Thursday, August 28, 2008

Variety Masak Kicap

A/ Masak Kicap Bodo
Resepi ini adalah resepi masak kicap yang paling ringkas yang dimasak oleh keluarga saya, biasanya menggunakan ikan selar, selar kuning mahupun kembong. Kuah masak kicap ini agak banyak dan cair.

Bahan-bahan
2-3 ekor ikan selar
1/2 inci kunyit hidup
sedikit garam buku
secukup minyak masak untuk menggoreng
2-3 ulas bawang putih
1/2 - 1 inci halia
secukup air untuk kuah
sedikit air asam jawa
sedikit kicap
1-2 biji cili hidup, jika suka
1/4 - 1/2 labu bawang besar, jika suka

Cara-cara
1. Buang perut ikan, bersihkan dan kelar, ketepikan.
2. Kikis kulit kunyit, bersihkan dan tumbuk dengan garam buku.
3. Lumurkan ikan dengan garamkunyit, perapkan sebentar.
4. Kupas bawang putih, halia dan bawang besar, hiriskan.
5. Bersihkan cili hidup dan dibelah dua.
6. Panaskan kuali dengan api sederhana dan masukkan minyak masak secukupnya.
7. Goreng ikan yang diperap tadi sehingga garing atau separuh garing, ikut suka.
8. Angkat ikan dan ketepikan.
9. Keluarkan lebihan minyak sehingga tinggal sedikit sahaja, lebih kurang 1 sudu kecil/besar di dalam kuali.
10. Tumis bawang putih dan halia yang telah dihiris sehingga berbau wangi, tidak perlu terlampau garing.
11. Masukkan air secukupnya, air asam jawa dan kicap, biarkan mendidih.
12. Masukkan ikan yang telah digoreng tadi, belahan cili hidup dan hirisan bawang besar, biarkan sehingga layu.
13. Tutup api, angkat dan siap untuk dihidang.

B/ Masak Kicap Cerdik
Saya namakannya masak kicap cerdik untuk membezakan dengan resepi pertama di atas. Biasanya keluarga saya menggunakan ikan tenggiri, ikan selar kuning mahupun daging lembu untuk resepi ini. Ini juga jenis resepi yang banyak kuah dan tidak pekat. Berbeza dengan jenis masak kicap lain, resepi ini tidak menggunakan minyak masak untuk menggoreng terlebih dahulu atau pun menumis bahan.

Bahan-bahan
2 keping ikan tenggiri
1/2 inci kunyit hidup
1/2 inci halia
2-3 ulas bawang putih
4-5 ulas bawang merah
2-3 biji cili kering
secukup air untuk kuah
sedikit garam
sedikit air asam jawa
sedikit kicap
1-2 biji cili hidup, jika suka
1/2 labu bawang besar, jika suka

Cara-cara
1. Bersihkan kepingan ikan tenggiri, ketepikan.
2. Kikis kulit kunyit dan halia, kupas bawang putih dan merah, potong cili kering, bersihkan dan blend kesemua bahan ini.
3. Bersihkan cili hidup dan dibelah dua, kupas bawang besar dan dihiris bulat atau separuh bulat.
4. Masukkan bahan blend ke dalam periuk, tambahkan air secukupnya bersama sedikit garam, air asam jawa dan kicap, didihkan di atas api sederhana.
5. Masukkan ikan dan biarkan sehingga masak.
6. Masukkan belahan cili hidup dan hirisan bawang besar yang dibiarkan sehingga layu sebelum diangkat.
7. Siap untuk dihidang.

C/ Masak Kicap Mak Wan
Mak Wan menunjukkan saya cara-cara memasak masakan ini, di samping resepi lain semasa suami saya membawa saya berziarah ke rumahnya masa mula-mula kahwin dulu. Mak Wan memang pakar masak dan sekarang ini bersama suami dan anak perempuannya menguruskan perniagaan restoran. Bahan-bahan dan cara-cara untuk resepi ini lebih kurang sama dengan resepi yang pertama di atas cuma Mak Wan menumbuk bawang putih dan halia serta menggunakan hirisan daun sup dan daun bawang sebagai hiasan menggantikan hirisan cili hidup dan bawang besar. Kuah untuk resepi ini juga tidak sebanyak dan secair resepi yang pertama dan kedua.

