Friday, June 20, 2008

Masalah Kesuburan : Fertility oh Fertility

Saya dulu mengambil masa yang agak lama untuk mengandung, genap-genap 5 tahun selepas berkahwin..Sebelum itu, suami ada bertanya, beberapa kali, awak nak anak ke tidak?, kerana dia sendiri sudah mempunyai 7 orang anak sebelum berkahwin dengan saya..Sukar juga untuk saya jawab soalan ini, jadi saya hanya membiarkan takdir yang menentukan..Sehinggalah kami mengambil beberapa usaha, setelah 4 tahun lebih berkahwin, saya telah berkahwin pada February 1996, antaranya makan telur ayam kampung, urut perut, urut kaki, urut badan dan mendapatkan nasihat doktor.. Semua itu dilakukan dalam tahun 2000, rasanya..
Telur ayam kampung, dibekalkan oleh Kak Che Ma, kakak suami saya, semasa kami balik bercuti di rumahnya di Kedah, sebanyak 40 biji semuanya! Bila balik semula ke Kuala Lumpur, pening kepala juga memikirkan untuk menghabiskannya.. kerana risau takut terbazir nanti lantaran telur-telur itu mudah rosak, suami mengesyorkan saya goreng saja telur-telur itu untuk dimakan dengan nasi untuk hidangan kami sekeluarga! Begitulah antara caranya bagaimana kami menghabiskan telur-telur itu. Ini rasanya berlaku dalam bulan Disember tahun 2000.
Urut perut saya lakukan dengan Kak Ani, kawan saya yang memang pandai dalam hal urut-mengurut, setelah disyorkan oleh beberapa kawan yang lain. Kami telah membuat temujanji dengan Kak Ani dan datang ke rumahnya seperti yang ditetapkan dengan membawa 3 biji kelapa muda. Bahan lain, iaitu pokok dokong anak, Kak Ani yang sediakan. Kak Ani mengurut ringan perut saya sambil menjampi dengan ayat-ayat daripada al Quran. Saya sudah lupa apa yang kami buat dengan pokok dokong anak itu, tetapi rasanya Kak Ani telah merendamnya dengan air kelapa muda untuk buah yang pertama untuk diminum oleh saya di rumahnya pada waktu itu juga. Kelapa muda yang dua biji lagi itu pula untuk diminum airnya untuk 2 hari yang berikutnya, berturut-turut. Katanya, air kelapa boleh merendahkan peranakan, oleh sebab itu, wanita yang baru lepas bersalin tidak digalakkan meminumnya. Kak Ani mengesyorkan pula saya membuat urutan kaki atau refleksologi dengan seorang kawan yang lain. Urutan ini saya lakukan mungkin di pertengahan tahun 2000, antara bulan Jun ke Ogos mungkin..
Urut kaki ini pula saya buat dengan Kak Tu', seorang kawan saya yang lain, seperti disyorkan oleh Kak Ani. Kami membuat temujanji dan datang ke rumah Kak Tu' seperti ditetapkan. Kak Tu' mengurut tapak kaki dan 'kkura' kaki saya, menggunakan jari-jari tangannya dan sebatang kayu sepanjang lebih kurang 4 inci dan garispusatnya lebih besar sedikit daripada duit syiling 10 sen, dengan saya duduk di kerusi dan Kak Tu' duduk di lantai. Sakitnya, sampai urat perut saya terasa sakit kerana saya 'menggeleding' menahan urutan itu. Kami mengulangi datang untuk urutan ini sebanyak 2 kali lagi menjadikan 3 kali urutan kesemuanya.
Urut badan pula saya lakukan di sebuah pusat refleksologi di bangunan pejabat suami saya, kebetulan semasa saya mengikutinya ke sana. Suami saya menawarkan saya membuat refleksologi kaki di situ untuk membandingkan dengan urutan yang telah dibuat oleh Kak Tu' tetapi saya memilih untuk membuat urutan seluruh badan. Sebenarnya tenaga pengurut di pusat ini semuanya terdiri daripada orang kurang upaya. Saya telah meminta perkhidmatan urut seluruh badan tetapi memberitahu kakak yang mengurut saya, "Kak dah hampir 5 tahun saya kahwin tetapi masih belum mengandung". Kakak yang cacat penglihatan itu diam sahaja dan terus mengurut badan saya. Urutannya tidaklah sekuat mana, orangnya pun kurus sahaja, berbanding dengan tubuh saya yang besar ini. Urut badan ini saya lakukan mungkin di bulan Disember 2000 atau Januari 2001..
