Wednesday, May 7, 2008

Poli, Tepung Manis, Tepung Boko Ubi Kayu

Poli Ubi Kayu
Bahan-bahan
Beberapa ketul ubi kayu
Manisan
Sedikit air
Kelapa parut
Sedikit garam
Daun pisang untuk membungkus

Cara-cara
1. Sediakan pengukus dan didihkan air di dalamnya.
2. Kupas ubi kayu, bersihkan dan sagat halus.
3. Bungkus besar-besar dalam daun pisang, 4 atau 6 inci persegi dgn ketebalan 1/2-1 inci.
4. Atur bungkusan di dalam pengukus dan kukuslah sehingga masak, sejukkan.
5. Manisan dicairkan dengan sedikit air dan dipanaskan di atas api sederhana sehingga mendidih. Ketepikan.
6. Kelapa parut digaul dgn sedikit garam.
7. Potong kiub poli yang dah disejukkan tadi, macam potongan nasi himpit.
8. Gaulkan kiub poli dengan kelapa parut sehingga bersalut rata.
9. Hidangkan bersama cairan manisan.

Tepung Manis Ubi Kayu
Bahan-bahan
Bahan-bahan yang sama seperti poli di atas.
Cara-cara
1. Ikut cara-cara 1-2 di atas.
2. Racik manisan halus-halus, sehalus cincangan daging.
3. Gaulkan parutan ubi kayu dengan manisan racik, parutan kelapa dan sedikit garam.
4. Bungkus kecil-kecil dalam daun pisang, macam saiz kueh koci.
5. Susun ke dalam pengukus dan kukuslah sehingga masak.
6. Sedia untuk dihidangkan.

Tepung Boko Ubi Kayu
Bahan-bahan
Bahan-bahan yang sama dengan di atas, ditambah satu sudu tepung beras.
Cara-cara
1. Ikut cara 2 untuk poli di atas.
2. Kacau parutan ubi kayu dengan sedikit air di dalam periuk menggunakan api sederhana sehingga masak. Ketepikan.
3. Ikut cara 5 untuk poli di atas, untuk membuat cairan manisan.
4. Perah kelapa parut untuk mendapatkan santan pekat.
5. Tambahkan sesudu tepung dan sedikit garam dan dimasak di atas api sederhana sehingga mendidih.
6. Sendukkan parutan ubi kayu yang dah dimasak tadi, siramkan manisan cair dan kepala santan di atasnya.
7. Sedia untuk dimakan.

Cara-cara Menyangai
Jika anda tidak mempunyai pengukus, anda boleh ikut cara-cara kami menyangai poli dan tepung manis seperti di bawah :
1. Sediakan sebuah periuk.
2. Potong pendek pelepah pisang yang dah diambil daunnya untuk membungkus kueh, dalam 6-8 inci panjang mengikut saiz periuk.
3. Susun pelepah pisang secara bersilang di dasar periuk.
3. Masukkan sedikit air ke dasar periuk itu.
4. Susunaturkan bungkusan poli/tepung manis di atas sangai pelepah pisang.
5. Jerangkan di atas api sehingga masak.

Tuesday, May 6, 2008

Onde-onde, Kepek Idung, Bute Nako...Sedap, Sedap... Mari, Mari...

Bahan-bahan
Beberapa helai daun pandan
Air

Tepung beras pulut
Manisan
Kelapa parut
Sedikit garam

Cara-cara
1. Bersihkan beberapa helai daun pandan dan diblend dengan sedikit air. Perahkan.
2. Masukkan tepung beras pulut ke dalam sebuah bekas dan tambahkan air daun pandan sedikit demi sedikit, agar tak berlebih air nanti, sambil digaul dengan menggunakan tangan sehingga adunan sebati dan tidak melekat di tangan.
3. Jerangkan satu periuk air sehingga mendidih.
4. Racik-racikkan manisan ke bentuk kiub dan saiz yang sesuai, untuk dimasukkan ke dalam onde-onde sebagai inti.
5. Gaul rata kelapa parut dengan sedikit garam, di dalam sebuah besen kecil.
6. Tekan kelapa parut yang sudah digaul garam itu ke dasar besen agar mampat sedikit.
7. Ambil adunan sebesar ibu jari lebih kurang, dan digentel membentuk sebiji bola kecil.
8. Leperkan bola kecil itu dan letakkan kiub manisan di tengah-tengahnya.
9. Tutup manisan dengan menggenggam adunan di tangan dan digentel bulat semula.
10. Masukkan bola onde-onde ke dalam air yang sedang mendidih.
11. Buat sehingga habis.
12. Apabila bebola onde-onde mula timbul ke permukaan air mendidih, sauk dengan penapis, goyang-goyangkan untuk mengetos airnya, dan terus diletakkan di atas mampatan kelapa parut.
13. Gerakkan besen kelapa parut ke depan dan ke belakang agar bebola onde-onde bergolek di dalamnya sehingga onde-onde disalut rata dengan kelapa parut tadi.
14. Siap untuk dihidang.