Bahan-bahan
4-5 ketul ayam
sedikit garam
sedikit serbuk kunyit
secukup minyak masak
3-4 ulas bawang putih
3/4 inci halia
sedikit air
sedikit air asam jawa
sedikit kicap
sedikit hirisan daun sup
sedikit hirisan daun bawang

Cara-cara
1. Bersihkan ketulan ayam dan diperap dengan garam kunyit, ketepikan.
2. Kupas bawang putih dan halia dan ditumbuk halus.
3. Panaskan kuali dan masukkan minyak masak secukupnya, di atas api sederhana.
4. Goreng ketulan ayam sehingga masak atau separuh masak, ikut suka.
5. Angkat dan ketepikan.
6. Keluarkan lebihan minyak dan tinggalkan sedikit, dalam 1 - 2 sudu besar, untuk menumis.
7. Tumis bawang putih dan halia yang telah ditumbuk sehingga berbau wangi.
8. Masukkan sedikit air, air asam jawa dan kicap, didihkan.
9. Masukkan ketulan ayam yang telah digoreng, biarkan sebentar.
10. Angkat dan hidangkan dengan taburan hirisan daun sup dan daun bawang.

D/ Masak Kicap Rencah Rasa
Resepi ini pula saya ambil dan ubahsuai mengikut cara saya daripada sebuah majalah masakan yang dibeli bersama suami semasa mula-mula kahwin dulu. Kuahnya tidak banyak dan kepekatannya sederhana, lebih kurang kepekatan kuah di resepi C/ di atas juga.

Bahan-bahan
1/2 kilo sotong
sedikit garam
sedikit serbuk kunyit
sedikit minyak masak
4-5 ulas bawang putih
1 inci halia
sedikit air
sedikit cuka
sedikit kicap
1-2 biji cili hidup
1 labu bawang besar

Cara-cara
1. Tanggalkan kepala sotong, buang mata, perut dan dakwatnya, bersihkan.
2. Gunting badan sotong agar ia terbelah membentuk kepingan bentuk segitiga layang-layang.
3. Kelarkan kepingan sotong secara menyilang luar dan dalam.
4. Perapkan dengan garam dan kunyit, ketepikan.
5. Kupas bawang putih dan dititik manakala halia dikikis kulitnya dan dihiris, ketepikan.
6. Bersihkan cili hidup dan dibelah dua.
7. Kupas bawang besar dan dihiris bulat atau separuh bulat, ikut suka.
8. Panaskan minyak masak di dalam kuali di atas api sederhana.
9. Goreng sotong sehingga masak atau separuh masak, angkat dan ketepikan.
10. Keluarkan lebihan minyak dari kuali dan tinggalkan lebih kurang 1-2 sudu besar untuk menumis.
11. Tumiskan bawang putih dan halia sehingga berbau wangi.
12. Masukkan sedikit air, cuka dan kicap, biarkan mendidih.
13. Masukkan sotong dan gaul rata.
14. Masukkan belahan cili hidup dan hirisan bawang besar, gaul rata, jangan dibiarkan layu.
15. Angkat dan hidangkan.


E/ Masak Kicap Daging Goreng Saya
Sebenarnya resepi ini terjadi secara kebetulan saja semasa saya sedang menggoreng daging untuk hidangan keluarga, anak sulong kami mengesyorkan saya memasukkan kicap dan air asam jawa.

Bahan-bahan
300 g daging
sedikit garam halus atau buku
1/2 inci kunyit hidup
1/2 inci halia
sedikit minyak masak
sedikit air asam jawa
sedikit kicap
belahan cili hidup atau hirisan cili kering
hirisan bawang besar dan/atau hirisan bawang putih

Cara-cara
1. Hiris daging kepada kepingan-kepingan nipis, bersihkan dan tos.
2. Kikis kulit kunyit dan halia, bersihkan dan tumbuk halus bersama sedikit garam.
3. Perap daging dengan garam, kunyit dan halia yang telah ditumbuk tadi, ketepikan seketika.
4. Masukkan daging ke dalam kuali dan jerangkan di atas api sederhana sehingga kering airnya.
5. Masukkan sedikit minyak masak dan kacau-kacau daging di dalam kuali sehingga separuh garing.
6. Masukkan sedikit air asam jawa dan kicap, kacau rata.
7. Masukkan belahan cili hidup atau hirisan cili kering berserta hirisan bawang besar dan/atau hirisan bawang putih, kacau rata dan dibiarkan rangup.
8. Angkat dan siap untuk dihidangkan.

