Thursday, August 28, 2008

Variety Masak Kicap

A/ Masak Kicap Bodo
Resepi ini adalah resepi masak kicap yang paling ringkas yang dimasak oleh keluarga saya, biasanya menggunakan ikan selar, selar kuning mahupun kembong. Kuah masak kicap ini agak banyak dan cair.

Bahan-bahan
2-3 ekor ikan selar
1/2 inci kunyit hidup
sedikit garam buku
secukup minyak masak untuk menggoreng
2-3 ulas bawang putih
1/2 - 1 inci halia
secukup air untuk kuah
sedikit air asam jawa
sedikit kicap
1-2 biji cili hidup, jika suka
1/4 - 1/2 labu bawang besar, jika suka

Cara-cara
1. Buang perut ikan, bersihkan dan kelar, ketepikan.
2. Kikis kulit kunyit, bersihkan dan tumbuk dengan garam buku.
3. Lumurkan ikan dengan garamkunyit, perapkan sebentar.
4. Kupas bawang putih, halia dan bawang besar, hiriskan.
5. Bersihkan cili hidup dan dibelah dua.
6. Panaskan kuali dengan api sederhana dan masukkan minyak masak secukupnya.
7. Goreng ikan yang diperap tadi sehingga garing atau separuh garing, ikut suka.
8. Angkat ikan dan ketepikan.
9. Keluarkan lebihan minyak sehingga tinggal sedikit sahaja, lebih kurang 1 sudu kecil/besar di dalam kuali.
10. Tumis bawang putih dan halia yang telah dihiris sehingga berbau wangi, tidak perlu terlampau garing.
11. Masukkan air secukupnya, air asam jawa dan kicap, biarkan mendidih.
12. Masukkan ikan yang telah digoreng tadi, belahan cili hidup dan hirisan bawang besar, biarkan sehingga layu.
13. Tutup api, angkat dan siap untuk dihidang.

B/ Masak Kicap Cerdik
Saya namakannya masak kicap cerdik untuk membezakan dengan resepi pertama di atas. Biasanya keluarga saya menggunakan ikan tenggiri, ikan selar kuning mahupun daging lembu untuk resepi ini. Ini juga jenis resepi yang banyak kuah dan tidak pekat. Berbeza dengan jenis masak kicap lain, resepi ini tidak menggunakan minyak masak untuk menggoreng terlebih dahulu atau pun menumis bahan.

Bahan-bahan
2 keping ikan tenggiri
1/2 inci kunyit hidup
1/2 inci halia
2-3 ulas bawang putih
4-5 ulas bawang merah
2-3 biji cili kering
secukup air untuk kuah
sedikit garam
sedikit air asam jawa
sedikit kicap
1-2 biji cili hidup, jika suka
1/2 labu bawang besar, jika suka

Cara-cara
1. Bersihkan kepingan ikan tenggiri, ketepikan.
2. Kikis kulit kunyit dan halia, kupas bawang putih dan merah, potong cili kering, bersihkan dan blend kesemua bahan ini.
3. Bersihkan cili hidup dan dibelah dua, kupas bawang besar dan dihiris bulat atau separuh bulat.
4. Masukkan bahan blend ke dalam periuk, tambahkan air secukupnya bersama sedikit garam, air asam jawa dan kicap, didihkan di atas api sederhana.
5. Masukkan ikan dan biarkan sehingga masak.
6. Masukkan belahan cili hidup dan hirisan bawang besar yang dibiarkan sehingga layu sebelum diangkat.
7. Siap untuk dihidang.

C/ Masak Kicap Mak Wan
Mak Wan menunjukkan saya cara-cara memasak masakan ini, di samping resepi lain semasa suami saya membawa saya berziarah ke rumahnya masa mula-mula kahwin dulu. Mak Wan memang pakar masak dan sekarang ini bersama suami dan anak perempuannya menguruskan perniagaan restoran. Bahan-bahan dan cara-cara untuk resepi ini lebih kurang sama dengan resepi yang pertama di atas cuma Mak Wan menumbuk bawang putih dan halia serta menggunakan hirisan daun sup dan daun bawang sebagai hiasan menggantikan hirisan cili hidup dan bawang besar. Kuah untuk resepi ini juga tidak sebanyak dan secair resepi yang pertama dan kedua.

Bahan-bahan
4-5 ketul ayam
sedikit garam
sedikit serbuk kunyit
secukup minyak masak
3-4 ulas bawang putih
3/4 inci halia
sedikit air
sedikit air asam jawa
sedikit kicap
sedikit hirisan daun sup
sedikit hirisan daun bawang

Cara-cara
1. Bersihkan ketulan ayam dan diperap dengan garam kunyit, ketepikan.
2. Kupas bawang putih dan halia dan ditumbuk halus.
3. Panaskan kuali dan masukkan minyak masak secukupnya, di atas api sederhana.
4. Goreng ketulan ayam sehingga masak atau separuh masak, ikut suka.
5. Angkat dan ketepikan.
6. Keluarkan lebihan minyak dan tinggalkan sedikit, dalam 1 - 2 sudu besar, untuk menumis.
7. Tumis bawang putih dan halia yang telah ditumbuk sehingga berbau wangi.
8. Masukkan sedikit air, air asam jawa dan kicap, didihkan.
9. Masukkan ketulan ayam yang telah digoreng, biarkan sebentar.
10. Angkat dan hidangkan dengan taburan hirisan daun sup dan daun bawang.

D/ Masak Kicap Rencah Rasa
Resepi ini pula saya ambil dan ubahsuai mengikut cara saya daripada sebuah majalah masakan yang dibeli bersama suami semasa mula-mula kahwin dulu. Kuahnya tidak banyak dan kepekatannya sederhana, lebih kurang kepekatan kuah di resepi C/ di atas juga.

Bahan-bahan
1/2 kilo sotong
sedikit garam
sedikit serbuk kunyit
sedikit minyak masak
4-5 ulas bawang putih
1 inci halia
sedikit air
sedikit cuka
sedikit kicap
1-2 biji cili hidup
1 labu bawang besar

Cara-cara
1. Tanggalkan kepala sotong, buang mata, perut dan dakwatnya, bersihkan.
2. Gunting badan sotong agar ia terbelah membentuk kepingan bentuk segitiga layang-layang.
3. Kelarkan kepingan sotong secara menyilang luar dan dalam.
4. Perapkan dengan garam dan kunyit, ketepikan.
5. Kupas bawang putih dan dititik manakala halia dikikis kulitnya dan dihiris, ketepikan.
6. Bersihkan cili hidup dan dibelah dua.
7. Kupas bawang besar dan dihiris bulat atau separuh bulat, ikut suka.
8. Panaskan minyak masak di dalam kuali di atas api sederhana.
9. Goreng sotong sehingga masak atau separuh masak, angkat dan ketepikan.
10. Keluarkan lebihan minyak dari kuali dan tinggalkan lebih kurang 1-2 sudu besar untuk menumis.
11. Tumiskan bawang putih dan halia sehingga berbau wangi.
12. Masukkan sedikit air, cuka dan kicap, biarkan mendidih.
13. Masukkan sotong dan gaul rata.
14. Masukkan belahan cili hidup dan hirisan bawang besar, gaul rata, jangan dibiarkan layu.
15. Angkat dan hidangkan.


E/ Masak Kicap Daging Goreng Saya
Sebenarnya resepi ini terjadi secara kebetulan saja semasa saya sedang menggoreng daging untuk hidangan keluarga, anak sulong kami mengesyorkan saya memasukkan kicap dan air asam jawa.