Kepek Idung
Bahan-bahan
Sama seperti bahan-bahan untuk onde-onde di atas
Cara-cara
1. Kelapa parut, manisan, garam dan daun pandan dimasak bersama-sama, sebentar, sambil mengacaunya. Matikan api dan biarkan di tepi.
2. Ikut cara-cara 1-3 di atas.
3. Ikut cara-cara 7-8, cuma tidak dimasukkan inti manisan setelah dileperkan, sebaliknya ditekan di tengah-tengah leperan itu dengan perut jari telunjuk agar membentuk lekuk.
4. Ikut cara-cara 10-12, cuma setelah disauk diletakkan ke dalam kuali kelapa dan manisan yang telah dimasak tadi.
5. Masak sebentar, sambil dikacau-kacau sehingga bergaul rata. Jangan dibiar hingga kering, kerana kueh ini dihidang dengan salutan yg basah dan sedikit berair.
6. Angkat dan hidang.

Bute Nako
Bahan-bahan

Sama seperti bahan-bahan untuk onde-onde dan kepek idung di atas cuma ditambah sedikit halba.
Cara-cara
1. Ikut cara-cara membuat onde-onde 1-2 di atas.
2. Perahkan santan secukupnya untuk membuat kuah. Tambahkan manisan, garam, halba dan daun pandan. Jerangkan sehingga mendidih.
3. Ikut cara-cara 7-8 onde-onde di atas, cuma adunan dibentuk seperti bentuk biji nangka dan tidak dimasukkan inti manisan ke dalamnya.
4. Seperti cara-cara 10-11, biji nangka dimasukkan ke dalam kuah santan yang sedang dijerang.
5. Seperti cara 12, apabila kesemua biji nangka telah timbul ke permukaan, itu menandakan ia telah siap dimasak dan bolehlah dihidangkan.

Agar dapat membantu anda dalam membuat kueh mueh tradisional, elementary level.
Ini adalah berdasarkan pembelajaran saya di madrasah keluarga.. Masa tu kueh mueh yang biasa dibuat di rumah kita berasaskan beras jemah/jawi, beras pulut dan ubi kayu.
Kakak saya Nun selalu menyediakan kuehmueh di atas dan lain-lain semasa saya kecil dan remaja, terutama sebagai juadah berbuka puasa. Kakak saya ini telah mula memasak untuk hidangan keluarga semenjak darjah tiga lagi..yala mak beranak kecil tek tek..Kesempatan ini saya ambil untuk beri best compliment untuk kakak saya yang saya kasihi dan sayangi itu kerana banyak jasanya dalam membantu ibu menguruskan rumahtangga.

Thursday, April 24, 2008

Resepi Junjungan Kasih : Ikan Goreng Halia

Bahan-bahan
1 ekor ikan bersisik bersaiz sederhana
sedikit serbuk kunyit
sedikit garam halus
minyak masak untuk menggoreng
1 1/2 inci halia
4-5 ulas bawang putih
1-2 sudu besar minyak bijan
1-2 sudu besar bawang goreng
2-3 biji limau kasturi
2-3 sudu besar kicap manis atau sederhana
hirisan cili merah
hirisan daun bawang
hirisan daun sup

Cara-cara
1. Ikan disisik dan dibuang perut, bersihkan dan kelar.
2. Perapkan dengan sedikit serbuk kunyit dan garam .
3. Panaskan minyak masak dengan api sederhana.
4. Goreng ikan sehingga garing atau separuh garing, ikut suka.
5. Ketepikan.
6. Halia dibuang kulit dan dipotong halus, macam bilah mancis.
7. Bawang putih pun sama.
8. Panaskan minyak bijan dengan api sederhana.
9. Gorengkan halia dan bawang putih sehingga kekuningan.
10. Angkat dan tuang ke atas ikan goreng, dengan minyaknya sekali.
11. Taburkan bawang goreng ke atasnya.
12. Perah air limau kasturi dan renjiskan kicap sehingga bergenang.
13. Kalau suka, tabur hirisan cili merah, daun bawang dan daun sup.
14. Siap untuk dihidangkan.

