beradik Allahyarham/ah datuk dan nenek saya sebelah bapa dan ibu,

..adik..
kepada 2 orang abang dan 3 orang kakak, termasuk kepada Allahyarham abang saya yang meninggal dunia pada usia 39 tahun lebih kurang 10 tahun lalu,

..sepupu..
kepada anak-anak Allahyarhamah kakak-kakak abah saya yang seramai (2 + 4 ) =6 orang dan
kepada anak-anak adik beradik ibu saya yang seramai (3+12+4+5) =24 orang,

..dua pupu..
kepada anak-anak sepupu-sepupu abah dan ibu saya,

..dan ramai lagi..semuanya dalam kategori waris..
yang saya pun dah pening nak mengiranya daripada cicit, ciut dan seterusnya.. tiga pupu, empat pupu dan seterusnya..dan lagi..dan lagi..dan seterusnya..dan seterusnya..yang saya pun dah terkira berapa jumlahnya..

sejak hampir 44 tahun yang lalu dan

..kakak..
kepada 3 adik perempuan dan 2 adik lelaki, termasuk kepada Allahyarham adik lelaki saya yang meninggal dunia semasa dilahirkan lebih kurang 37 tahun lalu, sejak yang paling awal lebih 42 tahun yang lalu.

2. Saya seorang..
..ipar..
kepada suami/isteri adik beradik saya yang seramai 9 orang sejak yang paling awal, lebih kurang 36 tahun yang lalu dan yang paling baru sejak 2 tahun lalu,

..ibu saudara..
kepada anak-anak adik beradik saya yang seramai (7+4+0+6+3 dan 0+5+0+1+1) =27 orang setakat ini, sejak yang pertama lebih 35 tahun yang lalu dan yang terbaru 5 hari lepas,

..ibu saudara sabit..
kepada suami/isteri anak-anak saudara saya (4+2) =6 orang, sejak yang pertama lebih kurang 10 tahun yang lalu dan

..nenek saudara..
kepada anak-anak kepada anak-anak saudara saya yang seramai (3+4+2 dan 2+3) =14 orang sejak yang paling awal lebih kurang 9 tahun yang lalu dan yang paling baru..masih dalam kandungan (yang ke 15?), InsyaAllah.

3. Saya seorang..
..isteri..
kepada suami saya WASbinHWH,

..menantu..
kepada Allahyarham bapa mertua saya, HWHbinHWA, yang telah meninggal dunia lebih 15 tahun yang lalu, dan ibu mertua saya HWSbtHWA,

..ibu tiri..
kepada 3 anak perempuan dan tiga anak lelaki suami saya dan Allahyarhamah isterinya yang pertama, yang telah meninggal dunia lebih 13 tahun yang lalu, tidak termasuk seorang anak lelaki yang telah meninggal dunia semasa lahir hampir 28 tahun lalu,

..ipar..
kepada adik beradik suami saya yang seramai 7 orang tidak termasuk seorang yang telah meninggal dunia semasa kecil,

..biras..
kepada suami/isteri adik beradik suami saya yang seramai 7 orang,

..anak saudara sabit, emak saudara sabit, nenek saudara sabit, sepupu sabit? dan lain-lain lagi..
kepada semua saudara mara suami saya,

sejak lebih 12 1/2 tahun yang lalu dan

..ibu kandung..
kepada anak kami WAAbinWAS sejak hampir 7 tahun yang lalu.

4. Saya seorang..
..mertua tiri?..
kepada suami anak perempuan sulong kami dan

..besan..
kepada ibubapa suami anak perempuan sulong kami,

sejak lebih 4 1/2 tahun yang lalu dan

..nenek tiri..
kepada 3 anak perempuan kepada anak sulong kami sejak yang paling awal lebih 3 1/2 tahun yang lalu dan yang paling baru sejak lebih 3 bulan lalu.

5. Saya seorang murid..kepada guru-guru saya di..
..sekolah rendah (1971-1976), sekolah menengah rendah (1977-1979), sekolah menengah (1980-1981),
..matrikulasi (Jun 1982- April 1984), universiti (Julai 1984-April 1989),
..kelas bahasa Inggeris (1991), kelas akaun (1992-1993), kursus DBM (Julai 1994- Dec 1995),
..kelas harfiah/tafsir al Quran Secara Lafziah (Ogos 2002-sekarang) dan kelas Mengaji Al Quran (Dec 2005-sekarang).