Bahan-bahan
300 g daging
sedikit garam halus atau buku
1/2 inci kunyit hidup
1/2 inci halia
sedikit minyak masak
sedikit air asam jawa
sedikit kicap
belahan cili hidup atau hirisan cili kering
hirisan bawang besar dan/atau hirisan bawang putih

Cara-cara
1. Hiris daging kepada kepingan-kepingan nipis, bersihkan dan tos.
2. Kikis kulit kunyit dan halia, bersihkan dan tumbuk halus bersama sedikit garam.
3. Perap daging dengan garam, kunyit dan halia yang telah ditumbuk tadi, ketepikan seketika.
4. Masukkan daging ke dalam kuali dan jerangkan di atas api sederhana sehingga kering airnya.
5. Masukkan sedikit minyak masak dan kacau-kacau daging di dalam kuali sehingga separuh garing.
6. Masukkan sedikit air asam jawa dan kicap, kacau rata.
7. Masukkan belahan cili hidup atau hirisan cili kering berserta hirisan bawang besar dan/atau hirisan bawang putih, kacau rata dan dibiarkan rangup.
8. Angkat dan siap untuk dihidangkan.

F/ Masak Kicap Kering
Resepi ini pula terjadi secara tak sengaja juga kerana saya terlalai dan kuah masak kicap saya menjadi kering. Bahan-bahan dan cara-caranya lebih kurang sama juga dengan resepi-resepi di atas, cuma selepas saya menumis bahan tumbuk iaitu bawang putih dan halia, memasukkan sedikit air, air asam jawa dan kicap serta memasukkan ikan kembung goreng, saya terghalit sekejap dan kuah kicap saya menjadi kering meninggalkan ikan goreng tersalut bahan-bahan lain tetapi disebabkan nak cepat saya teruskan juga dengan memasukkan hirisan bawang besar dan cili yang dibiarkan rangup dan menghidangkannya sehingga suami saya bertanya, ini masak apa?, tetapi saya tahu dia suka akan hasilnya. Saya hanya tersenyum menerangkan insiden yang terjadi.

G/ Masak Kicap Kombinasi 1 - Ala Masak Paprik
Idea ini saya perolehi apabila saya teringatkan anak saudara saya Kak Long, yang masih di bangku sekolah pada masa itu, datang bercuti di rumah saya bersama dua adik perempuannya, Raihan dan Nani. Apabila saya hidangkan ikan kembung masak kicap dan menanyakan Kak Long bagaimana mamanya memasak masakan ini, Kak Long kata, Ma masak guna ikan kembong besar dan masuk sos tomato, walau bagaimanapun, Kak Long tidak tahu secara terperinci bagaimana mamanya memasaknya. Kemudiannya, saya terfikir untuk menggabungkan masak kicap dan goreng sambal dengan sedikit pengubahasuaian yang menghasilkan ala-ala masak paprik pula. Kali ini saya menggunakan telur, menggunakan ikan pun sedap juga.

Bahan-bahan
2-3 biji telur ayam
sedikit minyak masak
2-3 ulas bawang putih
1 sudu besar cili giling
sedikit kicap
sedikit sos tomato
1-2 biji cili hidup
1/2 labu bawang besar

Cara-cara
1. Basuh kulit telur di bawah air paip sehingga bersih.
2. Panaskan kuali dan masukkan sedikit minyak.
3. Pecahkan telur dan goreng mata kerbau, ketepikan.
4. Kupas bawang putih dan tumbuk pecah dua tiga.
5. Bersihkan cili hidup, belah dua atau empat atau hiris.
6. Kupas bawang besar dan hiris nipis, bulat atau separuh bulat.
7. Tumiskan bawang putih di dalam sedikit minyak sederhana panas.
8. Masukkan cili giling dan kacau sehingga masak.
9. Tambahkan sedikit kicap dan sos tomato, gaul rata.
10. Masukkan telur goreng mata kerbau tadi bersama belahan cili hidup dan hirisan bawang besar, kacau rata.
11. Angkat dan sedia untuk dihidang.

Untuk lebih real lagi, kalau suka, masukkan potongan kacang panjang, kobis bunga, buah tomato, cili api dll sayuran yang sesuai semasa tatacara no. 10. Kalau guna potongan kecil daging ayam dan daging lembu pun sedap, begitu juga potongan cincin sotong dan udang, baru betul-betul jadi ala masak paprik.

H/ Masak Kicap Kombinasi 2 - Ala Masak Lada Hitam
Idea ini pula saya perolehi apabila dah tak tahu nak masak apa untuk anak sulong kami yang sedang dalam pantang semasa melahirkan anak pertama. Jadi saya buat kombinasi masak kicap dan masak lada hitam, dengan menambahkan sedikit serbuk lada hitam ke dalam resepi E/ di atas semasa memasukkan air asam jawa dan kicap di tatacara no. 6. Kalau tak nak guna minyak masak pun boleh, dan boleh skip juga perahan air asam jawa. Boleh pula ganti serbuk lada hitam dengan serbuk lada putih, ikut kesukaan.

I/ Masak Kicap Kombinasi 3 - Gabungan dengan Masak Sambal Goreng
Idea ini pula saya perolehi apabila memikirkan anak-anak kami suka makan nasi dengan kicap walau apa pun lauk yang dimakan bersama hinggakan makan nasi lemak pun ditaruk kicap apatah lagi kalau makan nasi berlaukkan masak sambal goreng. Jadi untuk memudahkan, saya gabung terus masak sambal goreng dengan masak kicap, caranya dengan menambahkan kicap ke dalam sambal goreng yang sedang dimasak, ataupun sekiranya ada lebihan sambal goreng di rumah lagi mudah bagi saya untuk memasukkannya ke dalam ikan, ayam maupun telur goreng bersama sedikit kicap dan dihias dengan hirisan bawang besar dan cili hidup, mahupun cili benggala, yang dikacau sebentar di atas api.

J/ Ikan Bilis dan Kobis Goreng Berkicap
Resepi ini selalu saya masak apabila saya keseorangan, kelaparan dan malas nak masak. Saya menggunakan kesemua atau sebahagian daripada bahan-bahan di bawah sesuka hati saya.

Bahan-bahan
1 genggam ikan bilis
1-2 ulas bawang putih
1/4 - 1/2 labu bawang besar
1 biji cili hidup/kering
1 genggam potongan kobis
1/2 senduk kicap
1/2 senduk minyak masak

Cara-cara
1. Bersihkan ikan bilis dan toskan.
2. Kupas bawang putih dan besar, hiriskan.
3. Bersihkan cili dan potong ikut suka.
4. Panaskan minyak dan goreng ikan bilis hingga separuh garing.
5. Masukkan bawang putih dan besar dan juga potongan cili, kacau sebentar.
6. Masukkan kobis dan kacau sebentar.
7. Masukkan kicap dan kacau rata, semua dibiarkan rangup.
8. Angkat dan sedia untuk dimakan dengan nasi putih.

Rumusan saya
Pada saya, masak kicap adalah jenis masakan yang mudah dan digemari ramai juga, terutamanya anak-anak. Walau bagaimanapun cara orang memasaknya, pada asasnya bahan-bahan dan cara-caranya adalah sama, cuma ada sedikit sebanyak pengubahsuaian dari segi;
1. Digoreng garing atau separuh garing, ikan, ayam, daging dan sotongnya.
2. Dihiris atau ditumbuk, bawang putih dan halianya.
3. Sedikit atau agak banyak, jumlah minyak yang digunakan untuk menumis bahan asasnya.
4. Sedikit atau agak banyak, jumlah kuahnya.
5. Cair atau agak pekat, kepekatan kuahnya.
6. Tidak ditambah atau ditambah gula untuk rasa yang lebih manis, tertakluk juga kepada jenis kicap yang digunakan.
7. Tidak divariasikan atau divariasikan dengan menambah cili kisar, sos tomato atau serbuk lada hitam/putih, mengikut kesukaan, untuk kelainannya.
8. Layu atau rangup, hirisan bawang besar dan cilinya.
9. Dimasukkan ke dalam masakan sebelum diangkat dari api atau ditabur ke atas masakan semasa menghidang, bahan opsyenal atau hiasannya.
10. Tidak dimasukkan atau dimasukkan bahan opsyenal atau hiasannya.
11. Bahan hiasan atau opsyenalnya terdiri daripada samada ;
a. belahan/hirisan cili besar, merah atau hijau dan hirisan bawang besar, bulat/separuh bulat
b. atau hirisan daun sup dan daun bawang
c. ataupun hirisan cili kering, halia dan bawang putih
d. atau juga belahan/hirisan cili benggala dan/atau buah tomato
e. atau lain-lain lagi

Selalunya ikan, ayam, daging, sotong dan telur boleh dimasak menggunakan kesemua bahan-bahan dan cara-cara di atas. Cuma saya tak pernah jumpa orang masak kicap udang, ketam atau kerang..