Nota
1. Saya biasa menggunakan ikan siakap, gut-gut, kerapu, kerisi atau gelama. Gandakan jumlahnya jika menggunakan ikan bersaiz kecil.
2. Jika ketiadaan stok bawang goreng, kupaslah beberapa ulas bawang merah, hiriskan dan goreng bersama halia dan bawang putih atau secara berasingan.
3. Boleh juga menggantikan limau kasturi dengan limau nipis dan kicap manis atau sederhana dengan kicap masin, kalau suka, atau ketiadaan stok bahan-bahan itu di rumah, tetapi kurangkan jumlah garam semasa memerap ikan jika kicap masin digunakan.

Sebenarnya, suami saya yang mengajar saya memasak ikan goreng halia ini semasa saya mula-mula berkahwin dengannya dulu dalam rangka untuk memudahkan dan memesrakan saya dengan resepi dan selera keluarga.

Sunday, April 20, 2008

Panduan Asas IB/Mengesan Punca Bayi dan Anak Kecil Menangis

Apa sebab bayi/anak kecil menangis? Anda tentu tertanya-tanya sebab bayi/anak kecil tak dapat memberitahu anda dengan bahasa yang boleh anda fahami. Tapi saya percaya, anda tentu dapat meneka daripada sumber-sumber yang pernah anda baca/dengar. Mungkin bayi/anak kecil anda kelaparan, atau basah, atau tak selesa atau mengantuk, atau sakit..apalah baby ni asyik-asyik nak menangis je..
Anda pun mula memeriksa satu persatu, jika anda tak suka bayi/anak kecil anda terus menangis, melainkan anda suka..? Mulakan dengan lampin basah rasanya paling senang untuk dikesan. Intai saja di celah-celah lampinnya, kalau ya selesai masalah, kalau menangis lagi 'check' yang lain pula. Hulur botol susu, langkah yang mudah juga. Kalau masalah tak selesai juga dodoikan, tak tidur juga, dan masih menangis lagi..kepanasan ke? Cuba buka/lajukan kipas ataupun 'on'kan 'aircond'. Atau kesejukan, tutup kipas/aircond? Kalau tak 'settle' juga, sakit ke anak aku ni?
Macam mana nak periksa yang ini? Letakkan tapak tangan anda di dahinya, panas ke? Genggam telapak tangannya, sejukke? Sentuh tapak kakinya, sejuk ke? Begitu juga labu betisnya, sejuk atau suam biasa. Periksa perutnya adakah kembung, dengan meletakkan telapak tangan anda di atas mana-mana bahagian perutnya yang disyaki, biasanya di antara pusat dan ulu hati, di bahagian kiri dan kanan pusat, juga di bawah pusat. Jentik belakang jari anda. Anda akan dapat dengar/bezakan bunyi perut kembung/berangin daripada biasa.
Kalau demam, tentulah badannya panas, berilah ubat demam atau lebih baik bawa ke klinik supaya doktor tentukan masalah dan ubatannya..Kalau selsema dan banyak lendir mengganggu pernafasannya dan menyukarkannya apabila berbaring/minum susu, sapulah 'vick' atau 'tiger balm' atau 'balm' kayu putih dengan mengikut salur tenggorok/pernafasannya. Juga di bahagian belakang badannya dengan mengikut jalur tulang belakangnya.
Kalau sakit perut atau kembung, biasanya telapak kaki dan labu betisnya sejuk dan dahinya mungkin berpeluh. Cubalah sapu minyak angin yang sesuai ke perut, belakang, labu betis dan telapak kaki. Urutlah perlahan bersesuaian dengan bayi/anak yang masih kecil. Anda mungkin dapat redakan tangisannya.
Untuk rawatan lanjut bawalah berjumpa doktor.
Mungkin juga, bayi/anak kecil anda menangis kerana mengada-ngada. Puncanya tentulah inginkan perhatian anda. Nilaikan, perlukah anda layan agar anak anda mendapat cukup perhatian dan belaian kasih sayang anda atau anda abaikan agar tak berlebih-lebih/berlanjutan 'ada'nya. Janganlah terus mengambil langkah membiarkan kerana anda mungkin seorang ibu bekerja yang telah meletakkan bayi/anak anda dalam jagaan/belaian orang lain sepanjang hari. Hanya baki hari setelah anda pulang dari bekerja dan sebelum anak atau anda melelapkan mata dan di hari-hari cuti saja anda bersama mereka. Janganlah jadikan penat (dan malas) sebagai alasan anda. Janganlah juga membiarkan orang lain mengambil alih tempat anda sebagai ibunya.
Selain itu, tangisan itu juga mengganggu ketenteraman orang lain yang berada/turut mendiami rumah anda. Kalaulah ada nenek anda yang sudah tua/uzur, bapa anda yang sakit jantung, malahan jiran-jiran pun boleh mendengar jeritan/raungan anak anda. Perhatikanlah.

