Tuesday, April 28, 2009

April

Segala2-galanya dalam hidupku ini telah ditentukan oleh Illahi.
Telah ditentukan sejak aku masih berada di dalam rahim ibuku lagi.

Aku harap aku redha dengan ketentuan itu.
Aku harap ya Allah aku redha..
Aku benar2 berharap Ya Allah aku redha dengan ketentuanMu..

Jika sedemikian mudahlah redha itu boleh kucapai ya Allah tidaklah perlu aku merayu kepadaMu..

Sedangkan ujian redha itu melingkari dan menghunjam diriku setiap saat dan ketika..

Wahai Allah, redhailah aku...
Wahai ayah dan ibu, redhailah aku..
Wahai adik beradikku, redhailah aku..

Wahai diri, redhalah menerima ketentuan Illahi..

Wahai hati, redhalah dengan ketetapan Illahi..

Wednesday, March 25, 2009

Ampang Super Family Bowling Tournament

Lokasi : Ampang Super Bowl
Hari : Ahad 8 Mac 2009
(Sehari sebelum cuti umum MauliduRasul, Isnin 9 Mac)
Durasi : 12.00 tengahari - 2 petang
(lepas tu pegi lunch kat Restoran Rashid..)
Sempena : Entah ada orang rai apa-apa kot..?
(Ataupun ada orang berhasrat/berimaginasi membowling/membaling orang-orang tertentu dengan balingan bola bowling itu!)

Peserta :
Pusingan Pertama : Az, Yo, Mu, Mi, Ay, Ib&Al
Pusingan Kedua : Az, Yo&Mi, Ay, Ib&Al

Kedudukan/keputusan :
Pusingan pertama :Az, Mu, Mi=Ay, Yo=Ib&Al
Pusingan kedua : Yo&Mi, Ay, Az, Ib&Al


Peserta pertama memilih bola..


Peserta kedua memilih bola..

Peserta ketiga bersedia untuk membaling..


Peserta keempat membaling..
Peserta kelima melayang..

Peserta keenam meleret..


Barisan penyokong kuat kami..

Penyokong buat hal sendiri..


Penyokong keliru..

Penyokong semua orang..

Apa-apa pun tahniahlah..!

Tuesday, March 10, 2009

March III

Rupa-rupanya banyak juga tarikh-tarikh penting bagiku di sukuan pertama tahun ini..12 Jan, 14 Feb, 20 Feb, 22 Feb, 6 Mac, 7 Mac..

Di sukuan terakhir tahun lepas pun banyak juga.. 9 Okt, 22 Okt, 2 Nov, 10 Nov, 5 Dec, 11/12 Dec, 16 Dec, 18 Dec, 23 Dec, 31 Dec..

Tetapi nampaknya tarikh-tarikh itu seperti hanyalah sekadar tarikh-tarikh sahaja..

Dengan mencecah 44 tahun usiaku pada 16 Dec lalu, aku tidak pasti adakah kematanganku bertambah atau kebudak-budakanku yang bertambah..dengan kata lain kebodohanku..
Dengan menempuh 13 tahun usia perkahwinanku pada 22 Feb lalu, aku ragu adakah aku sudah betul-betul memahami fungsi diriku sebagai seorang isteri..
Dengan memasuki 7 tahun usia anakku pada 2 Nov lalu, aku tidak tahu adakah aku sudah benar-benar berperanan sebagai seorang ibu..

Adakah aku sudah menjadi seorang anak yang benar-benar baik buat ayah dan ibuku..?
Adakah aku sudah menjadi seorang adik/kakak yang baik buat adik beradikku..?
Adakah aku sudah menjadi seorang ipar yang baik buat ipar duaiku..?
Adakah aku sudah menjadi seorang ibu saudara yang baik buat anak-anak saudaraku..?
Adakah aku sudah menjadi seorang saudara yang baik buat kesemua saudara maraku..?
dan seterusnya..?

Adakah aku sudah menjadi seorang saudara yang baik terhadap saudara-saudara seagamaku..? Sebangsaku..?
Adakah aku sudah menjadi seorang kawan yang baik terhadap kawan-kawanku..?
DAN SETERUSNYA..?

Adakah aku sudah menjadi seorang penganut yang baik kepada agamaku..?
Adakah aku sudah menjadi seorang hamba yang baik kepada Penciptaku..?