Monday, August 25, 2008

My First Time, Tag By Aida

Sebenarnya masa mula-mula tengok tajuk ni masa baca Aini jawab soalan tag ini, terasa seram juga sebab teringat kat tajuk-tajuk yang pernah terbaca di laman web sebelum ini..

1. My first time naik kapa terebe
Rasanya June 1985, dari Penang nak balik Kelate, gi semester tambahan end of 1st year, nak balik kampung tapi tiket bas dah habih ..ni rasanya semester tambahan pertama dalam sejarah u tu..ingat lagi nampak air laut selat apa ke namanya berbalam-balam..yang biru kelihatan hijau..sambil2 dok rasa diri diangkat naik ke udara..setelah berada dalam perut kapal terbang yang bergerak perlahan-lahan di landasan.. dan kemudian memecut mendongak..teringat lagi betapa gahnya pilot diiringi oleh beberapa pramugari.. menyeret beg siap berkot dan seragam pakaiannya di Bayan Lepas Airport itu sebelum berlepas..

Ataupun May 1985, dari KB nak ke Penang, nak gi semester tambahan tu juga..takdak tiket bah..ingat lagi nampak rumah-rumah dan jalan-jalan di sekitar Pengkalan Chepa Airport serta Jambatan Sultan Yahya dan Sungai Kelantan yang semakin mengecil dan mengecil dan kemudiannya langsung tak kelihatan..yang kelihatan hanyalah kehijauan jauh nun di bawah sana..dan dikelilingi oleh kebiruan ..dan keputihan kepulan awan di atas sini..hebatnya..Illahi.

Kali kedua dalam tahun 1986, di sekitar May atau June juga, nak balik kampung dari Practical Teaching I di Sek. Men Syed Hassan, Kangar, Perlis, dekat raya, tiket bas takde, so naik kapa terebe dari Kepala Batas Airport ke Kota Bharu..sapa-sapa di KB Airport hujan sedang turun renyai-renyai..pramugara bersedia dengan payung di kepala tangga..den terus meluru turun tangga..tinggallah si pramugara dengan payungnya.. di atas tangga..perak betoi..tak besa naik kapa terebe..perak tu orang utara cakap..maksudnya darat kalu di pantai timur..

Kali ketiga di sekitar Nov - Dec 1991, KTR-KUL-KTR, one day training di ibu pejabat di Petaling Jaya..ini pun masa turun di Lapangan Terbang Sultan Mahmud tu hujan juga dan petang yang gelap tak bermatahari..tp rasanya takdelah sesapa tunggu nak payungkan..terus ambil teksi..chow..balik ke rumah sewa..very lonely..(Cz sedang bercuti sekolah di kampung).

Kali keempat di sekitar August 1992, PG-KTR, naik kapa terebe kecik yang boleh muat hanya 12 penumpang saje..satu single seat sebaris..satu pilot tanpa pramugara/i, terbang pun taklah terlalu tinggi, Pelangi Air kot..ni pun terdesak sebab nak balik kerja esoknya, singgah di Pulau Pinang dari Taiping, Perak selepas bawa mok dan maksu melawat ayahsu rasanya..mok dan maksu balik terus naik bas ke Kelate dari Taiping ..dulu saya menjadi pemandu pelancung keluarga untuk trip2 ke utara ni..sekarang boleh pass kat my anak sedara yang terdok kat Kuala Perlis la pulak kot..since saya dengan rasminya dah babai Pulau Mutiara dengan linangan air mata.. dalam deruan bas malam di akhir October 1990..masa berlalu..

Kali kelima di sekitar August juga, 1996, KBR-KUL, dengan hubby, balik dari majlis perkahwinan Cz, berdesing dan sakit telinga yang tak tertahan..entah kenapa kali ni telinga tak tahan betul dengan tekanan udara tu..rasa serik dah nak naik kapa terebe..hidup ini penuh cabare..

Kali keenam di sekitar Oct 1998, KUL-KBR, balik rumah mok kerana ayah ngah meninggal bersama MDSIL and kids, MDEB dah ada kat kampung semasa ayah ngah sedang nazak..di Subang Airport jumpa Su Pak Su Tar, dia pun nak balik lawat jenazah ayah ngah..kami semua naik folker.. di lapangan terbang KB, Ayah Man, ex-Cz siap menunggu..sementara Su dijemput oleh abangnya Pandi..saba Ze..Inna lillah!

Pahtu..10 tahun dah tak naik kapa terebe ni..naik pulok nok gi aji gamok..InsyaAllah!

2. My first time beranak
Friday, Nov 02, 2001, 3.++ pm WA Alim, 3.89 kg..Syukran ya Allah!

3. My first time gi oversea
Oversea ni seberang laut kan? Kalau ya, dalam tahun 1983 rasanya, gi Pulau Pinang, lawatan balas ke Matrikulasi II di kampus induk, yang datang melawat kami sebelum itu di Sek. Men Tun Syed Syeikh Shahabuddin..first time dapat rasa naik ferry..dengan bas-bas sekali..besarnya ferry Pulau Pinang..dapat muat deretan bas, lori, kereta, motosikal di tingkat bawah...semua pakat turun bas pi dok di kepala, ekor atau sisi ferry nak tengok deburan ombak dilanda dan merasa tamparan angin yang kuat di muka..pi kerabat naik tangga pulak nak pi tengok tingkat atas nu..tak kiralah angin punya kuat dok menyelak kain biru sekolah tu..manakala tingkat atas dipenuhi penumpang di bangku-bangku panjang yang disusunletak dalam tiga lajuran..masa ni Jambatan Pulau Pinang masih belum dibina..setelah dibina kami jugalah antara orang yang paling awal menggunakan jambatan ini kerana ia dibina semasa kami sedang menuntut di pulau ini..ddegok turun di pintu utama u..masa ni jugalah berpeluang melawat Akuarium Tunku Abdul Rahman atau Tun Abdul Razak, maaf lupa, sebab dah terlalu lama, di Gelugor, Penang dan Botanical Garden..Subhanallah!

Kalau maksud oversea tu luar negara, lebih awal lagilah, 1976 atau sebelumnya, semasa masih di sekolah rendah, ikut mok gi Ggolok..beli baju raya..naik perahu, tambang 30 sen sorang..time gi perahu tu dikayuh terus ke pengkalan di sebelah sana..dalam garisan memenjuru..time balik kena buat lencongan U kerana melawan arus untuk balik ke pengkalan di sebelah sini..lepas tu dah masuk sekolah menengah rendah gateh basika je gi ssana..uu..bestnye..kayuh basika di jalan besar yang bermula di Jambatan Rantau Panjang - Sungei Golok tu..memang rasa dah betol2 pegi oversea..merayap kat taman bunga kat sana..dengan geng kita yang terdiri daripada kawan-kawan dari RP dan Sg. Golok..Lailaha illallah!

4. My first time duduk jauh dari family
Jan 1980, masuk tingkatan 4 aliran sains di Sek. Men. Lemal..duduk di Huda Hostel, asrama milik seorang YB..tapi jarak dari rumak mok hanyalah +-15km..dan balik setiap hujung minggu..dengan bas biru..ikut jalan lama ..masa ni highway tu belum siap dibina..masa tingkatan 5/1981 baru lah highway tu boleh diguna..so kita jadi perasmi juga le..