Tuesday, April 15, 2008

Panduan Membasuh Botol

Panduan ini hanya sesuai digunakan untuk botol yang bermulut kecil sahaja, yang tidak muat untuk memasukkan tangan ke dalamnya.

Bahan-bahan
Botol kotor
Air sabun
Sponge kecil
Air bersih

Cara-cara
1. Masukkan air bersih ke dalam botol anggaran sejumlah 1/4 botol dan digoncang beberapa kali untuk mengeluarkan kotoran kasar daripadanya, tuang keluar air itu.
2. Masukkan air sabun cair anggaran sejumlah 1/8 botol bersama-sama sponge kecil yang agak-agak boleh muat mulut botol, untuk memasukkan ke dalamnya dan lebih penting lagi untuk mengeluarkannya nanti.
3. Goncang beberapa kali dan tuang.
4. Ulang jika perlu, sehingga bersih.
5. Bilas dengan air bersih.
6. Keringkan.
7. Siap untuk digunakan.

Cara Traditional Membersihkan Botol
1. Masukkan sedikit pasir ke dalam botol yang kotor itu bersama sedikit air.
2. Goncang beberapa kali sehingga bersih.
3. Bilas dengan air sabun dan kemudiannya dengan air bersih pula.
4. Keringkan dan siap untuk digunakan.

Sebenarnya teringat nak tulis post ini semasa mencuci botol susu segar untuk dijadikan bekas air masak dan dok teringat nostalgia lama membasuh botol di rumah kita di GS. Kan dulu ada setimbun lebihan pasir di bawah pokok ubi kanji di depan pintu masuk tu.

Monday, April 14, 2008

Air Soya Panas-Panas - Buatan Sendiri

Bahan-bahan
Kacang soya
Gula
Garam
Daun pandan
Halia
Air

Cara-cara
1. Bersihkan kacang soya dan rendam semalaman.
2. Buang air rendaman, bersihkan kacang sekali lagi dan blend dengan air biasa, dengan nisbah sukatan 1 cawan kacang : 2 cawan air.
3. Tapis bancuhan air kacang soya menggunakan kain kasa atau lain-lain yang sesuai.
4. Masukkan ke dalam sebuah periuk yang sesuai.
5. Masukkan gula dan garam secukup rasa.
6. Masukkan daun pandan secukupnya supaya wangi.
7. Masukkan halia yang dititik secukupnya untuk rasa halia.
8. Masaklah di atas api sederhana sambil dikacau-kacau sehingga mendidih.
9. Angkat dan sedia untuk diminum panas-panas atau disejukkan untuk dijadikan minuman sejuk.

Cara-cara membuat air soya ini saya perolehi daripada jiran belakang rumah saya, Haryati semasa dihulurnya sekole air soya panas buatannya sendiri Sabtu lalu.