6. Saya seorang guru.. kepada murid-murid saya..
.. semasa menjalani Latihan Mengajar I (April-Mei, 1986) di Kangar dan Latihan Mengajar II (Jan-Mac, 1987) di Kuala Kangsar dan
.. di kelas al Quran di rumah saya (1998-2005).

7. Saya seorang kawan kepada
..kawan-kawan saya semasa saya lahir dan membesar di kampung kelahiran saya, di Kg. KK,
..kawan-kawan saya semasa saya membesar dan menjadi remaja saya di Kg. GS,
..kawan-kawan sekolah saya semasa di sekolah rendah, menengah rendah dan menengah,
..kawan-kawan saya semasa saya sedang menuntut di matrikulasi dan universiti,
..kawan-kawan saya di tempat kerja dan di tempat tinggal sementara,
..kawan-kawan saya di kelas-kelas bahasa Inggeris dan akaun, dan semasa di ITP,
..kawan-kawan saya di kelas Harfiah Al Quran dan di kelas-kelas Pengajian Al Quran, Tajwid dan Fardhu Ain.

8. Saya seorang jiran kepada..
.. jiran-jiran saya semasa saya tinggal di sebuah negeri di utara tanah air,
.. jiran-jiran saya semasa saya tinggal di sebuah negeri di Pantai Timur dan
.. jiran-jiran saya di kejiranan sekarang ini.

9. Saya seorang saudara di dalam Islam..kepada semua saudara saya seagama samada saya pernah mengenali mereka ataupun tidak tak kira di mana mereka berada ..

10. Saya seorang hamba Tuhan kepada Al Khalik, Tuhan Yang Telah Menciptakan saya sejak di alam roh, rahim, dunia.. dan kepadaNya lah tumpuan ibadah saya, hidup dan mati saya.. kerana kepadaNya nanti saya akan dikembalikan..dan diperhitungkan..

Siapa pun saya..saya adalah insan..seperti anda..yang ada kelebihan..dan kekurangan..di mana-mana..

(To be continued..)

Tuesday, October 7, 2008

Cara-cara Menanam Uri

Adik bongsu saya yang baru menyambut kelahiran cahaya mata pertama pagi tadi menelefon bertanya di mana hendak ditanam uri dan bagaimana. Saya yang tidak berapa tahu tentang ini melanjutkan pertanyaan beliau kepada suami.

Kata suami saya, uri bukanlah bahagian tubuh manusia walau bagaimanapun kita menghormatinya. Beliau pun menerangkan cara-cara menanam uri seperti di bawah ini :

1. Basuh uri dengan air.. agar ia bersih daripada darah.. tertinggal sikit-sikit tak apa.. macam kita bersihkan daging..
2. Bungkus uri yang telah dibersihkan dalam kain putih.. kalau tak ada kain putih pun tak apa.. gunalah kain lain..
3. Ikat bungkusan kain berisi uri itu.
4. Masukkan bungkusan uri ke dalam tempurung betina.. tempurung yang ada lubang tu..
5. Tutup dengan bahagian tempurung yang lagi satu..
6. Gali tanah sedalam mungkin.. sedalam agak-agak tak dibau dan dikorek anjing nanti..
7. Letakkan tempurung berisi uri dengan keadaan bahagian berlubang ke arah bawah tanah.. agar kandungan air dalam uri akan mengalir ke bawah tanah nanti dan agar senang ia mereput ..
8. Akhir sekali.. timbuslah.

Wallahu a'lam. Sesiapa yang ada maklumat yang boleh dikongsi bersama, silakanlah.

Koleksi Ucapan Selamat Hari Raya 2008


Kita masih dalam mood berhariraya mungkin..walaupun masing-masing sudah mula berada di ibukota meninggalkan kampung halaman dan ibunda tercinta..kampung mula sunyi..suasana hari raya beransur pergi..tetapi di kota raya ini kita sedang menghilangkan keletihan akibat perjalanan jauh sesambil menunggu kedatangan hujung minggu yang bakal dimeriahkan dengan jemputan rumah terbuka dan ziarah menziarahi sesama sanak saudara dan sahabat handai yang ada..