Wahai semua, maafkanlah segala kelemahanku. Maafkanlah segala kekuranganku. Maafkanlah segala kelalaianku. Maafkanlah segala kebodohanku. Maafkanlah segala kejahilanku. Maafkanlah segala keterlanjuranku. Maafkanlah segala keterlampauanku.

Wahai Allah, ampunilah aku.

Tuesday, March 3, 2009

March II

Hari ini.. aku boleh meraikan.. genap setahun aku berblogging.. jika aku ingin meraikannya.. pada tarikh inilah.. aku telah berjaya.. mempublishkan tajuk percubaanku..

Lantas.. aku teringat semula lagu itu.. yang melatari diriku di saat itu.. dan perasaanku di ketika itu..

Aku tahu.. di bumi Allah.. yang luas ini.. aku hanya bersendirian.. melangkahkan kakiku.. ke mana hendak kutuju..

Dan di ketika.. segenap kepingan penjuru alam.. seperti menghimpit.. dan menghempapku.. aku terduduk.. tersimpuh.. tertunduk.. memandang lantai..

Akhirnya nama DIA jua yang kuseru.. tiada lain yang mengerti.. dan dapat membantu..

Sunday, March 1, 2009

March

Pagi tadi kami ke Taman Tasik P, menyertai riadhah keluarga yang dianjurkan oleh sahabat-sahabat kami dari selatan Kuala L. Ini merupakan riadhah siri kedua untuk tahun ini selepas siri pertama yang diadakan pada 1 Februari lalu di lokasi yang sama. Aktiviti bulanan ini bertujuan untuk berkumpul sesama ahli keluarga sahabat handai dan mengeratkan lagi ukhuwwah Islamiah sesama kami. Kami sampai di sana lebih kurang pukul 9 pagi agak lewat daripada waktu yang dijadualkan iaitu pukul 8 pagi.

Kawasan tempat kami selalu berkumpul kelihatan lengang. Tidak kelihatan muka-muka yang kami kenali. Tiba-tiba anakku berkata, "Alim nak main dengan Muazlah". "Mana dia..?", tanyaku, menyedari tentu anakku telah melihat kelibat anak sahabatku A itu. Kemudiannya aku nampak Muaz sedang bermain jongkang jongkit moden yang berspring itu dengan seorang lagi kanak-kanak lain. Aku bertanya kepadanya, "Ummi mana..?". Jawabnya, "Ummi jogging". "Ummi letak barang kat mana?", tanyaku lagi. "Kat sana", tunjuknya ke arah sebuah pondok yang pernah kami duduki semasa riadhah sebelum-sebelum ini.

Kami menuju ke pondok itu untuk meletakkan bekalan yang kami bawa dan mendapati ia ditunggui oleh seorang anak sahabat kami, S manakala sahabat-sahabat yang lain telah beredar mengelilingi taman. Anakku menyertai Muaz selepas kami berpesan kepadanya agar tidak bermain jauh dari situ dan menunggu kami di pondok jika telah penat bermain. Kami juga memberitahunya ada seorang abang menunggu di pondok jika ada apa-apa dan turut berpesan kepada anak teruna sahabat kami yang sedang membaca itu agar menengok-nengokkan anak kami dan anak-anak yang lain juga.

Segera suamiku memulakan langkah ke kanan menaiki lereng berbukit dengan diikuti oleh aku, menuruninya di sebelah sana dan membelok ke kiri menghala ke tasik, menyusuri tepian kiri sebelah tasik dan membelok ke kiri mendaki anak bukit yang satu lagi, menghala ke 'parking', merentasi kawasan permainan kanak-kanak dan sampai semula ke tempat kami bermula dalam masa lebih kurang 1/2 jam. Di perjalanan kami bertembung dengan beberapa yang lain menghala dari arah yang bertentangan. Di pondok, sahabat-sahabat yang lain sudah sedia menunggu. Kami menghidangkan bekalan yang dibawa dan memakannya bersama-sama. Ketua riadhah menamatkan sessi dengan suatu peringatan pendek. Lebih kurang pukul 11 pagi kami bersurai dan sampai di rumah lebih kurang pukul 11.30 pagi.

Sesampai di rumah kulihat anak perempuan sulong kami sedang mengeluarkan ayam halalan toyyiban yang kami beli semalam dari peti sejuk. Oh..selamat aku hari ini..