F/ Masak Kicap Kering
Resepi ini pula terjadi secara tak sengaja juga kerana saya terlalai dan kuah masak kicap saya menjadi kering. Bahan-bahan dan cara-caranya lebih kurang sama juga dengan resepi-resepi di atas, cuma selepas saya menumis bahan tumbuk iaitu bawang putih dan halia, memasukkan sedikit air, air asam jawa dan kicap serta memasukkan ikan kembung goreng, saya terghalit sekejap dan kuah kicap saya menjadi kering meninggalkan ikan goreng tersalut bahan-bahan lain tetapi disebabkan nak cepat saya teruskan juga dengan memasukkan hirisan bawang besar dan cili yang dibiarkan rangup dan menghidangkannya sehingga suami saya bertanya, ini masak apa?, tetapi saya tahu dia suka akan hasilnya. Saya hanya tersenyum menerangkan insiden yang terjadi.

G/ Masak Kicap Kombinasi 1 - Ala Masak Paprik
Idea ini saya perolehi apabila saya teringatkan anak saudara saya Kak Long, yang masih di bangku sekolah pada masa itu, datang bercuti di rumah saya bersama dua adik perempuannya, Raihan dan Nani. Apabila saya hidangkan ikan kembung masak kicap dan menanyakan Kak Long bagaimana mamanya memasak masakan ini, Kak Long kata, Ma masak guna ikan kembong besar dan masuk sos tomato, walau bagaimanapun, Kak Long tidak tahu secara terperinci bagaimana mamanya memasaknya. Kemudiannya, saya terfikir untuk menggabungkan masak kicap dan goreng sambal dengan sedikit pengubahasuaian yang menghasilkan ala-ala masak paprik pula. Kali ini saya menggunakan telur, menggunakan ikan pun sedap juga.

Bahan-bahan
2-3 biji telur ayam
sedikit minyak masak
2-3 ulas bawang putih
1 sudu besar cili giling
sedikit kicap
sedikit sos tomato
1-2 biji cili hidup
1/2 labu bawang besar

Cara-cara
1. Basuh kulit telur di bawah air paip sehingga bersih.
2. Panaskan kuali dan masukkan sedikit minyak.
3. Pecahkan telur dan goreng mata kerbau, ketepikan.
4. Kupas bawang putih dan tumbuk pecah dua tiga.
5. Bersihkan cili hidup, belah dua atau empat atau hiris.
6. Kupas bawang besar dan hiris nipis, bulat atau separuh bulat.
7. Tumiskan bawang putih di dalam sedikit minyak sederhana panas.
8. Masukkan cili giling dan kacau sehingga masak.
9. Tambahkan sedikit kicap dan sos tomato, gaul rata.
10. Masukkan telur goreng mata kerbau tadi bersama belahan cili hidup dan hirisan bawang besar, kacau rata.
11. Angkat dan sedia untuk dihidang.

Untuk lebih real lagi, kalau suka, masukkan potongan kacang panjang, kobis bunga, buah tomato, cili api dll sayuran yang sesuai semasa tatacara no. 10. Kalau guna potongan kecil daging ayam dan daging lembu pun sedap, begitu juga potongan cincin sotong dan udang, baru betul-betul jadi ala masak paprik.

H/ Masak Kicap Kombinasi 2 - Ala Masak Lada Hitam
Idea ini pula saya perolehi apabila dah tak tahu nak masak apa untuk anak sulong kami yang sedang dalam pantang semasa melahirkan anak pertama. Jadi saya buat kombinasi masak kicap dan masak lada hitam, dengan menambahkan sedikit serbuk lada hitam ke dalam resepi E/ di atas semasa memasukkan air asam jawa dan kicap di tatacara no. 6. Kalau tak nak guna minyak masak pun boleh, dan boleh skip juga perahan air asam jawa. Boleh pula ganti serbuk lada hitam dengan serbuk lada putih, ikut kesukaan.

I/ Masak Kicap Kombinasi 3 - Gabungan dengan Masak Sambal Goreng
Idea ini pula saya perolehi apabila memikirkan anak-anak kami suka makan nasi dengan kicap walau apa pun lauk yang dimakan bersama hinggakan makan nasi lemak pun ditaruk kicap apatah lagi kalau makan nasi berlaukkan masak sambal goreng. Jadi untuk memudahkan, saya gabung terus masak sambal goreng dengan masak kicap, caranya dengan menambahkan kicap ke dalam sambal goreng yang sedang dimasak, ataupun sekiranya ada lebihan sambal goreng di rumah lagi mudah bagi saya untuk memasukkannya ke dalam ikan, ayam maupun telur goreng bersama sedikit kicap dan dihias dengan hirisan bawang besar dan cili hidup, mahupun cili benggala, yang dikacau sebentar di atas api.