Nasihat doktor saya dapatkan daripada Dr. Kadir, bapa saudara kepada seorang kawan suami saya. Kawan suami saya ini mengesyorkan suami saya membawa saya membuat 'Best Test' dengan bapa saudaranya yang baru membawa masuk teknologi Uzbekistan di kliniknya. Kawan suami saya ini membuat temujanji untuk kami dan kami telah ke klinik Dr. Kadir seperti yang ditetapkan. Apabila berjumpa Dr. Kadir, rupanya beliau tidak perasan bahawa temujanji yang dibuat itu adalah untuk ujian fertiliti, oleh itu ujian tidak dapat dijalankan pada hari tersebut kerana tiada persiapan telah dibuat dan masa yang tidak mencukupi. Temujanji kami itu pada pukul 5 lebih petang. Untuk tidak menghampakan kami, Dr. Kadir telah memberikan kami beberapa nasihat mengenai kesuburan dan menyuruh kami mencubanya untuk selama sebulan. Katanya, kalau 4 tahun kami boleh tunggu takkan sebulan lagi tak boleh..
Dr. Kadir memulai sessi konsultansi kami dengan bertanyakan soalan : "Percaya atau tidak jika saya katakan masalah kesuburan berkaitan dengan pemakanan?." Sebelum itu, suami saya memberitahu, dia tidak bermasalah kerana allahyarham isteri pertama telah melahirkan 7 orang anak-anaknya, tetapi Dr. Kadir menjawab, "Tidak semestinya". Nasihat Dr. Kadir kepada kami pada hari itu berkisar tentang pemakanan. Sambil mengkonsultasi, Dr. Kadir bertanya saya, "Boleh ingat ke? Tak catit ke?". Saya memang tidak bersedia dengan alat tulis. Kemudian saya bertanya, "Tip-tip ini untuk diamalkan oleh siapa? Saya atau kami berdua?". Dr. Kadir menjawab, "For you (sambil memandang saya) and you (sambil memandang suami saya) and your kids". Sebelum sempat kami bertanya lagi, Dr. Kadir meneruskan, "Kalau tidak nanti saya kena selesaikan masalah mereka pula".
Antara tipsnya :
1. Jangan makan ayam, tetapi boleh makan ayam kampung..
2. Jangan makan daging lembu, tetapi boleh makan daging kambing..
3. Jangan makan telur, tetapi telur ayam kampung boleh..
4. Jangan makan/minum susu dan semua hasil produk yang memasukkan susu ke dalamnya seperti roti Gardenia, roti canai, biskut, kek dan lain lain produk yang memasukkan susu sebagai bahannya.
5. Jangan makan/minum makanan/minuman sejuk sebaik saja ia dikeluarkan daripada peti sejuk seperti ais, lain-lain minuman, buah-buahan, sayur-sayuran dan lain lain. Biarkan ia sehingga mencapai suhu bilik baru boleh dimakan/diminum.
6. Jangan makan makanan yang dibungkus dengan plastik kerana bahan kimia daripada plastik menyerap masuk ke dalam makanan dan tidak dapat dikeluarkan walaupun dengan membasuh ataupun memasaknya contohnya ikan/daging/ayam/udang/sotong/buah-buahan/sayur-sayuran yang siap di'pack' yang dijual di pasaraya-pasaraya.
7. Minum teh hijau 2 kali sehari. 1 uncang boleh digunakan untuk 2 kali celupan dan uncang yang sudah digunakan boleh disimpan di dalam peti sejuk dan digunakan untuk dilekapkan pada mata untuk kesihatan dan kesegaran mata.
8. Minum air halia, caranya, ketuk 1/2 inci halia dan masukan ke dalam secawan kopi yang panas. Air halia, kata Dr. Kadir, boleh mencuci lendir-lendir dalam badan.
9. Minum jus bawang putih, caranya, perah 1-2 ulas bawang putih, dicampur dengan sedikit madu dan diminum. Tidak boleh diminum terus tanpa dicampur kerana lidah boleh terbakar dek kepanasan bawang putih ini. "Bawang putih adalah antibiotik semulajadi", kata Dr. Kadir. Kalau tidak mahu meminum jusnya boleh juga memakan bawang putih mentah dengan mencampurkan 2 atau 3 ulas ke dalam kerabu, sambal dan sebagainya. Sebenarnya, yang ini khusus untuk masalah suami saya, yang menghadapi masalah UTI semasa itu.
10. Minum jus cranberry, ada dijual di pasaraya. Ini pun untuk masalah UTI suami saya.
Rasa macam ada satu lagi tip, tapi saya sudah lupa apa dia, tetapi mungkin juga itu saja, maklumlah ini memori pada bulan Ogos atau September 2000 dan sudah bercampur dengan masalah UTI pula.