Friday, April 11, 2008

Mee Goreng Mamak dan Nasi Goreng Mamak

(Sebagaimana yang saya perhatikan mamak menggorengnya dan bertanya sepatah dua di sebuah restoran mamak di sempadan Taman Maluri/Taman Nirwana/Kg. Pandan)

Bahan-bahan
(Saiz hidangan : 1/seorang)
Minyak masak, anggaran 1/4-1/2 senduk sederhana
Hirisan bawang putih, anggaran daripada 2-3 ulas
Hirisan bawang besar, anggaran 1/8-1/4 labu
Hirisan cili api, anggaran 2-3 biji
Hirisan tauhu, anggaran daripada 1-2 keping
Hirisan kobis, anggaran segenggam kecil/sederhana
Hirisan sawi, anggaran segenggam kecil/sederhana
Taugeh, anggaran segenggam kecil/sederhana
Telur, sebiji
Campuran bawang, cili dan kacang yang dah diblend dan dimasak/tumis bersama, anggaran 1/2-1 senduk kecil
Kicap pekat, anggaran 1/4-1/2 senduk kecil
Kicap cair, anggaran 1/4-1/2 senduk kecil
Perahan limau kasturi, 1 biji
Mee kuning, anggaran segenggam besar/satu hidangan/seorang makan.

Cara-cara
1. Panaskan kuali, masukkan minyak masak dan biarkan panas.
2. Masukkan hirisan bawang putih, biar seketika, kacau.
3. Masukkan hirisan bawang besar, biar seketika, kacau.
4. Masukkan hirisan cili, biarkan seketika, kacau.
5. Masukkan hirisan tauhu, biarkan seketika, kacau rata.
6. Masukkan kobis, biarkan seketika, kacau rata.
7. Masukkan sawi, biarkan seketika, kacau rata.
8. Masukkan tauge, biarkan seketika, kacau rata.
9. Pecahkan telur, besarkan api, biarkan seketika dan kacau rata.
10. Masukkan campuran bawang, cili dan kacang dan kacau rata.
11. Masukkan kicap pekat dan kacau lagi.
12. Masukkan kicap cair dan kacau lagi.
13. Masukkan perahan limau kasturi dan kacau lagi.
14. Masukkan mee kuning dan kacau sehingga semuanya bergaul rata.
15. Matikan api, angkat dan hidangkan panas-panas.

Perhatian/Tips
Jika anda mencuba resepi ini, anda kenalah bayangkan cara-cara/tingkahlaku mamak semasa menggoreng di restoran mamak, yakni cepat, sebab :-
i. hirisan bawang putih, bawang besar dan cili api tidaklah digoreng sehingga kuning atau garing, sekadar seketika saja.
ii. tauhu pun sama.
iii. sayuran juga sekadar digaul dengan hirisan-hirisan di atas agar bercampur rata, tidak layu/lembik, malahan rangup dan tidak mengeluarkan airnya.
iv. telur digoreng hingga masak dan garing dengan cepat sebab tu dibesarkan api.
v. campuran bawang, cili dan kacang digaul rata saja sebab ia telah dimasak terlebih dahulu.
vi. kicap cair, kicap pekat dan perahan limau dimasak sehingga agak kering, dengan cepat, oleh itu menggunakan api yang sesuai/lebih besar agar tidak berlebihan cairan yang akan menyebabkan mee goreng terlalu basah atau sayuran lembik/tidak rangup.

Nasi Goreng Mamak
Bahan-bahan dan cara-cara yang sama cuma gantikan mee kuning dengan nasi putih dan diterbalikkan aturan iaitu sayuran dimasukkan lebih kemudian yakni selepas semua bahan lain telah dimasukkan kecuali nasi sebab nasi goreng lebih kering berbanding mee goreng dan sayurannya lebih rangup. Untuk nasi goreng ni, saya nampak mamak tu taruk perencah serbuk daripada mee segera yang tak digunakan/lebihan untuk memasak mee segera yang diorder. Kalau anda tiada stok bahan ini ataupun tidak suka, abaikan, seperti saya.

Menarik/Teknik Mamak Membuat perahan Limau Kasturi
Sebab nak cepat agaknya, limau dibelah dua, diperah terus ke dalam senduk menggoreng tanpa membuang/mencungkil keluar bijinya terlebih dahulu. Lepas tu barulah biji-biji itu disaring samada dengan menuangkan terus perahan limau ke dalam kuali dengan perlahan/berhati-hati agar biji-biji tu tak 'go' sekali atau mengais biji-biji tu keluar daripada senduk dengan menggunakan apa-apa saja peralatan yang ada kat tepi/yang boleh dicapai dengan mudah eg. sudu, garfu atau pisau.