J/ Ikan Bilis dan Kobis Goreng Berkicap
Resepi ini selalu saya masak apabila saya keseorangan, kelaparan dan malas nak masak. Saya menggunakan kesemua atau sebahagian daripada bahan-bahan di bawah sesuka hati saya.

Bahan-bahan
1 genggam ikan bilis
1-2 ulas bawang putih
1/4 - 1/2 labu bawang besar
1 biji cili hidup/kering
1 genggam potongan kobis
1/2 senduk kicap
1/2 senduk minyak masak

Cara-cara
1. Bersihkan ikan bilis dan toskan.
2. Kupas bawang putih dan besar, hiriskan.
3. Bersihkan cili dan potong ikut suka.
4. Panaskan minyak dan goreng ikan bilis hingga separuh garing.
5. Masukkan bawang putih dan besar dan juga potongan cili, kacau sebentar.
6. Masukkan kobis dan kacau sebentar.
7. Masukkan kicap dan kacau rata, semua dibiarkan rangup.
8. Angkat dan sedia untuk dimakan dengan nasi putih.

Rumusan saya
Pada saya, masak kicap adalah jenis masakan yang mudah dan digemari ramai juga, terutamanya anak-anak. Walau bagaimanapun cara orang memasaknya, pada asasnya bahan-bahan dan cara-caranya adalah sama, cuma ada sedikit sebanyak pengubahsuaian dari segi;
1. Digoreng garing atau separuh garing, ikan, ayam, daging dan sotongnya.
2. Dihiris atau ditumbuk, bawang putih dan halianya.
3. Sedikit atau agak banyak, jumlah minyak yang digunakan untuk menumis bahan asasnya.
4. Sedikit atau agak banyak, jumlah kuahnya.
5. Cair atau agak pekat, kepekatan kuahnya.
6. Tidak ditambah atau ditambah gula untuk rasa yang lebih manis, tertakluk juga kepada jenis kicap yang digunakan.
7. Tidak divariasikan atau divariasikan dengan menambah cili kisar, sos tomato atau serbuk lada hitam/putih, mengikut kesukaan, untuk kelainannya.
8. Layu atau rangup, hirisan bawang besar dan cilinya.
9. Dimasukkan ke dalam masakan sebelum diangkat dari api atau ditabur ke atas masakan semasa menghidang, bahan opsyenal atau hiasannya.
10. Tidak dimasukkan atau dimasukkan bahan opsyenal atau hiasannya.
11. Bahan hiasan atau opsyenalnya terdiri daripada samada ;
a. belahan/hirisan cili besar, merah atau hijau dan hirisan bawang besar, bulat/separuh bulat
b. atau hirisan daun sup dan daun bawang
c. ataupun hirisan cili kering, halia dan bawang putih
d. atau juga belahan/hirisan cili benggala dan/atau buah tomato
e. atau lain-lain lagi

Selalunya ikan, ayam, daging, sotong dan telur boleh dimasak menggunakan kesemua bahan-bahan dan cara-cara di atas. Cuma saya tak pernah jumpa orang masak kicap udang, ketam atau kerang..

10 comments:

nida said...

sokmo dok masak ala bodo tula, tapi try ubah macam2 jugakla supaya x cair sgt. ida perasan kalau blend bawang, kuah pekat sikit banding hiris.

Masak kicap ala lada hitam pernah gak buat dan digemari suami. Ida lebih suka guna daging kalu masak lada hitam ni. Kes ralit cam cyla, terkering kuah, pastu nak 'susut' kesilapan, tambahkan black pepper.

Nak tryla resepi yg cy kasi tu...

byk gak kes main campak2 dan turn out to be sedap kata my hubby. pastu next time buat tak jadi dah...frust betoi!

Ibu WA Alim said...