Saya rasa Dr. Kadir adalah seorang pengamal perubatan bersepadu yang menggabungkan kaedah rawatan perubatan moden dan penggunaan 'supplement' kerana sebelum pulang, saya telah dipreskripsikan dengan spirulina dan vitamin D. Tetapi, maaflah kerana saya telah tidak memakan kedua-duanya, kerana saya merasa ragu apabila membaca ada kandungan gelatin dalam Vitamin D yang diberi itu, tetapi nasihat-nasihatnya kami ikut dengan 'strict' selama sebulan dan dengan tidak se'strict' mana pada 2 bulan yang berikutnya. Walaupun Dr. Kadir mengesyorkan kami mencuba anjurannya selama sebulan sahaja tetapi saya memilih untuk mencubanya selama 3 bulan dan memutuskan untuk membuat best test itu selepas raya puasa pada tahun itu, iaitu sebaik saja selepas tempoh 3 bulan itu tamat. Selepas raya, sebulan dalam bulan Syawal, yang jatuh pada bulan Disember pada tahun itu, kami sibuk beraya, berpuasa Syawal dan mengganti puasa Ramadhan, perjumpaan dengan Dr. Kadir telah tidak disegerakan. Tetapi, dengan izin Allah saya telah mengandung pada hujung Januari/awal Februari 2001 dan selamat melahirkan seorang putera pada awal November 2001, Alhamdulillah.
Idea menggabungkan beberapa rawatan secara serentak pada satu masa saya perolehi apabila melihat, sebelum ini, adik saya Ana telah mencuba 3 kaedah secara serentak juga sebelum mengandungkan anak pertamanya. Adik saya telah memakan telur ayam kampung yang telah ditulis dengan doa daripada ayat Al Quran pada kulitnya, mengurut juga dan memakan set wanita Amway. Apabila ditanya, Ana menjawab, dia tidak tahu mana satu daripada kaedah-kaedah tersebut yang sebenarnya mendatangkan hasil, mungkin juga ketiga-tiganya sekali, dengan izin Tuhan Yang Maha Mencipta. Allah Al Khalik! Agaknya sebab itulah juga anak saya mendapat nama gelarnya, Chika..Che Khalik, hasil penangan Kak Long Yongnya.
Saya rasa jika kita mencuba satu kaedah pada satu masa dan lihat hasilnya, kemudian mencuba pula kaedah yang lain pada masa lain, dan lihat hasilnya lagi, kesannya lambat, seolah-olah kita sedang membuat ujikaji untuk melihat kaedah mana yang berkesan. Dengan mencuba beberapa kaedah secara serentak, memang kita tidak dapat mengetahui keberkesanan setiap satu kaedah, tetapi kita mungkin telah memaksimakan peluang keberhasilannya.
Sebenarnya juga, ujian itu tidak menjadi segera kerana suami saya keberatan untuk membenarkan saya menjalani ujian tersebut. Ini saya ketahui dalam menunggu saat-saat untuk berjumpa semula Dr. Kadir selepas perjumpaan pertama itu apabila saya bertanya kepadanya. Katanya, memanglah sukar untuk membenarkan orang lain melihat aurat isteri.
Di awal mengandung dulu, apabila rakan-rakan mengetahuinya, ramai yang bertanyakan usaha kami termasuk seorang kawan yang banyak berusaha untuk mendapatkan zuriat seterusnya selepas hanya melahirkan satu-satunya anaknya. Apabila mengetahui pengalaman saya, dia mengulas, sebab saya taatkan suami, kerana tidak menjalani ujian tersebut. Beliau masih belum mendapat anak kedua sehingga ke hari saya menulis pengalaman ini. Saya rasa usaha yang dibuatnya dan juga ramai orang-orang lain termasuk adik perempuan bongsu saya dan seorang lagi kawan baik saya jauh lebih besar daripada usaha saya ini, namun menemui kegagalan!
Jadi apakah kesimpulannya? Kesimpulannya ialah kita hanya merancang dan berusaha ke arah apa yang kita rancang tetapi yang menentukannya ialah Allah swt. Dia menghendaki apa yang dikehendakiNya terhadap sesiapa yang dikehendaki. Tentulah ada hikmahNya. Kita sebagai hamba dikehendaki supaya tidak berputus asa.
Nota :
UTI ialah ringkasan untuk 'urinary tract infection' ataupun jangkitan saluran kencing, selalu dihidapi oleh kaum wanita tetapi boleh juga menyerang kaum lelaki dan dengan lebih teruk lagi. Selain meminum jus cranberry, air barli dan air lobak putih juga baik untuk membersihkan kencing kotor ini, sebagaimana diberitahu oleh beberapa kawan saya. Juga ubat/pil lawas kencing dari klinik ataupun hospital.
Kami anak beranak memakan selabu bawang putih yang diletakkan di atas wap nasi, tanpa dikupas, sebagaimana disyorkan oleh kawan suami saya. Sedap juga rasanya, lebih kurang seperti kita memakan ubi rebus, sebab itu anak-anak kami yang masih kecilpun turut memakannya.
Air halia juga boleh disediakan dengan mengetuk 2-3 inci halia dan dimasak bersama-sama dengan sedikit gula merah dan 1-2 gelas air, sehingga mendidih. Air halia digunakan secara traditional untuk membuang angin dalam badan bagi sesiapa yang mempunyai masalah angin dalam badan, walaupun terbaru, Dr. Halimah dari klinik panel keluarga kami memberitahu, halia boleh menyebabkan gastrik!