June 1982, masuk matrikulasi I di Sekolah Menengah Sains Pulau Pinang di Bukit Mertajam, yang bertukar ke nama Sek. Men. Tun Syed Syeikh Shahabudin, kami jadi perasmi nama baru ni juga.. yang lebih jauh ..dapat balik setiap hujung semester..dan kamilah antara pengguna awal Lebuh Raya Timur Barat yang masih belum dibuka dengan resmi tetapi kami dah lalu dengan mendapat special permit..naik bas chartered..kepunyaan bapa salah seorang pelajar matrik berpangkat Datu'..MasyaAllah!

5. My first time keroje
Julai - Nov 1989, tolong jaga anak senior di Batu Uban, rasanya dibayar sekitar RM50 per month, try mengajar di tadika Islam di Sg. Nibong dan try2 juga jadi pembantu klinik di Glugor..tengah gelong tak tau nak buat apa masa ni..AllahuAkbar!

Jan - Oct 1990, jadi pembantu klinik di sebuah klinik milik seorang doktor yang juga ustaz di Gelugor, Pulau Pinang. Ada juga yang perasan, klinik ini mengambil pelajar u bekerja..sebab ada juga junior yang bekerja sebagai pekerja gantian di sini..dan lepasan University of Reno, Nevada..Bayaran di sekitar RM190-210 per month, sehingga MDBIL terkejut bxxxx semasa melihat borang permohonan jawatan yang diisi untuk post di Kuala Terengganu, tapi itulah realiti pendapatan bulanan seorang pembantu klinik pada masa itu, di situ..walau bagaimanapun saya bagi ibu RM100 daripada my first salary..La haulawala quwwata illabillah!

Feb 1991, as a general clerk at a branch office of a distributor company in Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman. Tenggelam dalam boxes of stocks and bergelumang dengan lapisan bawahan terdiri daripada pemandu lori dan pengangkut barang serta salesmans, local sales retailers/dealers and head office's workers which are mostly non-Malays and without high academic qualification kebalikan daripada suasana sebelum ini yang dikelilingi oleh buku-buku dan golongan terpelajar terdiri daripada pensyarah dan mahasiswa..wa caya sama lu..dan grung greng grung greng ccakap Gganu kite..sapa den dapat 'kepujian' yang dianugerahkan oleh peniaga-peniaga China yang sering berurusan dari segi cepatnya den menguasai loghat tempatan, lebih kurang 3 bulan, yang menjadi kerisauan utama saya sebelum datang ke sini dan cekap juga mengendali permintaan pelanggan serta dokumentasi. Starting salary at RM400 per month, walaupun kecik, apatah lagi ditolak ngok-ngek ngok-ngek, dapat juga bagi ibu RM50 per month. Yearly increament RM40 tapi pada 1992 dapat RM509 instead of RM440 kerana ada salary revision which is fight by the union, nasib saya baik kata Yap, our salesman kerana baru masuk kerja dah dapat revise gaji, actually, all staff got it, based on percentage to their basic salary. 1993 saya dapat RM549 dan 1994 RM589 sehingga gaji naik kepada RM800 atau RM850 pada Jul/Aug 1994, hasil menyahut cabaran boss untuk claim extra increament, juga kerana dapat promotion to the position as a branch assistant selari dengan perkembangan cawangan, so dapatlah bagi ibu RM100 dan abah RM50.00 per month, tak pernah miss, dan dapatlah membayar tution fees for the Diploma in Business and Management course, kelas hujung minggu, Julai 1994 - Dec 1995, 18 months course split to two long semester, 9 months each, yang ditanggung sendiri. 1995, sekali lagi gaji direvise dan saya dapat RM900 lebih, dan saya sedang berkira-kira untuk memberi RM100 buat ibu dan RM100 buat abah setiap bulan tetapi..Allahu a'lam!

Lepas tu saya dah tak keroje..gaji masa berhenti kalau tak silap RM1089 untuk Jan 1996, boleh refer slip gaji terakhir, yang masih saya simpan hingga ke hari ini..buat kenangan..buat bukti..

6. My first time rasa gemuk
Masa form 3/1979 tu mula montel tetapi tak ingatlah dah rasa gemuk ke tak masa tu..tapi yang pasti dah rasa.. perut buncit.. dari form 1-2 lagi sebab kalu berjalan turun banggol depan rumah mok tu nampak perut dok depan je..so dari masa tu lagi dah belaja tahan nafas masa berjalan..supaya perut nampak kempis..

Agaknya betul2 rasa gemuk masa form 5/1981..dan selepas selepasnya..

7. My first time bercinta
Cinta-cinta monyetku sudah bermula seawal form 1/1977..sampai kat budak pikul beras seludup atas keretapi pun aku boleh jatuh cinta..masa tu pi sekolah naik keretapi weh..dan kawan allahyarham abang kat kampung dan class mate aku masa form 2/1978..

8. My first time rasa diri cantik
Selalunya rasa diriku tak cantik ttp kali pertama rasa cantik rasanya pada malam pertama perkahwinanku 22 Feb 1996 ataupun masa-masa mula-mula lepas kahwin tu..very sweet..

9. My first time masuk cinema
Ini rekod jugaklah sbb tak pernah masuk cinema yang betul-betul cinema..tp kalu cinema yang dilingkungi dengan kain/kanvas/guni tu rasanya masa darjah 6/1976 kat dalam kawasan sekolah rendah kat kampung tengok cerita Keluarga Si Comat lakonan Ibrahim Pendek dll..

Kalau wayang gamba public lesen, sekali-sekala ada kat kampung masa dulu2 tu, ada sekali tengok wayang gamba Kementerian Penerangan ni atas landasan keretapi, ikut allahyarham abang, cerita apa dah lupa..pun dalam tahun 1976 juga kot..masa ni keluarga kita dah tinggal di GS..

Dan wayang gamba dalam lingkungan tu sekali lagi dalam tahun 1977 tengok cerita Permintaan Terakhir lakunan Uji Rashid, Toni Abdullah dan Yusof Haslam..di padang/sawah terbiar di..lupa org panggil apa nama tempat tu secara specificnya..tapi antara Surau dan tapak rumah Allahyarhamahah Kak Som sekarang..hm..begitulah..

10. My first time admitted in hospital
Thursday, 1st Nov, 2001, HUKM, kerana kedapatan tanda-tanda untuk melahirkan anak pertama..Alhamdulillah!

31 Jan 1996, admitted kat wad sebuah klinik swasta di Kuala Terengganu kerana menjalani satu minor surgery..

Saya nak tag dia orang ni, walaupun Ida tak nak tag, tengoklah apa dia orang nak jawab..
1. MEB, Abe Mad
2. MYB, Adik Mad
3. MDN, Lumy
4. MDN, Aby
5. OES, Muiz

kalau dia orang nak jawablah..!

Saturday, August 16, 2008

Gula Kunyit Kkuah dan Gula Maseng Pedah

Bahan-bahan
2-3 ekor ikan kembong saiz sederhana
1 biji timun atau terung (opsyenal)
2-3 biji cili hidup, merah atau hijau (opsyenal)
3/4 inci kunyit hidup (atau sedikit kunyit serbuk)
1/2 inci lengkuas
3-4 biji cili kering
4-5 ulas bawang merah
2-3 ulas bawang putih (opsyenal)
1 keping asam gelugor
1/2 biji kelapa parut atau secukupnya
Garam secukup rasa

Cara-cara
1. Bersihkan ikan dan potong 2 atau 3, mengikut kesukaan.
2. Timun atau terung dibelah dua dan dipotong merencong.
3. Cili hidup dibelah dua atau dibiarkan saja sebiji-sebiji, bersihkan.
4. Bersihkan kunyit dan lengkuas, hiriskan.
5. Cili kering dipotong dan dibuang biji, bersihkan.
6. Bawang merah dan putih dikupas dan dibersihkan.
7. Blend kunyit, lengkuas, cili kering, bawang merah dan putih sehingga halus.
8. Perah kelapa dan ambil santan sederhana pekat, secukupnya, untuk kuah.
9. Masukkan kesemua bahan yang diblend ke dalam periuk bersama asam keping dan garam.
10. Jerang hingga menggelegak.
11. Masukkan ikan dan sayur-sayuran serta cili hidup.
11. Bila semuanya sudah masak, padamkan api.
12. Sedia untuk dihidang.