Nak dgr Ida komen umi buat mcm mana dan Ida sendiri buat mcm mana..
Masak kicap bodo tu dulu Cy makan Ida buat masa Ida masih single kat rumah umi, Cy kata sedap, Ida buat lagu mana, ingat lagi tak?
Mmg betol tu..guna daging lbh sedap untuk masak ala lada hitam..
Kuah tu dah mmg sikit..mmg sekejap je blh kering..sambil2 kita gi kupas dan mayang bawang besar tu je..
Resepi mana yg nak try tu..?
Kes kali pertama jadi..kali seterusnya tak jadi tu..biasa juga bg Cy..
Da..awalnya blogging hari ni..? Lama pulak tu tak nampak btg hidung?

nida said...

cam cy tulis tula cuma kalau cik nun letak sos tomato, umi letak buah tomato, umi kata untuk memekatkan kuah, pastu letak bawang besar yg warna putih banyak2.

ha?! memang lupala cy, tak ingat langsung bila cy penah mkn masakan ida. yg ida ingat balik uk skil masak okla...tapi sejak kawin rasa rendah diri pasal masak2 ni... maklumla hubby anak tukang masak pro..

ida kalau masak kicap guna ikan bawal yg bersaiz kecil sebab ikan bawal ada rasa manisnya sendiri, jgn beli yg saiz besar mmg tak sedap, saiz kecil mmg sedap kalu buat masak kicap...

ingat nak try resepi mak wan dan resepi2 cy tu, resepi mak wan teruja sbb letak daun sup, nak taula jgk camne rasanya..

ida buat telur kicap ikut stail MIL yg simple jer..tapi nak tryla cara cy tu...

hubby balik hujung minggu, pastu gi balik s'pore esok, (3 minggu lagi kursus kat sana)lepas masak b/fast n makan terus masuk blog, rindu byk hari x masuk sbb internet down beb hari...

Ibu WA Alim said...

Cy letak juga buah tomato ni kdg2..tgk ada ke takde kat rumah je..tp kalu masak ala paprik sedap sgtlah kalu bubuh buah tomato tu..apatah lagi kalu nak memekatkan kuah kari yg tak taruk santan tu..
Buah tomato kalu utk pekatkan kuah letak awal2 semasa letak air dan air asam jawa tu..sbb nanti ia akan hancur dan larut dlm kuah..tp kalu nak dia segar bugar dan cantik, letak last2..masa letak hirisan bawang besar besar dan cili tu..
Cy pun keluarga hubby pandai masak..cuma dia org jarang masak ssolek..Cy mmg tak berani masak kat rumah kakak ipar..takut kalu terkrg apa2..rasanya taste dia org very sharp..
Cy tak pernah masak kicap guna ikan bawal..sbb huby lbh suka ikan bawal goreng kosong..tabur sikit bawang besar dan cili kering goreng ataupun tambah lagi dgn hirisan halia dan bawang putih goreng..anak2 pula lbh suka bawal masak masam manis..tp Cy sendiri suka juga bawal goreng sambal..
Kalu Ida dah cuba dgn daun sup, lain kali blh try daun ketumbar pula..tp sisihkan bhg anak2..takut dia org tak makan nanti..kita ni tentu makan sbb dah jemu dgn rasa yg biasa2..terutama bg yg suka pembaharuan rasa..
Sbnrnya combine masak sambal goreng dgn masak kicap ni sedap..juga ala2 paprik..
Balik celebrate merdeka ke hubby Da tu..? Berpuasa d S'pore lama jugalah dia..
Anyway Cy ucapkan Ramadhan Mubarrak utk Ida sekeluarga dan semua yg lain..

cekna said...

Selamat berpuasa.sy rasa saya masak kicap ikan lg masak kicap bodo. utk anak2.tumis bwg merah dan bwg putih saja.pah tu boh kicap manis.raya nanti balik ko?

Ibu WA Alim said...

Selamat menyambut Ramadhan kembali. Tak tau lagi nak rraya mmana..kemungkinan besar d Kl je..
Tq for visiting..

Mohammad said...

Ramadahan kareem uk IWA & famili...moga Ramadhan in yg terbaik berbanding sebelum ni.

M tak sihat ye...lelah. Dah banyak hari. Sebelum ni tak pernah kena lelah. Moga Alah swt berikan beliau kekuatan & kesabaran. Doa moga M lekas sembuh.

Ibu WA Alim said...

IWA ada telefon dia tgh hari semlm dan baru tahu ttg demam, batuk dan lelahnya itu..katanya, semlm, dah 12 hari..dah sedut ubat pun tak jadi apa..tp dia tetap berpuasa..
Amin..dan InsyaAllah..
Moga Allah buka pintu rahmatNya buat kita semua..

Ummu Auni said...

IWA, terima kasih atas resepi2 ni...M tak sihat ke?

Ibu WA Alim said...

Ya, Aini..Cy dah beritahu maksu tgh hari semlm dan ayah/umi pd ptgnya..
Tlg doakan M sihat sentiasa ya..dan kuat dan sabar..