Pagi ini, 07:07:36, saya menerima khabar gembira..melalui khidmat pesanan ringkas..daripada adik bongsu saya yang baru dianugerahi Allah nikmat rezki yang tak terhingga memperolehi cahaya mata pertama setelah bertahun-tahun mendirikan rumahtangga. "Alhamdulillah cahaya mata kami telah selamat dilahirkan jam 4.28 pg ni. 2.95 kg. Boy", smsnya. Alhamdulillah saya tumpang gembira dan turut bersyukut ke hadhirat Illahi di atas kurniaan ini. Tahniah daripada kami, suami saya menyuruh saya membalas smsnya dengan ucapan tahniah dan ucapan semoga bertambah seorang lagi rijjal yang akan memikul amanah ummah.

Kita tinggalkan dulu berita itu..sebenarnya sudah beberapa hari saya hendak memuat turun ucapan-ucapan selamat hari raya yang memenuhi kotak memori telefon bimbit saya ini..saya mulai dengan..

Daripada kawan anak kami, Raudhah, 1 Oct 2008 23:19:50, dengan tulisan jawi;
Selamat hari raya aidil fitri. Maaf dzahir dan bathin... Dengan ingatan tulus ikhlas, semoga sentiasa dirahmati Allah. Drp Raudhah sekeluarga.

Daripada kawan suami saya, Baharudin, 1 Oct 2008 17:37:07;
La-ilaha-illallahu allahu-akbar, allahu-akbar walillahil hamd. Selamat menyambut aidilfitri almubarrak. Maaf zahir dan batin. Dari Bahar sekeluarga.

Daripada kontraktor taman mini kami, Agus, 1 Oct 2008 15:24:26;
Di hari yang mulia ini, saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf di atas segala kesalahan yang sengaja dan tak disengajakan. Selamat hari raya, maaf zahir dan batin. Dari Agus dan keluarga.

Daripada kawan saya, Wan Marinah, 1 Oct 2008 10:39:24, dengan grafik;
SALAM KEINSAFAN.. SALAM KEBERKATAN, SALAM KEMAAFAN, SALAM IDULFITRI minal aidinn walfaizin..salam tulus ikhlas..maaf zahir & batin dari kami sekeluarga.

Daripada anak saudara suami saya, Maziah, 1 Oct 2008 09:37:13;
Lisan kekadang tak terjaga hati kekadang berperasangka sikap kekadang menyakitkan namun hidup ini indah jika masih ada rasa kemaafan.

Daripada kakak saya, Nun, 1 Oct 2008 06:39:45;
Tangan ku hulur tak kesampaian, senyum ku ukir tak kelihatan, sms dikirim tanda ingatan, di aidilfitri kita bermaafan. Selamat Hari Raya Maaf Zahir @ Batin atas segala kesalahan.

Daripada kawan saya, Fauziah, 1 Oct 2008 00:12:30;
Menjelma Syawal berakhir Ramadhan. Perjuangan jiwa selama sebulan. Marilah kita bermaaf-maafan. Amalan baik kita kekalkan. Amalan buruk kita tinggalkan. TERIMA KASIH kirim sms tanda ingatan. Moga ukhuwwah berkekalan. SALAM EID ALFITRI juga kami ucapkan. MAAF ZAHIR BATIN wasilah kedamaian. Dr Fauziah RR sekeluarga saudara seperjuangan.

Daripada anak saudara suami saya, Maria, 1 Oct 2008 00:04:32, dengan grafik;
SELAMAT MENYAMBUT AIDILFITRI MAAF ZAHIR BATIN Ingatan tulus ikhlas Drp: Aya sekeluarga...

Daripada kawan saya, Hjh Sapiah, 30 Sept 2008 20:25:05;
Di Aidilfitri mulia, maaf dipinta seandainya: TERkasar bahasa.. TERsilap bicara.. TERmarah yang tak kena.. TERtanya tak tentu hala.. TERsasul yang tak sengaja.. TERpukul kat mana-mana.. TERpekik di telinga.. TERhantuk di kepala.. TERpinjam harta benda.. TERmoody tak semena-mena.. TERumpat bila-bila.. TERusik yang sengaja dan macam-macam lagi yang adaaa...
Selamat Hari Raya
Maaf Zahir & Batin

Daripada kawan saya, Siti Noraisyah, 30 Sept 2008 17:06:21;
Andai tangan tak mampu berjabat... Andai wajah tak mampu bertatap.. Hanya bibir terniat untuk mengucapkan.. "SELAMAT HARI RAYA". Semoga dengan kehadiran SYAWAL tahun ini akan membawa 1000 rahmat dan keberkatan kepada kita semua. MAAF ZAHIR BATIN.