Gulai kunyit lengkuas ini adalah resepi yang biasa dimasak di rumah ibubapa saya dulu-dulu sebagai lauk untuk dimakan dengan nasi putih sebagai hidangan tengahari atau malam. Gulai ini juga digunakan dalam nasi belauk yang dimakan sebagai sarapan pagi bersama sedikit sambal dan ulam timun.

Kami biasa menggunakan ikan kembung, ikan tenggiri samada kepingan badan atau kepala, dan ikan aya untuk gulai ini, tetapi jika menggunakan ikan tongkol rasanya lebih baik direbus ikan itu terlebih dahulu sebelum digulai. Ikan kembung pun boleh direbus dahulu, jika suka.

Selain menggunakan ikan basah dan ikan rebus, ikan kering, udang dan telur juga boleh dimasak menggunakan resepi ini, manakala yang terbaru saya ketahui, boleh juga menggulai telur masin.

Sayur-sayuran yang biasanya dimasak bersama gulai ini selain timun dan terung ialah kacang panjang yang dipotong sepanjang 1 - 1 1/2 inci. Cili hidup, selalunya hijau tetapi boleh juga yang merah juga dimasukkan sebagai hiasan dan juga untuk menambah rasa.

Keluarga saya selalu memasak gulai ini dengan kepekatan kuah yang sederhana saja manakala sesetengah orang yang lain memasak dengan menggunakan santan yang lebih pekat. Bagi yang dinasihatkan oleh doktor untuk mengurangkan pengambilan makanan berlemak pula memilih kepekatan kuah yang lebih cair.

Jika anda tidak suka masakan bersantan ataupun anda dinasihatkan oleh doktor untuk mengurangkan pengambilan makanan berlemak, selain menggunakan santan yang lebih cair, anda juga boleh mencuba resepi di bawah.

Gulai Masin Pedas
Bahan-bahan
Sama seperti di atas, tetapi menggunakan 1-2 cawan air menggantikan santan dan ditambah 1/2 sudu teh beras, untuk memekatkan kuahnya.
Sayur-sayuran dan cili hidup tidak digunakan.

Cara-cara
1. Rendam beras di dalam sedikit air untuk melembutkannya.
2. Setelah lembut ditumbuk halus.
3. Bahan-bahan lain diperlakukan sama seperti cara-cara gulai kunyit lengkuas di atas.
4. Masukan kesemua bahan ke dalam periuk bersama air secukupnya.
5. Jerang di atas api sederhana sehingga mendidih.
6. Masukkan ikan dan dibiarkan sehingga masak, tutup api.
7. Sedia untuk dihidang.

Untuk gulai masin pedas ini pula, masih boleh menggunakan ikan kembung tetapi saya suka juga menggunakan ikan gelama dan ikan kerisi cuma ikan-ikan ini lebih lembut dan mudah hancur yang menyebabkan tulang-tulangnya berselirat di dalam kuah.

Manakala di zaman moden yang serba mudah ini, anda tidak perlu lagi menggunakan cara-cara traditional seperti merendam dan menumbuk beras, tetapi terus mengambil tepung beras siap untuk memekatkan kuah gulai masin pedas ini.

Nostalgia
Teringat dulu kali pertama, dan terakhir juga barangkali, ke rumah Rahmat, juruteknik di tempat saya bekerja di Kuala Terengganu. Pada waktu itu, mungkin di sekitar tahun 1993, Rahmat tinggal di rumah nelayan lama pemberian ayahnya di tepi pantai di Seberang Takir. Kami dihidangkan nasi putih dan gulai ikan, sebenarnya campuran dua tiga jenis ikan yang ditangkap oleh bapa Rahmat di laut dan dimasak oleh isterinya Zainab yang berasal dari Kuala Lumpur. Antara ikan yang dimasak oleh Zainab pada hari itu adalah ikan gelama yang membuatkan saya sampai sekarang kalau terjumpa ikan gelama masih teringatkan masakan gulai kunyit lengkuas isteri Rahmat itu. Sedapnya gulai ikan Zainab dan manisnya ikan segar dari laut yang ditangkap oleh bapa Rahmat. Terima kasih Mat di atas layanan yang sangat baik dari Mat sekeluarga...

Thursday, August 7, 2008

Dari Mana Kita Datang?

Jika ditanya, anda datang dari mana? Anda mungkin menjawab, saya datang dari Putera Jaya, ataupun saya datang dari Petaling Jaya. Ataupun dari Kuala Perlis ataupun dari Cambridge. Ataupun dari Gombak ataupun dari Ampang ataupun dari Teluk Kemang. Dari mana-mana sahaja tempat tinggal anda.

Jika ditanya pula dari mana anda berasal? Anda mungkin menjawab, saya berasal dari Kelantan ataupun saya berasal dari negeri Selangor, ataupun dari Bagan Serai, Perak. Dari mana-mana daerah atau negeri anda berasal.

Jika ditanya kepada anak kecil dari mana dia datang, dia mungkin terpinga-pinga, tidak mengerti apa yang ditanya kepadanya.

Jika saya tanya kepada cucu kami yang baru lahir 25 hari lalu, dari mana awak datang? Tentulah bayi kecil itu tidak tahu apa-apa.
Jika saya tanya pula kepada kakak-kakaknya yang berumur 2 1/2 dan 3 1/2 tahun dari mana adik baru datang? Dia mungkin juga tidak dapat menjawabnya ataupun mungkin menjawab umi atau menunjuk ke perut ibunya yang sebelum ini diketahuinya buncit mengandungi baby tetapi orang-orang dewasa yang berada bersama-samanya sudah tentu tersenyum-senyum mendengar soalan atau jawapan ini.Jika saya tanya kepada pelajar-pelajar yang mempelajari subjek biologi tingkatan empat atau lima, rasanya mereka boleh menjawab, percantuman benih ibu dan bapa membentuk fetus atau janin di dalam rahim seorang wanita. Sperma berenang menuju ke ovum, sel bercantum dan membahagi, proses miosis dan mitosis, semuanya saya pun sudah lupa, tetapi tahulah agak-agak penerangan secara saintifiknya.

Namun saya rasa, bagi wanita-wanita mahupun lelaki yang telah berkahwin bertahun-tahun lamanya tetapi sukar mengandung pastinya sudah banyak kali berfikir akan keterangan saintifik ini. Sperma sudah berenang ke ovumkah? Sperma sudah berjaya sampai ke ovumkah? Sperma sudah bercantum dengan ovumkah? Mungkinkah benih yang sudah bercantum itu sudah gugur sebelum tiba ke pusingan haid yang seterusnyakah?

Ataupun jika dia sudah mula mengandung, dia mungkin tertanya-tanya, bagaimana semua itu boleh terjadi? Sedangkan sudah sekian lama dia menunggu dan menunggu. Mungkin juga berusaha dan berusaha. Dia mungkin berfikir penerangan saintifik bukanlah jawapan kepada segala-galanya?

Dia pun mula merasa-rasa dari saat benih mula bertitik dalam dirinya. Adakah benih itu di dalam diriku? Berjayakah ia melalui setiap tahap, beralih dari satu fasa ke satu fasa, sebelum roh ditiupkan, sebelum ia cukup sifat, sebelum ia dilahirkan ke mukabumi?

Dia merasa-rasa, apabila ia mula bergerak perlahan dan kemudiannya menendang-nendang sambil berfikir-fikir sekarang ia berada di fasa ke berapa dan setakat manakah sifatnya telah terbentuk dan berkembang.

Hari ke hari dia meniti dan membilang, sehingga apabila pertama kali dia menatap wajah bayi yang dilahirkannya, dia seakan tidak percaya, bahawa bayi itu benar-benar telah berada di depan matanya, di dalam dakapannya, di dalam belaiannya.

Tentu dia amat bersyukur, ke hadrat Yang Maha Kaya. Dan dia memohon agar dipanjangkan usia mereka semua agar nikmat yang diberi itu tidak ditarik balik dalam sekelip mata.