Saturday, February 28, 2009

Februari II

Petang Sabtu lepas KJ singgah di rumahku untuk mengambil deraf sepucuk surat. Dia memperingatkan aku agar deraf itu ditandatangani. Aku meminta suamiku yang sedang bersiap-siap untuk ke Sepang kerana suatu agenda pada malam itu menandatanganinya. Aku turut menandatangani bagi pihak diriku dan anak saudaraku. Deraf itu sudah tidak menjadi deraf lagi.

Hari ini seperti hari-hari cuti di hujung minggu yang biasa, aku beserta suami dan anakku bersarapan di luar. Kami keluar dari rumah lebih kurang pukul 10.00 pagi, membeli tiga bungkus nasi lemak dari sebuah gerai di kawasan kedai di bawah dan menghantar pulang untuk dua orang anak dan dua orang cucu yang berada di rumah.

Kami berkereta semula ke Restoran D di Bukit I untuk bersarapan. Suamiku memilih untuk ke sana kerana berhajat untuk membeli ikan dan ayam untuk keperluan harian yang biasanya dibeli dari pasar tani atau pasar pokok celagi setiap pagi Ahad. Aku juga berhasrat untuk meninjau papan notis aktiviti di masjid di situ.

Seselesai bersarapan kami menuju ke kedai ikan yang selalu juga kami pergi itu tetapi tidak dibuka pula pada hari ini. Kami terus ke AzZain bersebelahan untuk membeli ayam halalan toyyiban HPA. Setelah itu, aku mengajak suami ke masjid. Kami meneliti informasi yang tertera di kain rentang berhampiran pintu pagar pertama masjid. Kursus bersiri yang telah bermula pada 14/2/2009 itu diadakan setiap hari Sabtu dari jam 11 pagi hingga jam 1 tengahari. "Dah dua minggu..", terpacul dari mulutku, sebenarnya sudah minggu ketiga tetapi aku tersilap mengira yang aku sedari kemudiannya.

Aku melihat jam di telefon yang menunjukkan sudah pukul 11.11 minit pagi. Aktiviti yang aku jangkakan untuk menyertainya esok pagi sedang dimulakan. ..Emm.. "..Sedang berjalan..", kataku. "Tak apa..", kata suamiku, ".. ini baru introduction..", tetapi akhirnya dia meninggalkan aku di situ untuk mengikuti kursus itu. "Dengan tak mandi ni..?", aku bertanya. Suamiku berkata, "tak apa". Dia memberikan aku sebatang pen dan dua tiga helai kertas dan terus beredar pulang bersama anakku.

Aku bertanya kepada seorang lelaki yang kujumpa sedang hendak menyarungkan kasut di pintu masuk utama masjid tempat kursus bersiri itu dijalankan. Dia memberitahu, "..dekat sana..", sambil menudingkan tangannya ke arah yang kuikut dengan pandangan mataku. Selepas mengucapkan terima kasih aku mencari arah untuk menuju ke situ. Aku perhatikan ruang itu dari tempat aku berjalan dan mengagak laluan masuk yang sesuai untukku adalah dari tangga sisi masjid di sebelah kanan. Laluan dari depan masjid yang bersebelahan dengan tempat wudhuk itu rasanya lebih sesuai untuk peserta lelaki.

Sebenarnya sudah dua kali sebelum ini aku memasuki ruang belakang masjid ini tetapi untuk solat sunat hari raya. Aku mengambil tempat duduk paling belakang dan bersalam dengan seorang wanita di sebelahku. Aku bertanya kepadanya beberapa soalan untuk mendapatkan sedikit sebanyak maklumat tambahan. Di depan, sebuah skrin putih sudah tersedia dengan sebuah meja dan sebuah kerusi untuk pengendalinya. Kebetulan kursus dimulakan agak lewat pada hari itu. Pukul 11.30 barulah kelihatan seorang lelaki berjubah putih mula memegang mikrofon.

Aku juga bernasib baik kerana pengendali kursus mengulang balik beberapa perkara daripada dua siri sebelumnya kerana beliau menyedari ada peserta yang baru kali pertama menghadirkan diri. Kami dianjurkan membeli sebuah buku panduan kursus berharga RM20.00 yang disusuntulis oleh pengendali kursus dan dijual di situ.