Daripada anak saudara saya, Nurul Aini, 30 Sept 2008 12:12:18, dengan grafik;
Selamat Hari Raya. Salam Aidilfitri. Maaf Zahir & Batin. Drp Aini & Family.

Daripada kawan saya, Kak Faitah, 29 Sept 2008 08: 03:49 dan 08:12:45;
Selamat hari raya aidi fitri. Maaf zahir batin.
Baik-baik jalan ye. Semoga selamat pergi dan balik. Minggu depan kita raya-raya.

Daripada kawan saya, Kak Fatimah, 29 Sept 2008, 08:01:42;
Selamat hari raya juga saya ucapkan kepada Noriah sekeluarga. Maafkan segala salah silap saya selama ni ye.. Jemputla ke rumah raya nanti.

Kepada semua yang telah mengirimkan ucapan samada melalui sms atau kad (daripada anak saudara saya Nurul Aida dan kakak ipar saya Wan Mariani dll) juga secara lisan, terima kasih saya ucapkan dan sekali lagi saya hebahkan kepada semua SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI MAAF DZAHIR DAN BATHIN daripada saya sekeluarga.

Friday, September 19, 2008

Koleksi Ucapan Sepanjang Ramadhan 2008

Daripada W Marina 21-Sept-2008 13:55:29;
Salam...., manafaatkanlah hujung Ramadhan ini dengan sebaiknya dengan membanyakkan ibadah, doa dan pohon keampunan Allah. Belum pasti tahun depan kita akan bertemu Ramadhan lagi. Doakan Wan dan sahabat sahibah yang lain..

Daripada Fauziah Abdullah 8-Sept-2008 22:07:02;
Assalamualaikum ya sahabatku, apa khabar spiritual di bulan Ramadhan al Mubarrak ini? Lama tak dengar berita sejak PRU12 ini ye? Eh awak dah bermenantu?

Daripada W Marina 1-Sept-2008 15:20:07;
Sekadar berkongsi.. Rasulullah saw ada bersabda: "Sesungguhnya iman yang berada di dalam hati kamumenjadi lusuh seperti mana lusuhnya pakaian. Oleh itu, mohonkanlah dari Allah Ta'ala supaya Dia membaharui iman di dalam hati kamu". (HR al-Tabrani & al-Hakim). Selamat menyambut Ramadhan al Mubarrak.

Daripada Lt Kol B Hj Zul 31-Aug-2008 23:59:51;
Tiada ibadah seindah SOLAT. Tiada BULAN seindah RAMADHAN. Salam Ramadhan AL-MUBARRAK dan SeLaMaT BERPUASA.

Daripada Siti Nor Aishah 31-Aug-2008 19:47:14;
Salam Ramadhan dan Selamat Menjalani Ibadah Puasa.

Thursday, September 18, 2008

Tarbiah Ramadhan - 15 Hari Terakhir

Assalamualaikum warahmatullah,
Kita sudah berada di 15 hari terakhir di bulan Ramadhan ini..maknanya bulan Ramadhan sudah mula menurun dan menuju ke penghujungnya untuk meninggalkan kita..mungkin ada yang sudah sibuk dengan persediaan menyambut hariraya dari segi biskut mikut dan langsir perabut..baju raya rasanya semuanya sudah disedia..

Badan kita juga mungkin sudah terkesan daripada 15 hari pertama berpuasa..sudah mula terasa letihnya..menjalani ibadah puasa apatah lagi untuk menunaikan solat terawih dan lain-lain ibadah di bulan yang mulia ini. Sudah tidak berkesanggupan mungkin untuk bertadarrus dan hilang selera tatkala berbuka dan bersahur..apatah lagi semakin mengantuk untuk bangun bersolat tahajjud dan berqiamullail ..