Tentulah dia bertambah yakin dan percaya dengan firman Allah yang bermaksud :

Wahai sekelian manusia, jika kamu masih ragu-ragu terhadap hari Qiamat, sesungguhnya Kami (Allah Subhanahu Wata'a'la) telah jadikan kamu dari tanah, kemudian daripada air mani, dari air mani menjadi darah sampai ia menjadi sepotong daging yang telah sempurna kejadiannya dan yang belum sempurna, supaya Kami beri keterangan kepada kamu dan Kami tetapkan di dalam kandungan (rahim) ibu mengikut kehendak Kami, sampailah waktu tertentu maka Kami keluarkan kamu dari kandungan ibumu menjadi kanak-kanak sampai kamu menjadi orang dewasa. Di antara kamu ada yang dimatikan dan ada yang dipanjangkan hidupnya sampai terlalu tua hingga tidak mengetahui apa-apa sedangkan sebelumnya kamu mengetahui.
(AlHaj: 5)


Innaa lillaah(i)...

Sesungguhnya kita daripada Allah...

...wa innaa ilaihi raaji'uuuun.

...dan sesungguhnya kita kepadaNya dikembalikan.

Thursday, July 31, 2008

Panduan Persatuan Pengguna Pulau Pinang : Halal Haram - Buku Penting Untuk Umat Islam


Tajuk :
Panduan Persatuan Pengguna Pulau Pinang : Halal Haram - Buku Penting Untuk Umat Islam
Penulis : Tidak dicetak
Penerbit : Persatuan Pengguna Pulau Pinang
Tahun Keluaran : 2006
Bilangan Mukasurat : 226
Harga : Tidak dicetak


Dari sudut syariah, kesihatan berdasarkan "Halalan Thoyyiban"
- An Nahl 114



"Isu kesucian sesuatu produk atau perkhidmatan adalah sensitif kepada masyarakat Islam. Bagi orang Islam, sebarang isu berkaitan dengan persoalan halal dan haram perlu diberi perhatian serius.

Justeru, buku hasil penyelidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) ini, pada hemat saya, akan mengisi keperluan masyarakat Islam, bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia.

Saya menganjurkan supaya buku ini dibaca dan dikaji oleh setiap lapisan masyarakat. Buku ini akan menghilangkan sebarang keraguan yang timbul dalam minda masyarakat Islam kerana ia dijelaskan secara saintifik."

-Dato' Seri Haji Harussani Haji Zakaria
Mufti Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan, Malaysia


Di Dalam
  • Kolagen daripada banduan yang ditembak mati, uri dan janin yang digugurkan digunakan dalam kosmetik
  • Hampir 3,000 bahan penambah digunakan dalam makanan, banyak yang diperolehi daripada binatang atau sumber yang meragukan. Ini termasuklah :
Derivatif rambut manusia ditambah ke dalam roti dan piza.
Pewarna daripada serangga yang dihancurkan dalam makanan kegemaran anda.
  • Serbuk plasma darah diperolehi daripada darah dari rumah sembelihan digunakan untuk membuat bebola ikan, burger dan daging yang diproses.
  • Gelatin dalam banyak makanan dan bukan produk makanan.
  • DNA babi dalam gelatin ditemui dalam daging ayam bahagian dada, dan gelatin terkandung dalam lain-lain produk berdaging.
  • Status makanan yang dipersoalkan di hotel dan restoran.
  • Logo halal palsu pada banyak produk makanan.
  • Banyak logo halal yang berbeza ditemui di pasaran. Yang mana satu boleh dipercayai.
  • Simulasi pati najis dalam rokok.
  • Pinggan mangkuk daripada abu tulang.
  • Berus daripada bulu babi sementara beg tangan, sarung tangan daripada kulit babi.

Isi Kandungan

Mukadimah

Prakata

BAHAGIAN I Pengenalan
1 Kepentingan menjauhi makanan yang memudaratkan dan meragukan
2 Dilema pengguna Islam di Malaysia
3 Sejarah pembabitan CAP dalam isu halal dan haram

BAHAGIAN II Masalah berhubung isu halal dan haram
4 Keraguan dan ketidakpastian yang menyelubungi logo halal
5 Kehalalan makanan di restoran dan hotel diragui
6 Hukum syariah dan bahan kimia dalam makanan
7 Ramuan dan penambah makanan daripada sumber binatang
8 Adakah penambah makanan halal?

BAHAGIAN III Adab makan umat Islam
9 Pembaziran dan kegelojohan pada bulan Ramadhan
10 Kenapa Islam mengharamkan babi?

BAHAGIAN IV Gelatin
11 Apakah gelatin?
12 Sejarah kajian CAP mengenai isu gelatin
13 Kegunaan gelatin dalam farmasi dan perubatan
14 Kegunaan gelatin dalam barangan fotografi dan percetakan
15 Gelatin yang meragukan dilabel halal

BAHAGIAN V Keju dan wei
16 Adakah keju haram atau meragukan?
17 Wei, lemak babi didapati dalam susu rumusan bayi
18 Kegunaan wei dalam makanan

BAHAGIAN VI Lemak binatang
19 Lelemak dalam makanan
20 Lemak binatang dalam produk kegunaan seharian
21 Gliserin/Monogliserida dalam makanan dan kosmetik

BAHAGIAN VII Lain-lain bahan haram dan meragukan
22 Plasma darah dalam makanan
23 Monosodium glutamate (MSG) - Serbuk perisa yang meragukan
24 Makanan ubah suai genetik
25 Rambut manusia dalam makanan
26 Alkohol dalam makanan dan minuman

BAHAGIAN VIII Lain-lain produk dan isu pengguna
27 Ramuan yang meragukan dalam kosmetik
28 Barangan daripada sumber binatang
29 Merokok adalah Haram : Majlis Fatwa Kebangsaan
30 Adakah binatang ternakan komersial halal dimakan?

Kesimpulan

Sumber rujukan


Google Search

Saya buat google search untuk 'buku halal haram persatuan pengguna pulau pinang (CAP)' dan menjumpai yang berikut di senarai pertama ;

1. Tempah online : Buku Halal Haram di myhalal.wordpress.com
2. Halal Search Network - Dunia Buku : Sekitar Isu Halal Haram
di www.alshahir.com.my
3. Muslim Halal Shop.com
di www.muslimhalalshop.com
4. View topic - HALAL DAN HARAM OLEH CAP
di www.protonclub.com
5. Pinggan mangkuk tak halal
di halaqah.net
6. Set31 blog. Halal dan Haram
di set31.blogspot.com
7. Forum Universiti Utara Malaysia - Info pengguna
di forum.novarsity.com
8. Intibah
di duniaherbahpa.com

'buku halal haram cap'
1. KUDIN : Must Read Book - halal/haram di kudinku.blogspot.com
2. Halalmall online di www.yakinhalal.com
3. Laire @ Jani : Halal @ Haram di azlanlinda.blogspot.com

'buku halal haram'
1. Senarai buku-buku dalam Bahasa Inggeris berunsur Islam yang diharamkan di www.islam.gov.my
2. Halal Haram Pemakanan dalam Islam mesra.net forum
di www.mesra.net

yang turut menyebut tentang buku ini.

Monday, July 28, 2008

Panduan Mandi Wajib

Bagaimana anda semua mandi wajib? Semua sudah tahukan cara-caranya. Yalah, kita sudah diajar berkenaan ini sejak di awal sekolah menengah lagi kan? Saya pun, yakin bahawa mandi wajib saya sempurna. Kaedah umum yang saya guna pakai ialah asalkan dimulai dengan berniat dan memastikan air mutlak sampai dan merata ke seluruh bahagian badan.

