Ada pula kita terdengar keluhan isteri, suami buat hal.. dan macam-macam..
Di bawah adalah beberapa panduan yang pernah saya perolehi/dengari untuk ikutan bersama :-
1. (Ayat 200 daripada Surah Al Imran)
Yaaaa Ayyuhalladziina aamanuszbiruu waszaabiruu waraabithuu wattaqullaha la'a'llakum tuflihuuuun.
Maksud ayat :
Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiapsiaga (di perbatasan Negerimu) dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beruntung.Ayat terakhir daripada surah Al Imran ini hendaklah dibaca ketika memasak/menyediakan makanan dan dihembus ke dalam makanan tersebut bertujuan untuk melembutkan hati anak-anak, suami.. dsb. Doa ini diberi oleh kakak sulong saya beberapa tahun dahulu.
2. (Ayat 30-31 Surah AnNaml)
Innahuu min sulaimaana wainnahuu bismillaahirrahmaanirrahiiiim. Allaa ta'luu a'layya wa'tuunii muslimiiiin.
Maksud ayat :
Sesungguhnya surat itu, dari Sulaiman dan sesungguhnya (isi)nya : 'Dengan menyebut nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Bahawa janganlah kamu sekelian berlaku sombong terhadapku dan datanglah kepadaku sebagai orang-orang yang berserah diri".
Ayat ini dibaca dan dihembus ke muka atau ke arah orang yang dimaksudkan secara berdepan. Panduan ini diberi oleh kawan saya Kak SyajaraatulDur untuk mengatasi masalah anak-anak yang tidak mendengar kata, tidak hormat kepada ibubapa dsb dan boleh diamalkan terhadap suami. Hendaklah diingat, pesan Kak Syaja, sebelum diamalkan ayat ini kepada orang lain hendaklah diamalkan terhadap diri sendiri terlebih dahulu.
3. (Ayat 74 Surah Al Baqarah)
Tsumma qasat quluubukum min ba'di dzaalika fahia kaalhijaarati au asyaddu qaswah. Wa'inna minalhijaarati lamaa yatafajjaru minhul'anhaaaar. Wa'inna minha lamaa yasysyaqqaqu fayakhruju minhulmaaaa'. Wa'inna minha lamaa yahbithu min khasyyatillaaaah. Wamallaahu bighaafilin 'amma ta'maluuuun.
Maksud ayat :
Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu sungguh ada yang mengalir sungai-sungai daripadanya dan di antaranya sungguh ada yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya dan di antaranya sungguh ada yang meluncur jatuh, kerana takut kepada Allah. Dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang kamu kerjakan.
Ayat ini pula diperolehi daripada seorang ustaz yang mengajar di kelas tajwid di tempat saya. Ceritanya, ada seorang isteri mengadu suaminya tak balik-balik rumah, selepas ustaz bagi ayat ini dah balik dah. Caranya ialah dengan membaca ayat ini dan dihembus ke dalam minuman dan diberi minum orang yang dimaksudkan. Orang lain minum pun tak apa.
Ibu kawan saya yang berada dalam kelas tersebut mengajar ayat ini kepada anak perempuannya untuk diamalkan kepada cucu lelakinya yang tidak bertegur sapa dengan ibunya lantaran menegur perbuatannya yang suka keluar malam dan balik lewat dan berkawan dengan entah sapa-sapa. Kawan saya mengikut panduan ustaz tersebut iaitu dengan membaca ayat itu dan menghembus ke dalam minuman dan diberi minum anaknya itu. Di samping itu kawan saya juga mengikut panduan ibunya supaya membaca dan menghembuskan ayat ini sebelum anaknya bangun tidur, dihembus dari ubun-ubun ke belakang, jangan dari kepala ke bawah. Setelah diamalkan sedemikian, nampaklah ada perubahan, mula bertegur sapa..
Jika dilihat kepada maksud ayat yang pertama itu, seolah-olahnya ayat itu dimaksudkan kepada ibubapa agar bersabar dengan segala perlakuan anak-anak dan kepada isteri/suami agar bersabar dengan pasangan masing-masing dengan sabar yang sesabar-sabarnya. Waallahu a'lam.
Peringatan Daripada Saya :
Sesiapa yang ingin mengamalkan panduan ini hendaklah mengikhlaskan hati sebenar-benar kepada Allah swt. Janganlah berniat serong terhadap sesama manusia dan janganlah melakukan penganiaan terhadap sesama insan. Ingatlah bahawa Allah Maha Berkuasa terhadap segala perkara dan terhadap sesiapa sahaja. Dan ingatlah juga kehendak Allah mengatasi kehendak kita dan sudah semestinya ada hikmah di sebaliknya. Kepada Allah sahaja hendaknya kita berserah..6/7/2008
Mari kita perhatikan surah An Nasyrah,
Bismillaahirrahmaanirrahiiiim.
Maksudnya,
Bukankah Kami telah melapangkan untukmu dadamu?, dan Kami telah menghilangkan daripadamu bebanmu, yang memberatkan punggungmu? Dan Kami tinggalkan bagimu sebutan (nama) mu. Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain, dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap.
Saya bertanya kepada suami, katanya, surah ini dibaca agar Allah membuka dada anak-anak agar mudah mempelajari ilmu termasuk mendengar kata. Bukankah maksud An Nasyrah itu ialah Kami lapangkan..? 15/7/08
Kita sering bertanya-tanya,
bagaimana untuk melembutkan hati suami, bagaimana untuk melembutkan hati isteri, bagaimana untuk melembutkan hati anak-anak.. pernahkah pula kita bertanya bagaimana melembutkan hati sendiri..?
Eloklah direnung-renung ayat 74 daripada surah alBaqarah itu, takut nanti ibarat itu menyerupai diri kita. Eloklah juga diingat pesan Kak Syaja, amalkanlah dulu buat diri sendiri.
Banyak berzikir dan banyak membaca al Quran adalah ubat untuk ini.. Membaca ummul kitab itu adalah zikrullah yang terbesar.
Banyak bercakap, banyak bergelak ketawa, banyak makan dan banyak tidur adalah sebaliknya..23/7/08
Marilah kita ingat kembali tujuan asal kita,
mengapa kita inginkan agar hati kita dan hati orang-orang yang hampir dengan kita menjadi lembut? Jangan tersalah, jangan terpesong dari tujuan kita yang sepatutnya iaitu agar kelembutan hati itu akan membawa kita semua ke arah kebaikan dan bukan sebaliknya. Ke arah jalan Tuhan dan bukan sebaliknya. Mudah-mudahan Allah sentiasa berlembut terhadap kita. Dan menolong kita di dalam segala urusan kita..2/8/08