15 hari terakhir Ramadhan..sebaliknya Ramadhan sedang menuju ke kemuncaknya..ramai yang semakin memperhebatkan amal ibadah..untuk mendapat Laitul Qadar..suatu malam yang lebih baik daripada seribu bulan..yang sudah lama ditunggu oleh orang yang menunggunya.. layakkah kita mendapatnya..?

Mari bersama-sama saya mentelaah enam rahsia dan syarat kebatinan puasa agar kita dapat menghayati 15 hari atau 10 hari-hari terakhir Ramadhan ini dengan lebih bermakna..

Rahasia-rahasia Puasa dan Syarat-syarat Kebatinannya
1/ Memejamkan mata dan menahannya daripada meluaskan pandangan kepada semua perkara yang tercela dan dibenci oleh agama dan juga kepada segala sesuatu yang boleh mengganggu hati, seperti melalaikannya dari berzikir dan mengingati Allah.

2/ Memelihara lidah daripada omong kosong, bohong, mencaci maki, bercakap kotor, menimbulkan permusuhan dan riya'.

3/ Memelihara pendengaran daripada mendengar hal-hal yang dilarang dan dibenci, sebab setiap yang haram diucapkan, haram pula didengarkan. Dan kerana itu jugalah Allah swt telah menyamakan pendengaran kepada sesuatu semacam itu dengan memakan barang-barang yang diharamkan, sebagaimana dalam firmanNya yang bermaksud ;

Mereka itu suka mendengar perkara yang bohong dan memakan barang yang haram.
(Al-Maidah : 42)

4/ Memelihara seluruh anggota yang lain daripada berbuat dosa seperti tangan dan kaki, dan memeliharanya juga daripada segala yang dibenci. Demikian juga menahan perut daripada memakan barang-barang yang syubahat di waktu berbuka puasa. Apalah gunanya berpuasa daripada makanan yang halal, kemudian apabila berbuka pula dia memakan daripada makanan yang haram. Orang yang berpuasa seperti ini samalah seperti orang yang membangunkan sebuah istana yang indah, kemudian dia menghancurkan sebuah kota.

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud ;
Ada banyak orang yang berpuasa, tetapi ia tiada memperolehi daripada puasanya itu, selain daripada lapar dan dahaga (yakni tiada mendapat pahala).

Ada yang mengatakan, bahawa orang itu adalah orang yang berbuka puasanya dengan makanan yang haram. Yang lain pula mengatakan, orang itu adalah orang yang menahan dirinya (berpuasa) daripada makanan yang halal, lalu ia berbuka dengan memakan daging manusia; iaitu mencaci maki orang kerana yang demikian itu adalah haram hukumnya. Ada yang mengartikan dengan orang yang tiada memelihara anggota-anggotanya daripada dosa.

5/ Janganlah dia memperbanyakkan makan di waktu berbuka puasa, sekalipun daripada makanan yang halal, sehingga perutnya terlampau kenyang, kerana tidak ada bekas yang paling dibenci oleh Allah swt daripada perut yang penuh dengan makanan yang halal. Cubalah renungkan bagaimanakah dapat menentang musuh Allah (syaitan) dan melawan syahwat, kiranya apa yang dilakukan oleh orang yang berpuasa di waktu berbuka itu, ialah mengisikan perut yang kosong itu dengan berbagai makanan semata-mata kerana dia tidak mengisikannya di waktu siang tadi. Kadangkala makanan-makanan yang disediakan itu berbagai-bagai rencamnya, sehingga menjadi semacam adat pula kemudiannya. Akhirnya dikumpulkanlah bermacam-ragam makanan untuk persediaan menyambut Ramadhan, dan dihidangkanlah pula dalam satu bulan itu bermacam-macam makanan yang tidak pernah dihidangkan pada bulan-bulan sebelumnya. Sebagaimana yang termaklum, bahawa maksud puasa itu adalah menahan selera dan mengekang nafsu, agar diri menjadi kuat untuk taat dan bertaqwa kepada Allah. Tetapi kalaulah hanya sekadar mengekang perut di siang hari hingga ke masa berbuka, lalu membiarkan syahwat berlonjak-lonjak dengan kemahuannya kepada makanan, dan dihidangkan pula dengan berbagai makanan yang lazat-lazat, sehingga perut kekenyangan, tentulah perut akan bertambah keinginannya kepada makanan-makanan itu. Malah akan timbul daripada syahwat pula keinginan yang baru, yang kalau tidak dibiasakan sebelumnya, mungkin ia tetap pada kebiasaannya. Semua ini adalah bertentangan dengan maksud dan tujuan puasa yang sebenarnya. Sebab hakikat puasa dan rahasianya adalah untuk melemahkan kemahuan dan keinginan, yang digunakan oleh syaitan, sebagai cara-cara untuk menarik manusia kepada berbagai kejahatan. Padahal kemahuan dan keinginan ini tiada dapat ditentang, melainkan dengan mengurangkan syahwat. Barangsiapa yang menjadikan di antara hatinya dan dadanya tempat untuk dipenuhi dengan makanan, maka ia terlindung daripada kerajaan langit.