Modifikasi
Oleh kerana saya tak buat campuran bawang, cili dan kacang sebagaimana mamak sediakan, jadi saya telah menggantikannya dengan cili kering yang diblend bersendirian dan lebihan kuah satay/nasi himpit yang saya andaikan mempunyai campuran kacang dan bawang secukupnya dan dah dimasak dengan sempurna. Oleh itu juga saya ubah aturannya iaitu menumiskan cili blend selepas hirisan-hirisan bawang putih, bawang besar dan cili api telah dimasukkan agar cili blend tu masak dengan sempurna juga. Campuran bawang dan kacang (lebihan kuah satay/nasi himpit tu), saya letakkan di aturan asal iaitu sewaktu campuran bawang, cili dan kacang sepatutnya dimasukkan. Hasil peniruan daripada pemerhatian saya di restoran mamak tu dengan sedikit modifikasi agak memberangsangkan sebab suami saya kata sama macam kat restoran mamak!

Sunday, March 16, 2008

Panduan Melembutkan Hati

Ada juga kita terdengar keluhan ibubapa, anak-anak tidak mendengar kata dan macam-macam ..
Ada pula kita terdengar keluhan isteri, suami buat hal.. dan macam-macam..


Di bawah adalah beberapa panduan yang pernah saya perolehi/dengari untuk ikutan bersama :-


1. (Ayat 200 daripada Surah Al Imran)

Yaaaa Ayyuhalladziina aamanuszbiruu waszaabiruu waraabithuu wattaqullaha la'a'llakum tuflihuuuun.

Maksud ayat :

Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiapsiaga (di perbatasan Negerimu) dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beruntung.


Ayat terakhir daripada surah Al Imran ini hendaklah dibaca ketika memasak/menyediakan makanan dan dihembus ke dalam makanan tersebut bertujuan untuk melembutkan hati anak-anak, suami.. dsb. Doa ini diberi oleh kakak sulong saya beberapa tahun dahulu.


2. (Ayat 30-31 Surah AnNaml)

Innahuu min sulaimaana wainnahuu bismillaahirrahmaanirrahiiiim. Allaa ta'luu a'layya wa'tuunii muslimiiiin.

Maksud ayat :

Sesungguhnya surat itu, dari Sulaiman dan sesungguhnya (isi)nya : 'Dengan menyebut nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Bahawa janganlah kamu sekelian berlaku sombong terhadapku dan datanglah kepadaku sebagai orang-orang yang berserah diri".


Ayat ini dibaca dan dihembus ke muka atau ke arah orang yang dimaksudkan secara berdepan. Panduan ini diberi oleh kawan saya Kak SyajaraatulDur untuk mengatasi masalah anak-anak yang tidak mendengar kata, tidak hormat kepada ibubapa dsb dan boleh diamalkan terhadap suami. Hendaklah diingat, pesan Kak Syaja, sebelum diamalkan ayat ini kepada orang lain hendaklah diamalkan terhadap diri sendiri terlebih dahulu.


3. (Ayat 74 Surah Al Baqarah)

Tsumma qasat quluubukum min ba'di dzaalika fahia kaalhijaarati au asyaddu qaswah. Wa'inna minalhijaarati lamaa yatafajjaru minhul'anhaaaar. Wa'inna minha lamaa yasysyaqqaqu fayakhruju minhulmaaaa'. Wa'inna minha lamaa yahbithu min khasyyatillaaaah. Wamallaahu bighaafilin 'amma ta'maluuuun.

Maksud ayat :

Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu sungguh ada yang mengalir sungai-sungai daripadanya dan di antaranya sungguh ada yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya dan di antaranya sungguh ada yang meluncur jatuh, kerana takut kepada Allah. Dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang kamu kerjakan.


Ayat ini pula diperolehi daripada seorang ustaz yang mengajar di kelas tajwid di tempat saya. Ceritanya, ada seorang isteri mengadu suaminya tak balik-balik rumah, selepas ustaz bagi ayat ini dah balik dah. Caranya ialah dengan membaca ayat ini dan dihembus ke dalam minuman dan diberi minum orang yang dimaksudkan. Orang lain minum pun tak apa.