10 comments:

aida said...

oh menarik menarik.. boleh share dgn kawan-kawan aida yang ada maslaah kesuburan

Ibu WA Alim said...

Bagus juga tu..rasa berbaloi juga lah dok tercacak depan komputer ni..dptlah mencontohi plants for the planet tu wp sedikit..tk..ttp jgn terkejut jika dia org jwb, nanti nak makan apa..semua takleh makan..Cy pernah menerima jawapan ini semasa mengesyorkannya kpd CZe, MSt dan seorg kawan lain beb tahun dulu..Sbnrnya ada/byk yg blh dimakan.. don't give up!

nida said...

Minat betul ngan minum air halia tu. Buang lendir tu...buang lemak2 ke?

Ibu WA Alim said...

Entahlah..tak berani nak cakap..Umi dan ayah dah sampai ke?
Seorg tukang urut pernah kata kat Cy, percaya tak urut blg menguruskan badan? Kalulah senaman blh m'gantikan fungsi urut, agaknya sebaliknya blh berlaku juga kot..? Melumur minyak panas juga mungkin memberi kesan hampir sama..? Kira2 ganti sterika tu..? He..he..

Ummu Auni said...

ingatkan air halia kecutkan rahim, rupanya sebaliknya yer? boleh lah try
kut mana tahu lemak pun hilang, hehehe

Ummu Auni said...

Cy, menarik tang urut tu..kalau boleh kurus, hehehehe...lama dah tak mengurut ni. kat mana CY mengurut yer? biar rasa sedap sikit badan

Ibu WA Alim said...

Pasal kecutkan rahim atau sebaliknya Cy tak tau..yg Dr. K ckp hari tu..buang lendir..dan yg dah biasa diketahui ramai.. buang angin..
Cy biasa m'urut dgn se org tukang urut dekat dgn tmn Cy ni, Mak siti namanya, dia la yg kata m'urut blh kuruskan badan tu..yg ni kena pegi rumah dia..sblm ni Mak Siti charge Cy RM30.00/jam, ttp Cy kena bayar RM50.00 utk sekali urut/1 1/2 jam, skrg tak taula..dah lama tak m'urut..
Se org lg tukang urut yg Cy biasa, Kak Ani, kawan Cy kat Ulu Langat, blh dtg urut kat rumah dia dan blh juga dipanggil ke rumah kita tp milleage diambil kirala..Sblm ini Kak Ani charge Cy dan Munirah RM60/jam, d rumah kami, utk urut dan tungku sekali..

Metrobestmom said...

good sharing
www.metrobestmom.com

ibu wa alim said...

Tk irnawati mohd mydin..

Nurul said...

Untuk wanita yg baru kahwin dan nak mempunyai anak.. bole ye kita urut perut sebelum mengandung?