6/ Hendaklah hatinya merasa bimbang antara takut dan harapan, kerana ia tiada mengetahui apakah amalan puasanya itu diterima oleh Allah, sehingga tergolonglah ia ke dalam puak muqarrabin (hampir kepada Allah), ataupun puasanya tertolak, maka terkiralah ia ke dalam golongan orang yang terjauh daripada rahmat Allah Taala. Perasaan seumpama ini seharusnya sentiasa ada pada diri seseorang, setiap kali selesai melakukan sesuatu ibadat kepada Allah Taala.

Rahasia-rahasia puasa dan syarat-syarat kebatinanya ini saya petik daripada kitab Bimbingan Mu'minin Untuk Mencapai Tingkat Mau'idzatul Mukminin - Pada Mencari Redha Rabil-'Alamin Jilid 1-2, ms 115-117 daripada judul asal Mau'idzatul Mukminin ringkasan daripada Ihya' 'Ulumuddin karangan Imam Alghazali sususan APAllamah Almarhum Asysyaikh Muhammad Jamaluddin Alqasimi Addimasyqi terbitan Al-Maktabah At-Tijjariyyah Al-Kubro (tidak bertahun) terjemahan Moh. Abdai Rathomy, 1979.

Wahai saudara-saudaraku sekelian, ketahuilah kita mengapa sebelum ini terasa betapa jauhnya kita daripada Allah swt dan amalan puasa kita terasa biasa-biasa sahaja. Betapa sukarnya kita untuk bangun bersolat malam dan susahnya untuk beristiqamah bertadarrus di sepanjang bulan Ramadhan apatah lagi dapat mengkhatami 30 juzuk daripada al Quran. Sungguh payahnya kita untuk membersihkan hati daripada segala sifat kekejian dan mengikhlaskan hati dalam beramal kebaikan. Moga-moga Allah swt mengampunkan dosa-dosa kita yang telah lalu dan yang akan datang dan membuka seluas-luas jalan di hadapan kita untuk menuju ke keredhaanNya. Amin.

Eid mubarrak buat semua muslimin dan muslimat di seluruh pelusuk alam serta maaf dzahir dan batin.

(Siri Peringatan Buat Diriku Yang Lalai dan Lupa)

Tuesday, September 9, 2008

Tazkirah Ramadhan I : Memakmurkan Rumah Allah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Tazkirah ringkas 10 minit ini saya dengar di surau semasa menunaikan solat terawih tadi, ditazkirahkan selepas 4 rakaat pertama iaitu sebagai penengah kepada solat terawih 8 rakaat itu. Ia berkenaan kepentingan memakmurkan rumah Allah.

Dimulai dengan perintah solat berjemaah turun ke atas kumpulan atau kolektif ataupun dalam bahasa Arabnya fardhu kifayah bukan bermaksud seperti yang difahami masyarakat Melayu iaitu kalau seorang sudah buat yang lain sudah terlepas pula malahan ia bermaksud kefardhuan itu turun ke atas kumpulan secara kolektif.

Laungan azan pula bermula dengan Allahuakbar yang diulangi sebanyak 4 kali yang bermaksud Allah Maha Besar. Ertinya Allah lebih besar daripada segala yang lain samada kita sedang mencuci kereta mahupun mencuci pinggan hendaklah ditinggalkan demi menyahut seruan azan untuk menunaikan fardhu solat. Lainlah kalau doktor yang sedang bertugas di operation theatre, takkan boleh meninggalkan pesakit yang sedang dioperasinya untuk menunaikan solat jemaah, ini kes dharuri.