Ibu kawan saya yang berada dalam kelas tersebut mengajar ayat ini kepada anak perempuannya untuk diamalkan kepada cucu lelakinya yang tidak bertegur sapa dengan ibunya lantaran menegur perbuatannya yang suka keluar malam dan balik lewat dan berkawan dengan entah sapa-sapa. Kawan saya mengikut panduan ustaz tersebut iaitu dengan membaca ayat itu dan menghembus ke dalam minuman dan diberi minum anaknya itu. Di samping itu kawan saya juga mengikut panduan ibunya supaya membaca dan menghembuskan ayat ini sebelum anaknya bangun tidur, dihembus dari ubun-ubun ke belakang, jangan dari kepala ke bawah. Setelah diamalkan sedemikian, nampaklah ada perubahan, mula bertegur sapa..

Ulasan Saya :
Jika dilihat kepada maksud ayat yang pertama itu, seolah-olahnya ayat itu dimaksudkan kepada ibubapa agar bersabar dengan segala perlakuan anak-anak dan kepada isteri/suami agar bersabar dengan pasangan masing-masing dengan sabar yang sesabar-sabarnya. Waallahu a'lam.

Peringatan Daripada Saya :
Sesiapa yang ingin mengamalkan panduan ini hendaklah mengikhlaskan hati sebenar-benar kepada Allah swt. Janganlah berniat serong terhadap sesama manusia dan janganlah melakukan penganiaan terhadap sesama insan. Ingatlah bahawa Allah Maha Berkuasa terhadap segala perkara dan terhadap sesiapa sahaja. Dan ingatlah juga kehendak Allah mengatasi kehendak kita dan sudah semestinya ada hikmah di sebaliknya. Kepada Allah sahaja hendaknya kita berserah..6/7/2008



Mari kita perhatikan surah An Nasyrah,

Bismillaahirrahmaanirrahiiiim.

Alam nasyrah laka szadrak.
Wa wadha'naa a'nka wizrak. Alladzii anqadha dzahrak. Wa rafa'naa laka dzikrak. Fa inna ma'a'l u'sri yusraa. Inna ma'a'al u'sri yusraa.

Fa idza faraghta fanshab.

Wa ila rabbika farghab.


Maksudnya,
Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu?, dan Kami telah menghilangkan daripadamu bebanmu, yang memberatkan punggungmu? Dan Kami tinggalkan bagimu sebutan (nama) mu. Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain, dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap.

Semasa kecil saya melihat kakak saya Nun membacakan surah ini di kepala adik-adik saya semasa mereka sudah tidur lena di rumah lama pusaka keluarga kami. Kakak memberitahu saya, surah ini dibacakan dan ditiup ke kepala anak-anak yang sedang tidur agar hati/dadanya menjadi lembut/lapang, mudah menerima pelajaran dan mendengar kata, dan tidak degil. Apabila saya meningkat dewasa saya juga mendengar kawan-kawan membicarakan yang sama.

Saya bertanya kepada suami, katanya, surah ini dibaca agar Allah membuka dada anak-anak agar mudah mempelajari ilmu termasuk mendengar kata. Bukankah maksud An Nasyrah itu ialah Kami lapangkan..? 15/7/08

Kita sering bertanya-tanya,
bagaimana untuk melembutkan hati suami, bagaimana untuk melembutkan hati isteri, bagaimana untuk melembutkan hati anak-anak.. pernahkah pula kita bertanya bagaimana melembutkan hati sendiri..?

Eloklah direnung-renung ayat 74 daripada surah alBaqarah itu, takut nanti ibarat itu menyerupai diri kita. Eloklah juga diingat pesan Kak Syaja, amalkanlah dulu buat diri sendiri.

Banyak berzikir dan banyak membaca al Quran adalah ubat untuk ini.. Membaca ummul kitab itu adalah zikrullah yang terbesar.
Banyak bercakap, banyak bergelak ketawa, banyak makan dan banyak tidur adalah sebaliknya..23/7/08

Marilah kita ingat kembali tujuan asal kita,
mengapa kita inginkan agar hati kita dan hati orang-orang yang hampir dengan kita menjadi lembut? Jangan tersalah, jangan terpesong dari tujuan kita yang sepatutnya iaitu agar kelembutan hati itu akan membawa kita semua ke arah kebaikan dan bukan sebaliknya. Ke arah jalan Tuhan dan bukan sebaliknya. Mudah-mudahan Allah sentiasa berlembut terhadap kita. Dan menolong kita di dalam segala urusan kita..2/8/08