Lima minit sebelum pukul 1 suamiku menelefon bertanya, "Dah selesai ke?". Aku memaklumkan, "Tengah soal jawab ni..dari pukul 12.45 tadi.. dah nak habis la ni..sepatutnya habis pukul 1.. bolehlah mula datang slow-slow..". Kursus ditamatkan dua tiga minit selepas pukul 1. Aku bersalam dengan dua tiga orang yang duduk berdekatan denganku dan kami semua bangun untuk turun dari ruang legar masjid. Aku menuju ke halaman depan dan terus keluar melalui pintu pagar yang kami masuk tadi untuk menunggu suamiku datang menjemputku pulang. Suamiku tiba tidak lama kemudian. Setelah menurunkanku di rumah beberapa minit sebelum pukul 1.30 dan anakku pula masuk ke kereta untuk menyertainya, dia terus memandu ke surau untuk menunaikan solat Zohor.

Petangnya, tatkala aku sedang hendak membancuh kopi untuk minum petang kami, suamiku masuk dari laman depan dan memberitahu, "dia orang ajak makan-makan". "Siapa?", tanyaku. Katanya, "orang sebelah". "Belum mandi", kataku. "Balik satgi mandilah". katanya. Dia mengajak anakku yang sedang hendak meminum minumannya dan terus ke rumah jiran sebelah sedang aku berkira-kira hendak mandi dulu atau pergi dulu. Memandangkan masa petang yang sudah suntuk akhirnya aku memutuskan untuk pergi saja ke rumah jiran mudaku Sarah yang merupakan finalis dan naib johan program realiti Cari Menantu TV9 musim pertama itu.

Di sana barulah ku ketahui, makan-makan itu diadakan kerana meraikan ulangtahun kelahiran anak sulongnya yang akan berusia 1 tahun pada 29 February 2009 yang tiada dalam kalendar 2009 itu. Apa-apa pun selamat hari lahir si comel K, moga jadi anak yang soleh ya..yang membanggakan kedua ibu bapa!

Saturday, February 21, 2009

Februari

Februari telah datang...dan akan pergi..dan akan datang lagi..dan akan pergi lagi..
Hari ini Sabtu 21 Februari..Esok Ahad 22 Februari..
Minggu lepas Sabtu 14 Februari..
Suami dan anakku baru pulang dari bersolat Asar di Surau As Syakirin, surau taman bersebelahan taman perumahan kami. Seperti biasa suamiku tidak terus masuk ke rumah tetapi menjenguk anak-anak ikan di dalam kolam di penjuru pagar kami. Anakku masuk dan menyampaikan mesej ayahnya kepadaku yang sedang duduk-duduk di sofa di ruang tamu, "Ibu, ayah suruh tanya ibu nak ikut tak pergi ...... .....". Aku menyuruh anakku keluar semula menyampaikan balasan mesej itu, "Cakap dekat ayah..ibu kata..kalau ayah nak pergi..ibu pergila..".

Selepas itu suamiku masuk ke dalam rumah, terus naik ke atas dan turun semula dengan pakaian yang sudah bertukar. Aku berkata kepadanya, "Tunggula..orang nak pergi sembahyang dulu dan bersiap".

Selepas selesai menunaikan solat, aku, suami dan anakku menaiki kereta menyusuri jalan taman perumahan, keluar ke lebuhraya berdekatan, menaiki bukit dan menuruninya di sebelah sana dan terus menyimpang ke kanan. Aku berkata kepada suamiku, "Bukan ke sepatutnya kena belok ke kiri..?". "Tak", jawabnya. Aku mengambil peta di sebelah kananku lalu membeleknya. Akhirnya, kami membelok ke sebuah lorong di kiri jalan berhampiran sebuah jambatan.

Tanah yang menurun dari bahu jalan dan bertemu dengan belokan Sungai Langat di hujungnya itu sedang ditakluki oleh beberapa orang pemancing dan kanak-kanak, dengan sesuatu di tangan sebagai pencedok mengharungi aliran air yang cetek merentasi dataran di hadapan kami, cuba menangkap ikan kepala putih dan ikan bberah yang sedang bermain-main di air yang mengalir. Kami menyeberangi rentasan air selebar lima enam kaki itu dengan meniti sekeping papan yang diletakkan merentangi kedalaman searas buku lali, menuju ke tepi sungai dan berdiri betul-betul di pinggirnya lalu menjenguk ke bawah ke dalam sungai. Suamiku bertanya, "Dalam ke air sungai ni?". Aku sendiri tidak tahu jawapannya.