Kemudian azan diteruskan dengan penyaksian asyhadu anllailahaillallah yang bermaksud aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah menunjukkan bahawa kewajiban solat berkait dengan penyaksian kalimah thoyyibah ini.

Seterusnya penyaksian asyhadu anna muhammadurrasulullah yang bermaksud aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah yang menunjukkan bahawa Nabi Muhammad mengajarkan dan menganjurkan solat berjemaah ini.

Selepas itu barulah diteruskan dengan ajakan menunaikan solat, haiyya alassolah yang bermaksud marilah menunaikan solat dan seterusnya.

Untuk menunaikan solat jemaah ini ada imam yang memimpin yang hendaklah dipatuhi dan makmum pula boleh menegur jika imam melakukan kesalahan yakni kesalahan yang besar. Kalau kesalahan kecil tidak perlu ditegur. Menegur pula ada caranya yakni dengan melafazkan subhanallah.

Imam hendaklah menoleh ke belakang sebelum mengimami solat untuk memastikan keadaan makmum dan disesuaikan dengan pengimaman solat samada memilih untuk membaca surah yang panjang atau pendek. Untuk solat fardu, hendaklah tidak membebankan makmum dengan bacaan surah yang panjang-panjang kerana solat fardu didirikan dalam keadaan wajib berdiri, takut-takut ada orang yang lemah seperti orang tua-tua dan kanak-kanak. Untuk solat sunat boleh memilih surah yang panjang sebab ia adalah pilihan dan kalau penat boleh dilaksanakan sambil duduk.

Imam juga hendaklah memastikan saf-saf lurus, penuh dan rapat. Saf ditentukan sedemikian untuk mengeratkan ukhwah sesama jemaah dan saling bermaafan sekiranya tergesel mahupun tertindih. Hendaklah memakai bau-bauan untuk menyelesakan jemaah yang berada di sebelah kita.

Bagi kaum wanita, untuk datang mengerjakan solat di masjid atau surau, hendaklah menepati 3 syarat iaitu ;
1/ Mendapat izin suami/wali
2/ Tidak menimbulkan fitnah
3/ Tidak berhias diri berlebih-lebihan

Alhamdulillah, kata pentazkirah sebagai mengakhiri tazkirah pendek tetapi bermakna itu, dengan pembaharuan dan renovasi yang dilakukan ke atas surau ini yang makin menyelesakan kita untuk memakmurkan rumah Allah ini.

Sesungguhnya yang baik itu adalah daripada Allah swt dan yang lemah itu adalah daripada penulis blog ini sendiri.

Thursday, September 4, 2008

Ramadhan Datang Lagi

Hari ini Khamis, 4 September bersamaan dengan 4 Ramadhan..di luar sana hujan sedang turun dengan lebatnya..memang sudah sejak minggu lepas lagi hujan turun..demikian juga minggu-minggu sebelumnya..agaknya memang bermula dari pertengahan tahun sudah musim hujan pula..walau bagaimanapun syukur ke hadrat Illahi dengan sunnah alam ini..yang menjadikan bumi tidak gersang dan segala kelebihannya..

Izinkan saya memetik sedikit catatatan dari kitab Bimbingan Mukmin berkenaan ibadah puasa yang baru 3-4 hari kita jalani untuk renungan bersama..

Kitab Rahasia Puasa
Sebesar-besar nikmat yang pernah dikurniakan Allah ke atas hamba-hambaNya ialah dengan menjadikan ibadah puasa benteng bagi para wali, dan perlindungan bagi mereka dari segala tipu daya syaitan dan angan-angannya, sebagaimana Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud ;
Puasa itu separuh kesabaran.