Semasa di tingkatan dua lagi kami telah diajar oleh Ustaz Mohammad, guru agama di sekolah kami tentang mandi wajib ini. Antara yang saya ingat ialah ada dua jenis hadas iaitu hadas kecil dan hadas besar. Mengangkat wudhuk adalah untuk mensucikan diri daripada hadas kecil manakala mandi wajib untuk mensucikan diri daripada hadas besar, yang mana juga menghilangkan hadas kecil sekaligus. Oleh itu, dengan mandi wajib telah mensucikan diri daripada kedua-dua hadas kecil dan besar dan boleh terus menunaikan sembahyang tanpa perlu berwudhuk lagi.

Hadas besar yang mewajibkan mandi wajib ini berlaku apabila berlaku perkara-perkara seperti berikut;
1. keluar air mani samada secara sengaja atau tidak sengaja
2. berjima'
3. haidh
4. nifas

Hadas kecil berlaku dengan sebab-sebab membuang air kecil atau besar ataupun membuang angin daripada saluran depan maupun belakang, dan lain-lain lagi.

Nak tau cerita? Masa mula-mula berkahwin dulu, suami mengajak saya mandi wajib bersama-sama. Mandi sama-sama kan elok bagi pasangan suami isteri, jadi saya pun mengikut dia masuk ke bilik air. Maka mandilah kami berdua bersama-sama, dia mandi, saya pun mandi, manalah saya tahu rupa-rupanya dia memerhati cara-cara saya mandi wajib.

Dah tu kenalah tegur, sebabnya sudah menjadi kebiasaan saya sambil mandi kalau nak buang air saya buanglah dan menggosok tempat sulit untuk memastikan air sampai kepadanya dan merata. Itulah puncanya teguran itu datang!

Tegur suami saya, mana boleh tengah-tengah mandi wajib tu pi buang air la, sentuh tempat sulit tanpa berlapik la dan sebagainya. Saya pun ternganga sampai terjelir lidah. Katanya lagi, apa-apa yang membatalkan wudhuk itu membatalkan mandi wajib juga. Beritahunya lagi, sebelum niat mandi wajib hendaklah membersihkan badan daripada segala kekotoran terlebih dahulu barulah berniat untuk mandi wajib dan mandi. Ops!, selama ini saya mandi wajib dengan cara yang salah ke?

Suami saya juga mengingatkan, kalau sudah selesai mandi wajib dan hendak terus menunaikan solat adalah sunat mengambil wudhuk terlebih dahulu walaupun mandi wajib tadi sudah membolehkan kita terus bersolat.

Sebenarnya suami saya membuat teguran ini berdasarkan pengajiannya secara berguru dengan Allahyarham Ustaz Mohamad Ismail, di sekitar tahun 80an. Allahyarham Ustaz Mohamad adalah seorang bekas pensyarah di Jabatan Al Quran dan As Sunnah di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Saya mencari-cari juga berkenaan ini selepas itu di dalam beberapa buah buku panduan mandi wajib tapi saya tidak menjumpai ayat, 'apa-apa yang membatalkan wudhuk itu membatalkan mandi wajib juga', melainkan saya terjumpa dalam sebuah buku menuliskan 'jaga-jaga jangan tersentuh zakar tanpa berlapik'.

Di sini saya perturunkan cara-cara mandi wajib sebagaimana yang saya semak dalam kitab Bimbingan Mukmin untuk ulangan kita bersama;
1. Mula-mula, basuh kedua belah tangan 3 kali.
2. Kemudian beristinja'.
3. Kemudian menghilangkan segala macam kenajisan yang ada pada badan, kalau ada.
4. Selepas itu, berwudhu', kecuali membasuh kedua belah kaki.
5. Kemudian, mula menyirami badan dengan air, bermula dengan kepala.
6. Kemudian menyirami bahagian kanan badan dan kemudian bahagian kiri badan pula.
7. Kemudian gosoklah bahagian hadapan badan dan kemudian bahagian belakangnya.
8. Hendaklah menyela-nyela rambut di kepala dan janggut agar air sampai ke pangkal tempat tumbuhnya rambut itu samada rambut itu lebat maupun nipis.
9. Seorang perempuan yang mandi wajib tidak perlu menghuraikan siputnya melainkan ia bimbang air tidak akan sampai ke celah-celah rambutnya.
10. Dan hendaklah ia memelihara pula lipatan-lipatan pada badannya.

Panduan mandi wajib di atas saya semak daripada buku Bimbingan Mu'minin Untuk Mencapai Tingkat Mau'izhatul Mukminin Pada Mencari Redha Rabil-'Alamin Jilid 1-2, ms 34, susunan APAllamah Almarhum Asysyaikh Muhammad Jamaluddin Addimasyqi terbitan Al-Maktabah At-Tijariyyah Al-Kubro (tidak bertahun) terjemahan Moh. Abdai Rathomy, 1979, daripada judul asal Mau'izhatul Mukminin ringkasan daripada Ihya' Ulumuddin karangan Imam Alghazali.

Sebenarnya kitab Bimbingan Mukminin ini digunakan dalam kelas fardhu ain saya sebagai buku teks. Pelbagai soalan, ulasan dan komen ditimbulkan oleh pelajar-pelajar daripada kelas kami yang terdiri daripada wanita-wanita berusia 40 tahun ke atas. Antaranya;
1. Eh mandi kena duduk ke ustaz? Kalau tak duduk tak boleh ke?
2. Gaya bebas kan ustaz asalkan air sampai ke seluruh bahagian badan?
3. Perkara-perkara yang membatalkan wudhu' tu membatalkan mandi wajib kan ustaz kalau berlaku sewaktu mandi tu belum selesai?
(Soalan ketiga ini sudah tentu datangnya daripada saya.)

Jawapan ustaz kepada kesemua soalan di atas ialah ya. Kepada soalan ketiga, ya, kalau berlaku sebelum selesai mandi hendaklah diulang semula.

Mandi wajib dikira bermula dengan bermulanya niat serentak dengan menjirus air ke bahagian badan dan dikira berakhir dengan ratanya air keseluruhan bahagian badan.

Di bawah ini pula ialah hasil rujukan saya daripada buku Sairus-Salikin;
1. Sunat meletakkan bejana di sebelah kanan.
2. Kemudian baca Bismillaahirrahmaanirrahiiiim.
3. Basuh kedua belah tangan 3 kali.
4. Beristinjak.
5. Hilangkan segala yang cemar-cemar yang ada di badan.
6. Ambil air sembahyang serta segala doanya.
7. Kemudian tuangkan air ke atas kepala 3 kali serta berniat mandi wajib samada mandi jenabah dll.
8. Kemudian tuangkan air di atas badan sebelah kanan 3 kali kemudian sebelah kiri pula 3 kali.
9. Sunat menggosok di bahagian hadapan dan belakang.
10. Sunat menyelang-nyelangkan segala rambut.
11. Wajib menyampaikan air ke sekelian tempat perlipatan badan dan sekelian tempat tumbuh rambut samada jarang atau tebal.
12. Peliharakanlah daripada menyentuh zakar pada ketika mandi itu kemudian daripada mengambil air sembahyang, maka jika tersentuh hendaklah kembali mengambil air sembahyang kerana yang demikian itu membatalkan air sembahyang.

Pada fahaman saya, (untuk tatacara ke 12 ini), ialah tidak boleh menyentuh zakar selepas mengambil air sembahyang (iaitu pada tatacara ke 6), maka jika tersentuh, hendaklah kembali mengambil air sembahyang iaitu mengulang semula bermula dengan tatacara ke 6 itu.

Panduan ini saya rujuk daripada buku Sairus-Salikin (Perjalanan Orang Yang Salik Kepada Allah) karangan Syaikh Abdus-Shamad Al Falimbani (Meninggal dunia sekitar tahun 1203H/1789M) Rahimallahu Taala Juzuk Pertama halaman 124-125, terbitan Khazanah Banjariah, Maahad Tarbiah Islamiah Derang, 06400, Pokok Sena, Kedah Darul Aman terjemahan daripada Lubab Ihya Ulumiddin karangan Imam Hujjatul Islam Abu Hamid Al-Ghazali (450-505H/1058-1111M) Rahimallahu Taala.