Aku memandang ke kiri, ke arah dari mana sungai itu datang menuju ke tempat aku berdiri dan membelok di depanku mengalir terus ke depan sana. Sungai itu sempit sahaja dan airnya berwarna coklat keperangan.

Kami meninjau pemandangan sekitar dan pandangan kami tertumpu kepada sebuah jentera yang sedang berehat di situ kerana berhujung minggu barangkali sambil bertanya-tanya di dalam hati apakah urusannya gerangannya berada di sini. Akhirnya barulah kami menyedari rupa-rupanya dataran yang sedang kami pijak ini sedang menjalani kerja-kerja penambakan. "Mengapa ditambak?", terpacul pertanyaan dari mulut suamiku yang tidak dapat aku menjawabnya.

Aku berfikir-fikir sambil memijak-mijak tanah tambakan yang mengandungi banyak pepasir dan bebatu itu. Dataran tambakan ini milik siapa? Pihak berwajib atau tuan tanah atau sesiapa? Kerja penambakan ini dilakukan oleh siapa? Adakah dulu belokan sungai ini sebegitu luas dan ditambak oleh sesiapa untuk melebarkan datarannya? Ataukah dulu tanah ini yang luas tetapi menjadi sempit dek hakisan sungai yang membelok sehingga terpaksa menambaknya semula? Ataukah dataran ini lebih rendah sebelum ini dan ditambak untuk meninggikannya daripada paras air? Adakah tambakan ini dapat bertahan lama atau bakal dihakis air sungai sedikit demi sedikit bertahun kemudiannya? Aku juga melihat ke dalam sungai dan mendapati kesan batuan dan tanah tambakan yang telah dihanyutkan berada di tepi-tepi dan di tengah sungai.

Aku bertanya-tanya lagi di dalam hati, di musim hujan lebat, berapa banyakkah jumlah air di sungai ini, berapa tinggikah parasnya dan berapa lajukah ia mengalir? Adakah dataran ini akan dilimpahi air bah di musim banjir?

Teringat aliran cetek yang merentangi dataran itu tadi, aku cuba mengesan dari manakah punca ia datang. Rupa-rupanya memang ada sebuah alur di sebelah kiri kami tetapi tidak kelihatan dengan jelas dilindungi semak samun yang agak tebal dan meninggi, sehingga aku terpaksa menginjak-injakkan kakiku beberapa kali namun aku tetap tidak dapat melihat keseluruhan alur itu. Yang kelihatan hanyalah sebahagian kecilnya sahaja. Sebenarnya aku sendiri tidak pasti adakah ianya sebuah alur atau pun parit yang dibina untuk tujuan penyaliran. Mengetahui dataran tambakan melebar di hadapannya, aku tertanya-tanya adakah alur ini telah tersekat daripada laluan asalnya menuju ke sungai lalu ia membentuk takungan yang kemudiannya melimpah memintas di permukaan dataran menjadi satu aliran cetek dan bercantum dengan aliran air dari bawah jambatan di sebelah kanan sebelum memasuki belokan sungai.

Menyedari seakan ada aroma busuk semasa kami menjengah keluar dari kereta tadi aku memerhati keadaan sekeliling dan menyediakan seluas hidungku untuk mengesan dari manakah datangnya bau yang tidak menyenangkan itu samada ia berpunca dari alur yang berkemungkinan telah tersekat itu atau aliran air dari bawah jambatan di sebelah kananku tetapi aku terpandang beberapa longgokan sampah di tepi-tepi lorong, walaupun ianya baru terbina kesan laluan jentera penambak, aku agak pasti, tetapi ia dengan cepat diekori oleh pembuang-pembuang sampah pula.

Seorang pemuda yang sedang duduk bertinggung memegang batang kail di belokan sungai itu memandang ke arahku dan anakku dengan suatu pandangan seperti berminat, seolah-olah beliau telah mendengar apa yang baru aku bisikkan ke telinga anakku..

Aku hanya tertawa mendengar respon anakku itu..yang sibuk meminta untuk ikut memancing sedangkan kami ke situ tanpa membawa suatu peralatan menangkap ikan pun. Justeru, aku mengesyorkannya menangkap ikan kepala putih dan ikan bberah seperti yang dilakukan oleh budak-budak yang lain itu.