Allah telah berfirman yang bermaksud ;
Hanyasanya orang-orang yang bersabar itu dipenuhi pahalanya tanpa perhitungan.
(Az Zumar : 10)

Kalau begitu pahalanya kesabaran itu telah melampaui batas-batas perkiraan dan perhitungan, dan memadailah kalau kita mengetahui keutamaannya dengan sabda Rasululullah saw yang bermaksud ;
Demi Allah yang jiwaku berada di dalam genggamanNya, bahawa bau mulut seorang yang berpuasa adalah lebih harum pada sisi Allah dari bau-bau minyak kasturi. Allah azzawajalla berkata ; Sesungguhnya ia telah meninggalkan syahwatnya, makannya dan minumannya kerana Aku. Puasa itu (dilakukan) kerana Aku, dan akulah yang akan memberikan balasannya sendiri.

Orang yang berpuasa itu dijanjikan Allah akan bertemu denganNya untuk menerima balasan puasanya itu.

Rasulullah saw bersabda pula yang bermaksud :
Orang yang berpuasa itu mempunyai dua kegembiraan: Kegembiraan yang pertama ketika masa berbuka puasanya, dan kegembiraan yang lain ialah ketika masa menemui Tuhannya.

Dalam penafsiran makna ayat yang berikut yang bermaksud ;
Tiada seorang pun yang mengetahui apa-apa yang telah disembunyikan daripada mereka itu dari cahaya mata iaitu sebagai pembalasan terhadap segala yang mereka kerjakan.
(As Sajdah : 17)

Yakni amalan yang mereka kerjakan itu ialah berpuasa, sebab Allah berfirman pula pada ayat yang lain yang bermaksud ;
Hanyasanya orang-orang yang bersabar itu dipenuhi pahalanya tanpa perhitungan.
(Az Zumar : 10)

Nyatalah orang yang berpuasa itu akan diberikan balasan secukup-cukupnya dan dilipatgandakan pahalanya tanpa dapat diragukan lagi atau diperhitungkan banyaknya. Sudah sewajarnyalah ia menerima balasan yang begitu besar, sebab puasa itu adalah dikerjakan kerana Allah semata-mata dan ditujukan kepadaNya, tiada lain. Walaupun ibadat-ibadat yang lain itupun ditujukan kepada Allah jua, tetapi ada dua perbedaannya :

(1) Bahawasanya puasa itu adalah menahan diri dan meninggalkan hawa nafsu, dan ia adalah rahsia di dalam diri seseorang dan bukan merupakan amalan yang boleh dilihat. Semua ketaatan dibuat di mata ramai dan dapat diketahui, melainkan puasa saja, tiada yang melihatnya selain Allah azzawajalla. Ia adalah suatu amalan dalam kebatinan yang disertai dengan kesabaran semata-mata.

(2) Bahawasanya pahala itu merupakan penentangan terhadap musuh Allah azzawajalla, sebab jalan syaitan itu, ialah melalui syahwat dan hawanafsu yang meminta banyak makan dan minum. Jadi dalam menekan dan menentang kemahuan musuh Allah itu adalah suatu pertolongan kepada Allah Taala, sedangkan pertolongan Allah kepada kita itu tergantung atas petolongan dari Allah Taala.

Allah telah berfirman yang bermaksud ;
Jika kamu sekelian menolong Allah (menurut perintah Allah), tentulah Allah akan menolong kamu, dan akan menetapkan kaki kamu (kedudukan kamu).
(Muhammad : 7)

Dengan jalan inilah puasa itu menjadi pintu bagi segala peribadatan dan perlindungan dari hawanafsu. Jika kita telah mengetahui keutamaannya begitu besar sekali, maka hendaklah kita menurut syarat-syaratnya lahir dan batin dengan mempelajari rukun-rukunnya, sunnat-sunnatnya dan syarat-syarat kebatinannya.

Petikan daripada kitab Bimbingan Mu'minin Untuk Mencapai Tingkat Mau'izhatul Mukminin Jilid 1-2 daripada judul asal Mau'izhatul Mukminin Ringkasan Dari Ihya' 'Ulumuddin karangan Imam Alghazali susunan APAllamah Almarhum Assyaikh Muhammad Jamaluddin Alqasimi Addimasyqi terbitan Al-Maktabah At-tijariyyah Al-Kubra (tidak bertahun) terjemahan Moh. Abdai Rathomy, 1979, ms 110-112.

Ramadhan mubarrak kepada semua muslimin dan muslimat di segenap pelusuk alam, moga Ramadhan kali ini lebih baik dari Ramadhan yang lalu..

Ahlan wasahlan ya Ramadhan..!