Anak perempuan kami yang bergraduat dalam bidang pengajian Islam pun ada bertanya kepada saya tentang masalah mandi wajib ini. Saya hanya menggunapakai kaedah yang paling asas dan wajib sahaja sedangkan beliau mengamalkan kaedah yang lebih terperinci daripada pra mandi wajib sehinggalah ke akhirnya termasuk segala adab-adab dan sunat-sunatnya seperti membersihkan kuku, hidung dan telinga. Banyak lagilah yang perlu diperincikan selain daripada yang tersebut di atas itu.

Wednesday, July 23, 2008

Soal Selidik?

Semalam saya didatangi seorang pemuda di pintu pagar rumah yang saya diami ini selepas bangun dari tidur qailullah yang panjang. Saya terdengar suara seseorang memberi salam lalu terus menuju ke grill. Dalam keadaan yang agak mamai itu dan ingin bersegera kerana banyak tugasan yang belum diselesaikan, saya bertanya;
Saya : Ada apa?
Pemuda itu : Saya datang ni nak buat penyelidikan kak, (melihat muka saya yang berkerut), saya mewakili (saya tak ingat dengan pasti, tetapi pemuda itu menyebut satu dua nama syarikat pembuat barang cucian yg dikenali macam Lever Brother dll). . kak guna sabun mesin basuh apa?
Saya : Max Clean (tak jawab penuh)
Pemuda itu : Kak pakai satu jenama tetap ke tukar-tukar?
Saya : Tetap
Pemuda itu : Kak pakai tu, ada ke apa-apa masalah seperti tompok-tompok putih ke (kat cucian).
Saya : Tak ada
Pemuda itu : Kak pakai sabun basuh pinggan apa?
Saya : Pelbagai (Muka pemuda itu berkerut)
Pemuda itu : Kak pakai apa?
Saya : Berbagai-bagai
Pemuda itu : Contohnya?
Saya : Max Clean
Pemuda itu : Sabun basuh pinggan?
Saya : Ya
Pemuda itu : Kak ada pakai Axion (saya tidak jelas sangat sebutan ini pada mulanya), Sunlight, Glo?
Saya : Ada
Pemuda itu : Kak pakai tu ada ke masalah macam gatal-gatal tangan ke, kuku rosak?
Saya : (Berfikir) Tak ada
Pemuda itu : Kak pakai syampoo apa?
Saya : Pelbagai
Pemuda itu : Ada pakai Pantene, Sunsilk, Rejoice?
Saya : Pantene..Sunsilk..(Rejoice pun ada pakai tetapi tidak tercakap)
Pemuda itu : Kak pakai ni ada tak masalah gatal-gatal kepala ke..?
Saya : Tak tau..(pemuda itu bengang)..sebab anak-anak yang pakai.
Pemuda itu : Kak pakai apa?
Saya : Macam-macam
Pemuda itu : Sekarang ni..?
Saya : Sekarang ni..?
Pemuda itu : Ya, sekarang ni..
Saya : Entah.. pakai apo ntah ..kat ataih tu (sambil tangan tunjuk atas, sambil lalu, dia tau kot saya malas nak pergi check)
Pemuda itu : Kak cakap entah apo ntah tu..kak orang Kedah ke?
Saya : (Geleng kepala)(Saya dah mengeluarkan slang utara agaknya..spontan, tanpa disedari)
Pemuda itu : Kak pakai sabun mandi apa?
Saya : Pelbagai
Pemuda itu : Sekarang ni?
Saya : Sireh
Pemuda itu : Ada pakai Protext, Dettol?
Saya : Ada
Pemuda itu : Ada apa-apa masalah?
Saya : Tak ada
Pemuda itu : Dah berapa lama kak pakai barang-barang kilang ni?
Saya : (Berfikir) 30 tahun
Pemuda itu : 30 tahun?
Saya : (Diam)
Pemuda itu : Apa pendapat kak pakai barang-barang kilang ni..memuaskan..tidak memuaskan?
Saya : Sederhana (Diam sejenak) kecuali syampoo.
Pemuda itu : Suami kak mana?
Saya : Kerja
Pemuda itu : Kak tinggal tetap dalam rumah ni berapa orang?
Saya : 6
Pemuda itu : Ni rumah anak kak ke rumah kak?
Saya : Saya
Pemuda itu : Nama kak apa?
Saya : Eh! Nak kena bagi nama ke?
Pemuda itu : Kena, sebab ini penyelidikan..
Saya : Sxxx Nxxxxx
Pemuda itu : Nombor rumah ni..(sambil matanya melilau melihat dinding rumah) 20?
Saya : (Angguk)
Pemuda itu : (Ucap terima kasih kot sambil mengangguk kepala dan berlalu pergi)

Saya beranjak dari grill pintu sambil berfikir-fikir, mudah juga saya memberi nama sebenar kepada orang yang hanya mengaku dia mewakili badan-badan yang membuat penyelidikan..khuatir juga saya kalau-kalau pemuda itu mewakili.. entah siapa-siapa!

Monday, July 21, 2008

Panduan Menyediakan Air Tersat

Air tersat ialah air mandian untuk wanita selepas bersalin. Air suam-suam kuku dengan campuran beberapa bahan dipercayai boleh membersih, menyegar dan menyihatkan wanita-wanita di dalam hari, sekurang-kurangnya di 3 hari pertama di hari-hari awal bersalin ataupun elok juga diamalkan selama sepenuh hari-hari berpantang. Lebihan air ini juga boleh digunakan untuk campuran mandian bayi baru lahir.

Bahan-bahan Yang Diperlukan
2-3 liter air biasa
1 sudu kecil mumbun/1 sudu besar rata garam buku/halus
1-2 inci kunyit hidup
1 sudu kecil halba
1-2 helai daun kunyit atau daun-daun lain seperti lengkuas, kemudu, kkua, pandan, nilam dan serai wangi

Kalau tidak memperolehi daun-daun seperti di atas itu, memadailah dengan 3 bahan utama sahaja iaitu garam, kunyit dan halba.

Cara-cara Menyediakan
1. Bersihkan kunyit dan potong dengan ketebalan 2-3 mm, tidak dikikis kulit pun tidak apa.
2. Bersihkan halba di dalam penapis teh atau penapis santan.
3. Bersihkan daun kunyit, boleh dikoyakkan kepada bahagian-bahagian yang lebih kecil.
4. Campurkan kesemua bahan-bahan di atas di dalam sebuah periuk besar.
5. Jerangkan di atas api sederhana sehingga nngiak atau beriak, sebelum mendidih.
6. Tutupkan api.
7. Campurkan dengan air biasa untuk mendapat kepanasan suam-suam kuku.
8. Sedia untuk mandian.

Kata ibu saya, menjerang air mandian tersat ini tidak boleh dibiarkan sehingga mendidih kerana takut nanti anak jadi banyak cakap, tak larat nak hho!

Cara-cara mandi air tersat
1. Bersihkan seluruh badan dengan air mandian biasa.
2. Mandi dengan air tersat.

Jika jumlah air yang disediakan mencukupi, tidak perlulah menggunakan air biasa untuk pembersihan awal.

Semasa kecil saya sukakan haruman dari air mandian ini apabila melihat ibu saya mandi tersat selepas bersalinkan adik-adik saya.

Panduan membuat air tersat ini saya perolehi daripadanya juga daripada kakak saya B, semasa mereka melawat saya sewaktu bersalinkan anak saya dulu.

Dengan panduan ini saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada anakanda sulong kami dan suami yang baru menyambut kelahiran puteri ketiga pada awal pagi Ahad 13/7/08 yang baru lalu. Juga ucapan tahniah kepada semua ibu-ibu yang berjaya mengharungi pahit getir selama mengandung, bersalin, dalam hari dan hari-hari seterusnya dalam kehidupan dengan rencam ragam anak-anak, terutama kepada ibunda saya yang telah melahir, mengasuh, mendidik dan membesarkan kami 11 beradik. Juga tidak lupa kepada almarhum ayahanda saya yang setia di sampingnya sehingga ke akhir hayat.