Melihatkan kesungguhannya untuk mendapatkan hasil sedangkan aku tahu anakku manalah tahu untuk berbuat seperti apa yang pernah aku dan adik beradikku telah perbuat semasa zaman kanak-kanak kami dulu, aku pun membantunya, mencedok ikan kepala putih dengan bekas pembungkus makanan daripada polisterin yang ada di tepi-tepi situ. Aku dapat menangkap beberapa ekor dengan sekali cedokan sahaja sedangkan semasa kecil dulu tidaklah semudah itu untuk menangkapnya. Anakku pun ingin mencuba mencedok tetapi tidak berjaya.

Aku tidak dapat menangkapkannya ikan bberas yang sedikit lebih besar kerana ikan-ikan itu berenang-renang di tengah-tengah aliran air yang tidak sampai untuk tanganku mencapai, tidak seperti ikan kepala putih yang bermain-bermain di gigi air sahaja, sedangkan aku tidak sudi untuk mencemarkan kakiku memasuki aliran air itu. Aku berjaya mendapat satu cedokan lagi ikan kepala putih, terus mengisinya ke dalam sebuah tin bekas minuman yang aku jumpa di tepi semak, membasuhnya sedikit dengan air alur walaupun hatiku ragu apakah sebenarnya ia air alur atau air longkang, begitupun ia agak jernih. Sesudah itu, aku terus menuju ke kereta dan bergegas masuk ke dalamnya di mana suamiku sudah bersedia menunggu untuk bergerak semula ke arah dari mana kami datang sedari mula. Hidungku tidak selesa menahan bau bekas minuman yang kupegang dengan beralaskan dua keping kertas tisu dan kesan air alur yang masih melekat di tanganku walaupun sudah aku mengelapinya.

Di atas bukit, suamiku memberhentikan kereta di tepi sebuah gerai makanan. Kelihatan beberapa orang pemuda berketayap mengendalikan gerai itu. Berdasarkan penampilan mereka aku mengagak mereka adalah pelajar dan/atau bekas pelajar sekolah pondok atau tahfiz. Daripada dua sahaja menunya kami memesan nasi lemak ayam goreng berempah dan memakannya di situ sebagai makan malam kami untuk hari itu serta membungkus nasi lemak yang sama ditambah char kue teow untuk dibawa pulang untuk dua orang lagi yang berada di rumah dan di perjalanan balik ke rumah. Aku mengambil kesempatan mencuci tangan dan menukar rumah sementara ikan kepala putih ke dalam botol kaca bekas minuman jus mangga yang baru dikosongkan oleh suamiku, yang didatangkan dari sebuah negara Timur Tengah, sebelum menjamah hidanganku. Selepas itu kami bergegas pulang kerana petang sedang merembang dan waktu Maghrib hampir tiba.

Esoknya aku mendapati suamiku telah menuangkan ikan-ikan kecil itu ke dalam kolam ikan di rumah kami. Aku berkata kepadanya, "Habislah nanti dimakan oleh ikan yang lain". Suamiku menjawab, "Tak". Aku tidak menaruh harapan kerana sudah menjadi fenomena ikan besar memakan ikan kecil, tidakpun, perbezaan air kolam buatan dengan air semulajadi boleh membuatkan ia mati.

Selang beberapa hari, ketika aku berdiri di tepi kolam, aku terlihat seekor daripada makhluk kecil itu sedang meneroka permukaan samudera kolamku..ohh..dia dapat bertahan rupa-rupanya..sekurang-kurangnya sampai saat ini. Aku tercari-cari beberapa ekor yang lain tetapi tidak kelihatan. Mungkinkah mereka masih bernyawa tetapi tersembunyi daripada pandangan zahirku ataupun sudah berkubur di dasar kolam itu..?

Thursday, January 1, 2009

Jan II

Palestine dan Pengganas Zionis

Ucapan Aluan oleh Ustaz Abdul Manaf, Imam Besar Masjid Puterajaya :


Sempena sambutan tahun baru Masehi dan sambutan Maal Hijrah, bersama dentuman bunga api di seluruh dunia dan bom-bom di bumi Palestine..

Seorang pemuda yatim Arab merayu berkali-kali untuk ikut berjuang di Palestine, akhirnya dengan keizinan ibunya, sedangkan dia menjadi tempat bergantung keluarga, pemuda itu gugur syahid..

Semoga memberi suntikan semangat kepada anak-anak muda kita di tahun baru ini..


Taklimat Pertama oleh Saudara Norazman, Ketua Biro Pemuda Haluan :

Tiada lagi hijrah selepas pembukaan Kota Makkah melainkan niat untuk berjihad..

Sewaktu demonstrasi yang disertai oleh 45 NGO hendak menyerahkan memorandum, mereka disuruh menyerahkannya kepada security sahaja..alangkah angkuhnya Amerika..

Darah-darah orang Islam lebih murah daripada darah binatang sembelihan..

Daripada hadis Nabi :
..mereka ada di sekitar Baitul Maqdis, golongan yang sentiasa memperjuangkan kebenaran..sentiasa berlaku pertembungan..sehingga Allah memberi kemenangan kepada orang Islam.. sehingga orang Yahudi bersembunyi di sebalik pokok-pokok dan batu-batu, sehingga pokok-pokok dan batu-batu berkata,"Hai orang Islam, inilah orang Yahudi sedang bersembunyi, marilah menangkap mereka..

Siri 1 : Mari Mengenal Musuh Kita
Siapa Yahudi???
Pegangan mereka :
Mereka umat terpilih, orang lain kena tunduk kepada mereka.

Taurat > Talmut > Kabbala > Protokol Zionis
Kejam > Makin kejam > Semakin kejam
Menghalalkan segala kezaliman kepada manusia.

Di dalam kitab mereka, Israel bertanya kepada Tuhannya,"Mengapa Engkau mencipta manusia lain selain Yahudi?" Tuhan menjawab,"Agar kamu boleh menunggang mereka, mengotorkan apa yang suci, merobohkan apa yang dibina.."

Yahudi menghina agama-agama lain termasuk Islam dan Kristian..
Pada mereka, orang bukan Yahudi adalah separuh manusia dan separuh binatang dan boleh dibunuh..

Daripada Taurat ;
Jika Yahudi berkumpul di satu tempat, maka akan berlaku kemusnahan kepada dunia..

Oleh sebab itu golongan kanan (rabai-rabai) menentang keganasan Zionis. Mereka tidak mahu Yahudi berkumpul di Israel kerana meyakini ayat daripada kitab Taurat di atas.

9 Perkara/Kewajipan Kita
1. Wajib tahu dan faham isu Palestine
Perang dunia pertama, kedua dan ketiga?, semuanya ada kaitan dengan Zionis..
Semua presiden Amerika adalah free mason kecuali Abraham Lincoln, Obama tak tahu lagi?.. Sebab itu walaupun rakyat mereka sendiri menentang tetapi bantuan tetap disalurkan kerana mereka adalah jentera Zionis..

2. Bantuan kewangan
Amat diperlukan. Melalui bank tidak akan sampai sebab Zionis dah 'freeze'kan..Bantuan yang boleh sampai adalah melalui NGO atau jalan belakang..

3. Bantuan perubatan dan sukarelawan
Beberapa NGO bergabung, government dan non government, politik walaupun di parti mana, muslim dan non muslim..

4. Penulisan
Supaya yang boleh menulis, tulislah..dalam bentuk mudah dan senang difahami..

5. Boikot produk-produk yang sepatutnya diboikot

6. Sampaikan/Sebarkan
Menyampaikan/menyebarkan kepada semua/yang lain..

8. Sentiasa berdoa dan bermunajat
Agar Zionis dihapuskan/ditewaskan..
Agar saudara-saudara kita di sana terus bersabar..

9. Hindari kehidupan bermewah
Kerana ia menjadikan hati kita keras dan buta..langsung tidak peka dengan permasalahan saudara-saudara kita..

9. Dekatkan hati dengan Allah
Agar kita dapat rasakan keperitan saudara-saudara kita di Palestine..

Akhirnya. Perbaikilah iman kita kepada Allah. Perbaiki niat kita. Marilah kita menyayangi saudara-saudara kita di Palestin.

(Catatan di atas hanyalah sekadar salinan daripada buku nota kecil saya. Mungkin ada yang tersilap dan tercicir .. Oleh itu maafkanlah saya..)